PUTRAJAYA - Hampir 10,000 individu telah diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh kira-kira enam bulan lalu. Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Hampir 10,000 individu telah diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia oleh kerajaan menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh kira-kira enam bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin selaku penandatangan rasmi bagi kelulusan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia kepada Sinar Premium dalam sesi temu bual eksklusif di Kementerian Dalam Negeri baru-baru ini.

Hamzah berkata, JPN boleh meluluskan permohonan mendapatkan taraf kewarganegaraan dengan syarat pemohon perlu menyelesaikan prosedur tertentu dan melengkapkan segala proses dokumentasi seperti ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, pemberian taraf kewarganegaraan itu bukan hanya diberikan kepada anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara, malah merangkumi pelbagai kategori lain termasuk anak angkat, pemilik taraf penduduk tetap (PR), suami atau isteri kepada warganegara Malaysia serta kanak-kanak terbiar.

"Sehingga kini saya sudah meluluskan hampir 10,000 permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan kepada individu daripada pelbagai kategori tahun ini.

"Jadi, tidak adillah hanya lihat satu kategori dan kata kita meluluskan sedikit sahaja permohonan untuk mendapatkan sijil kewarganegaraan, tetapi kena tengok data secara menyeluruh,” katanya.

Hamzah berkata demikian ketika menjawab persoalan terhadap dakwaan mengatakan JPN tidak banyak meluluskan permohonan taraf kewarganegaraan kepada anak warganegara Malaysia yang dilahirkan di luar negara tahun ini.

Hamzah ketika temu bual eksklusif bersama Sinar Premium di Putrajaya pada Khamis.

Bagaimanapun, Hamzah tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar permohonan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia kerana ia adalah rahsia rasmi kerajaan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, kelulusan permohonan taraf kewarganegaraan juga tertakluk kepada pelbagai peraturan dan undang-undang termasuk Perkara 14, Perlembagaan Persekutuan (pengesahan taraf kewarganegaraan – kelahiran luar negara), Perkara 15(A) – pendaftaran kewarganegaraan dalam keadaan khas, Perkara 15(1) – isteri kepada warganegara, Perkara 15(2) – anak kepada warganegara berusia bawah 21 tahun dan banyak lagi.

Namun, Hamzah menegaskan tiada jaminan khusus bahawa seseorang individu termasuk pemegang taraf PR yang menghantar permohonan kepada JPN akan diluluskan dan mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia.

Hamzah berkata, kerajaan juga tidak menetapkan tempoh khusus bagi individu memperoleh kelulusan sijil kewarganegaraan, malah ada pemohon berbuat demikian sejak berpuluh tahun lalu, namun belum berjaya hingga kini.

Beliau menegaskan, permohonan mendapatkan kewarganegaraan Malaysia bukan semudah membeli tiket bas atau kapal terbang, ada duit bayar dan terus dapat tempat duduk.

"Ini kerana anugerah tertinggi di negara ini adalah mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia. Sebab itulah kalau kita nak kira berapa banyak jumlah permohonan taraf kewarganegaraan ditolak, susahlah kerana memang ada individu yang terpaksa ditolak disebabkan 1,001 isu.

"Malah, ada individu pernah mempunyai kad pengenalan (MyKad) tetapi apabila mahu buat pasport, baru kita dapat kenal dia sebenarnya guna MyKad palsu, jadi kita batalkan permohonannya dan macam-macam lagi.

"Sebab itulah bab kewarganegaraan adalah isu paling sensitif kerana melibatkan kedaulatan negara supaya tidak timbul sebarang masalah lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca