TEL AVIV - Ahli Parlimen Israel pada Selasa sebulat suara meluluskan bacaan kali pertama rang undang-undang (RUU) untuk membubarkan Parlimen (Knesset) ke-24 di bawah langkah yang akan membawa negara itu kepada Pilihan Raya Umum Kelima dalam... Klik di sini untuk terus membaca

TEL AVIV - Ahli Parlimen Israel pada Selasa sebulat suara meluluskan bacaan kali pertama rang undang-undang (RUU) untuk membubarkan Parlimen (Knesset) ke-24 di bawah langkah yang akan membawa negara itu kepada Pilihan Raya Umum Kelima dalam tempoh hampir empat tahun.

RUU tersebut diluluskan dengan memperoleh 53-0 undi sokongan setelah perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Naftali Bennett minggu lalu, sekali gus menjadi kerajaan paling singkat pernah memerintah negara berkenaan.

Politik di Israel kembali goyah selepas kerajaan gabungan baharu terdiri daripada lapan parti termasuk Parti Arab dikatakan masih gagal mencapai persefahaman dan tidak sehaluan dalam ideologi tertentu terutama melibatkan hak golongan Yahudi.

Susulan politik Israel yang terus bergolak, bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu bersama sekutunya telah mula mengatur strategi dan merancang untuk menubuhkan kerajaan baharu yang dipimpin beliau, kononnya untuk mengelak pemilihan baharu.

Bagaimanapun, keputusan puak pembangkang mahu membubarkan Parlimen telah membantutkan rancangan beliau untuk kembali memegang kuasa.

Menurut kandungan RUU tersebut, pemilihan baharu dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober atau 1 November depan atau tarikh lain yang bakal ditetapkan kelak yang bergantung penuh kepada keputusan undian di Knesset.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang berpendapat masih ada peluang untuk mengelak pilihan raya baharu dan mengembalikan kuasa kepada Netanyahu dengan merekrut anggota sayap kanan daripada bekas kerajaan gabungan pimpinan Bennett.

SOKONGAN MINIMUM

Ketika ini, beberapa puak di Knesset termasuk parti ultra-Ortodoks yang menyokong Netanyahu bimbang pemilihan baharu tersebut akan menyebabkan mereka kehilangan kerusi atau tersingkir terus daripada Parlimen di bawah ambang sokongan minimum iaitu 3.25 peratus daripada jumlah keseluruhan undi.

Bacaan kali terakhir RUU tersebut akan menentukan nasib politik Israel.

Ahli Knesset dijangka meluluskan RUU tersebut di bawah konsensus berasingan sebelum undian akhir berhubung RUU pembubaran Parlimen itu diadakan pada Rabu.

Selepas Parlimen dibubarkan, Bennett akan menyerahkan kuasa kepada Menteri Luar, Yair Lapid mengikut perjanjian perkongsian kuasa antara Parti Yamina dan Yesh Atid yang dipersetujui mereka selepas Pilihan Raya Umum Keempat pada tahun lalu.

Difahamkan, Lapid akan memimpin kerajaan peralihan sementara tersebut sehingga pembentukan kabinet baharu selepas Pilihan Raya Umum Kelima jika bacaan akhir RUU itu diluluskan.

Kerajaan gabungan Bennett terdiri daripada nasionalis agama, puak berhaluan sederhana, sekular dan minoriti Arab jelas tidak sependapat sejak daripada awal penubuhannya kerana perbezaan ideologi yang ketara.

Keputusan membubarkan Parlimen itu dibuat hanya kerana kegagalan memperbaharui langkah yang akan tamat tempoh pada Khamis demi untuk memastikan pendatang Yahudi di Tebing Barat ‘dilindungi’ di bawah undang-undang Israel.

Bennett yang merupakan bekas ketua kumpulan pelobi pendatang Yahudi memberi alasan kegagalan itu kononnya akan membawa risiko kepada keselamatan dan ‘kekacauan perlembagaan’.

Tetapi, ia sebenarnya mempunyai muslihat yang jelas.

Tindakan membubarkan Parlimen sebelum tarikh langkah itu tamat bermakna undang-undang di Tebing Barat akan kekal sehingga diambil alih oleh kerajaan baharu.

"Saya berpendapat dalam jangka masa 12 bulan ini kami telah melaksanakan ‘kerja untuk tempoh 10 tahun’. Saya amat gembira dengan pencapaian tersebut,” ujarnya ketika berucap di persidangan Minggu Siber di Universiti Tel Aviv.

Menurut pemimpin nasionalis agama itu lagi, kerajaan gabungan beliau bersama Lapid kononnya mengembalikan semula kestabilan di Israel selepas berdepan krisis politik selama beberapa tahun ketika dipimpin Netanyahu.

"Saya tidak bersetuju dengan langkah mengadakan pilihan raya baharu, namun itu adalah perkara yang terbaik buat Israel pada masa ini,” jelasnya lagi. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca