PEMBONGKARAN pelbagai kisah ‘dalam kain’ UMNO oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media khas Isnin lalu, menunjukkan masalah dalaman parti itu sudah mencapai tahap kemuncak. Ia seolah-olah... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBONGKARAN pelbagai kisah ‘dalam kain’ UMNO oleh Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada sidang media khas Isnin lalu, menunjukkan masalah dalaman parti itu sudah mencapai tahap kemuncak.

Ia seolah-olah menyalakan obor ‘peperangan’ terhadap pucuk kepimpinan UMNO diketuai presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi susulan beliau dipecat daripada jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada minggu lalu.

Tajuddin tanpa berselindung mendedahkan pelbagai gerakan sulit yang didakwa didalangi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sejak memenangi pemilihan jawatan Presiden UMNO.

Antara perkara dibongkar Tajuddin adalah dakwaan Ahmad Zahid tidak berpuas hati dengan kedudukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tawaran Ahli Parlimen Bera itu menjadi ‘poster boy’ sebagai umpan menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan gerakan mengumpul tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih menarik, Tajuddin turut menuduh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengetuai gerakan 'menjatuhkan' Ahmad Zahid sekitar Mei 2020.

Biarpun ramai pemimpin UMNO menganggap tindak-tanduk Tajuddin itu sebagai reaksi seorang politikus kecewa, namun beberapa pemerhati politik melihat implikasi sidang media bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia itu sebenarnya mampu mencetuskan pergolakan parti ke arah lebih serius.

Situasi itu amat berbeza dengan kesan sidang media Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang dibuat selepas mereka dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO dan Pengerusi UMNO Perlis tahun lalu.

TEKANAN KEM PWTC

Pendedahan Tajuddin sebenarnya sedang memberi tekanan tambahan terhadap kelompok pemimpin UMNO yang cenderung menyokong Ahmad Zahid atau lebih dikenali kem PWTC.

"Walaupun Tajuddin dianggap sebagai seorang pemimpin ‘kambing hitam’ yang lebih mudah ‘dikorbankan’ kem PWTC, hakikatnya beliau bukan calang-calang orang yang mudah dijatuhkan begitu sahaja.

"Saya menjangkakan ada lebih banyak siri pendedahan kecurangan politik yang melibatkan Zahid selepas ini, sama ada daripada Tajuddin sendiri atau pemimpin-pemimpin lain.

"Dari pihak Zahid pula, sebarang tindakan drastik terhadap Tajuddin termasuk memecat keahlian UMNO tidak ubah seperti ‘menarik rambut dalam tepung’.

"Sekiranya beliau salah langkah, ia akan memberi kelebihan kepada kem yang tidak menyokongnya iaitu kem Putrajaya untuk meraih simpati akar umbi UMNO,” kata Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali kepada Sinar Premium pada Isnin.

Polemik pemecatan Tajuddin sebagai ahli MKT UMNO dilihat sebagai isyarat jelas UMNO sedang menekan Ismail Sabri supaya menyegerakan keputusan pembubaran Parlimen dalam masa terdekat.

PELUANG ISMAIL SABRI

Polemik terkini pemecatan Tajuddin juga tidak mustahil memberi laluan kepada kerajaan sedia ada memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) gencatan politik baharu dengan Pakatan Harapan (PH) atau dipanggil MoU 2.0 selepas bulan Julai nanti.

Secara jelas, Ismail Sabri boleh mengambil peluang daripada isu krisis ekonomi ‘bertindih’ dihadapi negara ketika ini sebagai alasan kukuh PRU15 tidak wajar diadakan segera, di samping memanfaatkan situasi parti-parti pembangkang yang berkeadaan lemah serta berpecah-belah selepas peristiwa Langkah Sheraton.

Ditambah dengan kelulusan pindaan Perlembagaan UMNO agar proses pemilihan parti ditangguhkan selepas pilihan raya masih belum diluluskan Jabatan Pertubuhan Pendaftar Malaysia (JPPM), bola kini terletak di kaki Ahli Parlimen Bera itu untuk mengubah hala tuju UMNO sebelum PRU15.

"Dengan usaha menyingkirkan Zahid untuk digantikan kepada Ismail Sabri sudah semakin jelas, respons balas daripada Perdana Menteri kesembilan itu bakal menentukan hala tuju UMNO dalam memilih tarikh PRU15 bersesuaian.

"Ketika ini, beliau masih tidak menunjukkan isyarat mahu membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.

"Sekiranya keadaan ini berterusan, ia juga menunjukkan kem Putrajaya sudah bersedia untuk bertembung dengan kem PWTC secara terbuka.

"Pada masa sama, tiada masalah untuk kerajaan Ismail Sabri melanjutkan perjanjian MoU 2.0 dengan PH.

"Dengan PH mahu tuntutan beberapa reformasi Parlimen dilaksanakan terlebih dahulu sebelum PRU15 diadakan, tiada masalah untuk pemimpin PH menyambut salam dihulur Ismail Sabri bagi tujuan itu kelak,” tambah Mazlan lagi.

ADA SPEKULASI DRAF MoU2.0

Bagaimanapun, Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin memberi pandangan berbeza dengan menjangkakan kem Putrajaya dipimpin Ismail Sabri masih tidak mampu menahan tekanan Ahmad Zahid dan Najib supaya PRU15 diadakan segera, sekali pun perjanjian MoU 2.0 berjaya dimeterai bersama pembangkang.

Mengakui wujud spekulasi draf perancangan MoU 2.0 sudah dibincangkan di antara wakil koalisi PH dan pemimpin kem Putrajaya secara tidak rasmi, beliau berpendapat kesan tekanan daripada majoriti masyarakat Melayu yang menuntut PRU15 diadakan segera bakal memaksa Ismail Sabri mengalah.

"Masyarakat Melayu menyedari kerajaan parti campuran sekarang tidak efisien dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat kerana pentadbiran sekarang lebih dianggap sebagai ‘kerajaan sementara’.

"Tanpa PRU15, rakyat sukar untuk menentukan pihak mana lebih layak mewakili kepentingan masyarakat Melayu disebabkan implikasi keputusan PRU14 dan kejatuhan kerajaan PH pada tahun 2020 menampakkan perpecahan kaum itu.

"Pada masa sama, MoU gencatan politik 1.0 pula sangat tidak popular dalam kalangan penyokong DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini kerana mereka berpandangan perjanjian itu hanya memanjangkan talian hayat kerajaan lemah yang tidak berfungsi pada saat krisis,” tegas James.

Klik di sini untuk terus membaca