PENGGAL pemerintahan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan berakhir pada Khamis ini berdasarkan kepada Perlembagaan negara itu yang membenarkan pemegang jawatan tersebut di puncak kuasa selama enam tahun sahaja. Beliau yang berumur 77... Klik di sini untuk terus membaca

PENGGAL pemerintahan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte akan berakhir pada Khamis ini berdasarkan kepada Perlembagaan negara itu yang membenarkan pemegang jawatan tersebut di puncak kuasa selama enam tahun sahaja.

Beliau yang berumur 77 tahun akan digantikan oleh bekas senator dan Gabenor wilayah Ilocos Norte iaitu Ferdinand Marcos Jr, 64, yang merupakan anak lelaki kepada mendiang diktator negara itu, Ferdinand Marcos Sr serta isterinya, Imelda.

Marcos Jr yang turut dikenali dengan panggilan nama popular, Bongbong menduduki jawatan itu selepas memenangi pilihan raya Presiden dengan kemenangan besar pada Mei lalu setelah mengadakan pakatan kuat dengan anak perempuan Duterte sendiri, Sara yang dipilih sebagai Naib Presiden.

Ketika memegang jawatan Presiden, Duterte mengarahkan polis menembak mati suspek pengedar dan penagih dadah dalam perang menentang dadah yang telah menyebabkan beribu-ribu orang telah terbunuh di negara berkenaan.

Beliau yang memegang jawatan itu pada tahun 2016 sebelum ini terkenal dengan perangnya dalam memerangi dadah dan ia merupakan janjinya kepada rakyat Filipina sebelum dipilih menjadi Presiden. Dan selepas menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin, Duterte berkata, beliau berjaya menyelamatkan negaranya daripada menjadi negara narkotik politik.

Data kerajaan menunjukkan bahawa lebih 6,200 orang telah terbunuh dalam operasi antidadah polis sejak Duterte menjadi Presiden manakala kumpulan hak-hak asasi manusia menganggarkan bahawa puluhan ribu telah dibunuh oleh pihak berkuasa, pembunuh upahan dan pengawal walaupun tanpa bukti mereka terlibat dalam dadah.

Semasa memegang jawatan itu, beliau pernah menyatakan bahawa pemimpin Jerman semasa Perang Dunia Kedua, Adof Hitler telah membunuh tiga juta orang Yahudi tetapi kini terdapat tiga juta penagih dadah di Filipina.

"Saya dengan senang hati akan menyembelih mereka (penagih dadah)," katanya sebelum ini.

SAMAKAN DENGAN HITLER

Pada 30 September 2016, Duterte menyamakan tindakan kerasnya yang menyebabkan pengguna dadah mati dengan usaha Hitler untuk menghapuskan orang Yahudi.

Bagaimanapun, semasa tahun terakhirnya sebagai Presiden, hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di Belanda membenarkan penyiasatan penuh terhadap kemungkinan berlaku jenayah terhadap kemanusiaan semasa Duterte membanteras dadah di negaranya.

Duterte yang akan kehilangan perlindungan daripada pendakwaan apabila berundur sebagai Presiden pada Khamis secara terbuka pernah mengarahkan polis membunuh suspek dadah jika nyawa anggota-anggotanya berada dalam keadaan bahaya.

Duterte enggan bekerjasama dengan siasatan ICC terhadap tindakan keras itu semasa pemerintahannya dengan mendakwa ia tidak mempunyai bidang kuasa untuk melakukannya.

Namun, Setiausaha Kehakiman Filipina, Menardo Guevarra memberitahu Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Mac lalu bahawa pejabatnya telah menyemak kira-kira 300 kes operasi perang dadah yang membawa kepada kematian di bawah pemerintahan Presiden tersebut.

Baru-baru ini, pendakwa raya ICC pada Jumaat lalu berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan siasatannya terhadap perang dadah yang membawa maut di Filipina dengan menyatakan permintaan Manila untuk menangguhkan siasatan itu sebagai tidak wajar dilakukan.

Pendakwa raya itu, Karim Khan telah menggantung siasatan ICC pada November 2021 selepas Filipina berkata, ia akan meneliti dakwaan itu sendiri tetapi pengumuman tersebut dibuat hanya beberapa hari sebelum Duterte berundur selepas enam tahun beliau berkuasa.

SOKONG PERANG KE ATAS DADAH

Bakal penggantinya sebagai Presiden Filipina, Marcos Jr juga telah menyokong perang dadah Duterte dan memberi isyarat kerajaannya tidak akan bekerjasama dengan siasatan ICC terhadap pembunuhan suspek-suspek dadah di Filipina.

Perang memerangi suspek dan pengedar dadah di Filipina bermula sejak tahun 2016. - Foto AFP

Namun, Presiden Filipina itu masih amat popular dalam kalangan rakyat di Filipina yang menyokong penyelesaian cepatnya terhadap jenayah dan beliau kekal sebagai kuasa politik yang kuat.

Duterte juga baru-baru ini menyatakan seperti dilaporkan AFP bahawa: "ICC, saya tahu awak dengar, hentikan drama yang awak akan dakwa saya."

Beliau juga merupakan lulusan undang-undang dan menawarkan untuk bertindak sebagai peguam bagi anggota-anggota berpakaian seragam yang menembak mati seorang penjenayah selepas beliau berundur daripada memgang jawayan Presiden.

Sehubungan itu, walaupun ICC berjaya mengumpulkan bukti mencukupi untuk membawa kes terhadap Duterte, terdapat peraturan mahkamah tersebut yang menghalangnya daripada membicarakan kesnya tanpa kehadiran Presiden Filipina tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca