SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dinasihatkan menggunakan pendekatan diplomasi dan bukan konfrontasi dalam menunaikan tanggungjawab selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu kelak. Demikian... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dinasihatkan menggunakan pendekatan diplomasi dan bukan konfrontasi dalam menunaikan tanggungjawab selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu kelak.

Demikian kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada Sinar Premium sewaktu diminta mengulas mengenai implikasi tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu yang 'menyerang' Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu sidang media, Isnin lalu.

Enggan mengulas lanjut mengenai 'serangan' Tajuddin terhadap Ahmad Zahid dan pucuk kepimpinan UMNO, Asyraf Wajdi sebaliknya mengingatkan bekas Pengerusi Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu bahawa tanggungjawab baharu bakal dipikulnya adalah sangat besar.

"Saya komen beginilah, saya mengucapkan padanya (Tajuddin) agar selamat menjalankan amanah besar selaku Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

"Besar tanggungjawab yang digalasnya untuk memastikan keakraban dua (negara jiran) tetangga (kekal).

"Gunalah pendekatan diplomasi bukan konfrontasi," ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Isnin lalu, Tajuddin tanpa berselindung mendedahkan pelbagai gerakan sulit yang didakwa didalangi Ahmad Zahid sejak memenangi pemilihan jawatan Presiden UMNO pada tahun 2018.

Antara perkara dibongkar Tajuddin adalah dakwaan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak berpuas hati dengan kedudukan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, tawaran Ahli Parlimen Bera itu menjadi ‘poster boy’ sebagai umpan menyegerakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan gerakan mengumpul tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lebih menarik, Tajuddin turut menuduh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pernah mengetuai gerakan 'menjatuhkan' Ahmad Zahid sekitar Mei 2020.

Bahkan, nama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Asyraf Wajdi sendiri turut disebut pemimpin veteran parti itu sebagai antara figura penting yang terlibat dalam komplot berkenaan.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam satu kenyataan menegaskan pelantikan Tajuddin sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia telah mendapat persetujuan daripada Presiden negara itu, Joko Widodo (Jokowi).

AZIAN

Sementara itu, Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman dalam satu kenyataan di Facebook menyatakan bahawa ALLAH SWT akan membantu hamba-hamba-Nya yang ikhlas dan sentiasa berdoa selain melindungi 'kumpulan itu' daripada manusia bersikap munafik.

Tanpa menamakan individu yang digelar munafik berkenaan, Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur itu seolah-olah menyindir Tajuddin apabila menempelak sikap mereka yang suka melondehkan hal orang lain.

"Nak membina cukup susah, nak menghancurkan memang mudah tetapi Insya-ALLAH sesuatu itu tidak akan hancur tanpa kuasa ALLAH SWT.

"Hapuskanlah mereka yang bersikap munafik dari kumpulan kami. Siapa munafik? Hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.

"Orang yang suka melondeh buruk hal orang lain bIla dah bergaduh memang tidak boleh buat kawan," ujarnya melalui dua hantaran Facebook berasingan.

Azian yang juga Ahli MKT UMNO turut menasihatkan individu 'B' (tidak dinamakan) supaya berhati-hati dengan manusia yang suka berperangai melondeh buruk hal orang lain.

"Hari ini dia cerita pasal A. esok dia cerita pasal B pula.

"Jadi B itu hati-hatilah ya dengan orang perangai macam itu," tegasnya lagi.

Minggu lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengumumkan Tajuddin dipecat daripada jawatan Ahli MKT UMNO lantikan atas kuasa prerogatif Ahmad Zahid selaku Presiden parti.

Keputusan itu dibuat Ahmad Zahid susulan beliau memaklumkan Tajuddin banyak mengeluarkan kenyataan bercanggah pendirian parti dengan bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil kemudiannya dilantik menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak itu.

Tajuddin mengadakan sidang media khas hari ini mengenai pemecatan jawatannya sebagai ahli MKT UMNO baru-baru ini.

Klik di sini untuk terus membaca