PELANTIKAN bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini bagi menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat dilihat... Klik di sini untuk terus membaca

PELANTIKAN bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini bagi menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dipecat dilihat bakal menguatkan kem Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Penganalisis keselamatan dan politik daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, tidak dinafikan pelantikan Isham yang juga merupakan bekas pegawai khas atau orang kuat Datuk Seri Najib Tun Razak itu dapat memberi satu sentimen kekuatan kepada parti tertua tersebut.

"Pelantikan Isham dapat memberikan satu sentimen kekuatan baharu dalam kepimpinan tertinggi apabila dia juga mempunyai pengaruh bekas Perdana Menteri atau bekas Presiden UMNO terdahulu iaitu Najib.

"Dari situ, Isham juga akan membawa sokongan yang sama dan hubungan baik dengan Presiden UMNO yang sedia ada,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, salah satu faktor Isham dipilih adalah kerana dia banyak membantu dalam kempen strategik UMNO sejak kebelakangan ini.

"Kita sedia maklum Isham dikatakan orang yang terlibat secara langsung dalam dua pilihan raya yang lepas dan merupakan antara jentera-jentera yang membantu mengatur strategi UMNO. Berkemungkinan kelebihan itu yang akan membantu UMNO dalam mencorak strategi Pilihan Raya Umum (PRU) yang lebih berkesan kelak.

"Dengan pengalaman sebagai bekas Ketua Penerangan BN Selangor, ia merupakan cara strategik untuk menguatkan kedudukan Presiden di samping memastikan pengkhususan dalam pelaksanaan strategi untuk memenangi pilihanraya depan terutamanya di negeri Selangor,” katanya.

TAJUDDIN

Selain pelantikan Isham, faktor utama yang ingin dilihat oleh masyarakat dalam pembaharuan khususnya parti-parti gergasi seperti UMNO adalah untuk membentuk satu manifiesto lebih mikro yang boleh dicapai dan bukan retorik.

"Muka baharu diperlukan dan boleh dilantik tetapi kena lihat faktor-faktor mikro berkepentingan rakyat kerana masyarakat sekarang ini pasif politik tetapi mereka mahu tahu apa hala tuju politik untuk mereka.

"Masyarakat sudah muak dengan sandiwara dan pertukaran politik dan mereka mengharapkan apa sahaja berlaku dalam parti politik seperti UMNO yang mewakili masyarakat Melayu, dapat memberi suatu perubahan dari segi nilai integreti terutamanya dalam memastikan politik orang Islam itu tulus," katanya.

Seterusnya, perancangan strategi UMNO yang memposisikan muka baharu seperti Isham dalam suasana politik yang pasif adalah tindakan yang tepat dan dapat membantu parti tu menarik sokongan pengundi.

Sebelum ini, ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melalui surat daripada presiden UMNO bertarikh 21 Jun 2022.

Susulan itu, Isham dilantik sebagai MKT UMNO baharu selepas mengangkat sumpah sebagai Ahli MKT di hadapan Presiden dan kepimpinan parti yang lain baru-baru ini.

MUKA BAHARU BERPOTENSI

Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Bilcher Bala berpendapat, Isham adalah calon muka baharu yang berpotensi untuk menerajui UMNO.

"Isham Jalil sesuai menjadi ahli MKT kerana dia muda dan ada kepakaran. Trend sudah berubah dan masyarakat kini mahu pemimpin muda yang boleh mengubah keadaan ekonomi yang sukar ketika ini.

"Pemimpin calon-calon muda ini dlihat sebagai profesional dan jika diberi peluang, mereka mampu menarik pengundi muda balik kepada UMNO. Bagi parti, pemimpin muda di pucuk pimpinan UMNO dapat mengubah fikiran pengundi yang menarik diri atau sekadar undi atas pagar,” katanya.

Katanya, dengan muka baharu sebagai pemimpin, kita dapat melihat kekuatan UMNO seperti yang terjadi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Klik di sini untuk terus membaca