KUANTAN - Sikap tegas, berdedikasi, penuh karisma dan tidak kenal erti putus asa antara karakter ditonjolkan oleh tokoh pahlawan Mat Kilau atau nama sebenarnya Mohamed Rasu Abdul Salam. Bagaimanapun di sisi lain, Mat Kilau sebenarnya... Klik di sini untuk terus membaca

KUANTAN - Sikap tegas, berdedikasi, penuh karisma dan tidak kenal erti putus asa antara karakter ditonjolkan oleh tokoh pahlawan Mat Kilau atau nama sebenarnya Mohamed Rasu Abdul Salam.

Bagaimanapun di sisi lain, Mat Kilau sebenarnya seorang yang penuh humor dan sangat mementingkan masa bersama ahli keluarga.

Cucunya, Mohd Alhamadi Abu Bakar, 56, berkata, arwah Mat Kilau merupakan seorang yang lemah lembut dan penyayang serta suka bergurau setiap kali melayan anak dan cucunya.

Menurutnya, antara gurauan yang diingatinya sampai kini dapat bermain dan memanjat belakang Mat Kilau ketika berusia lima tahun serta kenangan itu sukar untuk dilupakan sampai bila-bila.

"Aki (Mat Kilau) sangat kasihkan budak-budak dan suka manjakan cucu sehingga kami boleh memanjat atas belakangnya setiap kali bergurau.

"Masa itu, saya masih kecil dan tak tahu siapa Aki sebenarnya, tapi bila sudah dewasa baru saya tahu dan terharu beliau adalah pejuang bangsa Melayu.

"Sebab itu juga saya bergiat dalam seni bela diri Melayu dan persilatan dengan mewarisi ilmu daripada keturunannya,” katanya ketika ditemui di galeri Mat Kilau di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Garuda di sini pada Rabu.

Sepanjang membesar, beliau yang juga Guru Besar SK Padang Garuda hanya melihat Mat Kilau sebagai guru agama dan guru persilatan apabila sering menjadi rujukan daripada masyarakat setempat.

Mohd Alhamadi menunjukkan gambar kenangannya bersama Mat Kilau ketika berusia lima tahun.

"Pada masa itu, Aki ada buka gelanggang silat di tanah miliknya di Jalan Kuantan-Pekan (berdekatan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah) dan ramai anak muda mempelajari silat yang ketika itu dikenali sebagai tapak suci,” katanya.

Menjawab gelaran Mat Kilau, Mohd Alhamadi berkata, ia satu gelaran yang diberi oleh penduduk di Kampung Kendondong, Pulau Tawar, Jerantut kepada Mat Kilau disebabkan ketrampilannya yang berbakat dalam pelbagai segi.

Katanya, Mat Kilau dikatakan pandai bermain gasing, mengaji dan berzanji dan berdikir.

"Ikut cerita orang tua, Aki saya ada ketrampilan sebagai pemimpin ketika usia remaja atas itulah mereka menggelarkannya sebagai Mat Kilau disebabkan kilauan di kampung itu,” ceritanya.

MAT KILAU BUKAN PEMBERONTAK TETAPI PENENTANG

Dalam pada itu, beliau menegaskan perjuangan Mat Kilau, Tok Gajah dan Tok Bahaman adalah untuk agama dan bangsa, bukannya sepatutnya melabelkan mereka sebagai pemberontak.

Jelasnya, mereka ini adalah tokoh-tokoh yang menentang terhadap campur tangan Inggeris dalam hal ehwal pemerintahan di Tanah Melayu.

"Istilah pemberontak saya percaya dicipta oleh golongan penjajah dan penderhaka pula istilah propaganda untuk memberi tekanan kepada pahlawan Melayu kita,” katanya

Mohd Alhamadi menunjukkan gambar-gambar Mat Kilau yang ada dalam simpannya di galeri Mat Kilau di SK Padang Garuda.

Sementara itu, Mohd Alhamadi berkongsi mengenai amanat terakhir Mat Kilau kepada keluarganya sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 16 Ogos 1970.

Menurutnya, kata-kata azimat tersebut perlu disimpul mati setiap orang Melayu dan peringatan itu juga menjadi pembakar semangat untuk cintakan tanah air, cintakan agama dan menyanjung raja.

"Kata-kata yang paling memberi kesan mendalam dalam jiwa ialah ‘jagalah bangsa dan jagalah negara, jangan sampai bangsaku tiada negara’.

"Sebagai waris Mat Kilau, kata-kata itu amat menyentuh hati kerana tokoh-tokoh terdahulu termasuk Aki saya berjuang untuk agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca