BARU-baru ini saya terlibat dalam satu forum khas ‘Islam di Malaysia: Mahu Ke Mana?’ anjuran Sinar Harian. Akhbar ini memberi liputan mengenai apa yang dibincangkan secara meluas. Ada juga portal media lain melaporkan apa yang saya... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-baru ini saya terlibat dalam satu forum khas ‘Islam di Malaysia: Mahu Ke Mana?’ anjuran Sinar Harian. Akhbar ini memberi liputan mengenai apa yang dibincangkan secara meluas.

Ada juga portal media lain melaporkan apa yang saya utarakan terutama mengenai bagaimana rata-rata orang Islam di Malaysia menolak babi yang haram, tetapi mendakapi erat perkara-perkara haram lain termasuk rasuah.

Persoalan di sebalik kenyataan saya itu adalah untuk kita berfikir secara berjemaah, apa sebenarnya yang kita didik sehingga umat Islam menolak babi dengan jijiknya? Waktu bila pendidikan ini berlaku?

Apakah pedagogi diguna pakai sehingga meninggalkan kesan sangat positif? Kenapa pendidikan ini melekat hanya dalam konteks menolak babi?

Soalan-soalan ini sudah lama bermain di benak pemikiran saya. Saya tanya kepada ramai cerdik pandai terutama ketika menerajui Institut Integriti Malaysia dahulu.

Pada saya, sekiranya kita tahu pedagogi dan waktu bila proses pendidikan ini paling mustajab, maka perlu untuk kita guna kaedah sama untuk mendidik rakyat membenci rasuah.

Kerana pada waktu ini, bukti empirikal di seluruh dunia menunjukkan bagaimana rasuah membawa parah kepada berpuluh buah negara dalam dunia.

Tidak perlu melihat jauh. Lihat apa sedang berlaku kepada negara kita hari ini akibat penyelewengan dan rasuah.

Wang ringgit boleh menggelapkan mata ramai orang hingga ada yang masih percaya negara ini tidak mempunyai sebarang masalah dalam konteks rasuah.

Dalam ramai-ramai yang ditanya, ada seorang Mufti yang menjawab bahawa kemungkinan besar perkara ini berlaku kerana ibu-ibu di rumah sering mengingati berulang kali kepada anak-anak mereka tentang haramnya babi.

Maknanya apa yang diulang-ulang boleh menjadi resam dan amalan.

Sebab itu saya pernah menulis dahulu bahawa ibu bapa punyai peranan besar membentuk keperibadian mulia anak-anak terutama bagi membenci dan menolak rasuah dengan berulang kali meratibkan perkara tersebut sambil menunjuk contoh ikutan yang baik.

Mungkin kita juga perlukan nursery rhymes atau lagu-lagu nasyid dengan pantun nasihat membenci rasuah yang dinyanyikan ibu bapa ketika mendodoi anak-anak mereka.

SIAPA SEBENARNYA LEBIH ISLAM?

Kita tidak boleh hanya bercakap tentang bahaya rasuah, tetapi adakalanya kita yang mengajar mereka segala selok-belok untuk menyeleweng dan menipu melalui tindakan kita sendiri.

Ada ketikanya kita menunjukkan contoh tidak betul memberi habuan berlebihan kepada anak-anak sebagai upah untuk menutup mulut mereka.

Perkara ini semua akan menyumbang kepada pembentukan sahsiah diri anak-anak kita.

Dalam perbincangan baru-baru ini bersama seorang sarjana Islam ketika saya mempengerusikan syarahan beliau bertajuk Reform Through Writing: Muslim Intellectuals in Southeast Asia, kami juga sempat berbincang mengenai 'everyday Islam' yakni apa yang menjadi perkara amalan seharian dalam kehidupan umat Islam yang perlu diperjelaskan, bukan hanya perkara-perkara pokok sahaja.

Di sini sekali lagi saya mempersoalkan bagaimana pendidikan dalam Islam tidak menterjemahkan apa yang dididik menjadi amalan. Sebagai contoh, bab kebersihan.

Dalam pendidikan Islam di sekolah kita belajar tentang bagaimana Islam menganjurkan kebersihan.

Kita belajar tentang pelbagai jenis air, daripada air mutlak, musta’mal, muqayyad, musyammas sehinggalah mutanajjis.

Kita juga belajar bagaimana untuk mensucikan najis mughallazah, mutawassitah dan mukhaffafah. Kita hafal perkara-perkara ini sehingga sekarang.

Tetapi kalau kita lihat tahap kebersihan bilik air di masjid-masjid dan tandas awam, kita dapat melihat seolah-olah pengguna dan penjaga tandas ini tidak pernah diajar tentang kebersihan dalam Islam.

Cuba kita bandingkan tandas awam di Malaysia dengan Jepun. Bagai langit dengan bumi. Kadangkala saya terfikir siapa sebenarnya yang lebih Islam dari segi perlakuan dan amalan?

Mungkin dengan menulis kolum ini dan menimbulkan persoalan untuk kita fikir bersama adalah sumbangan kecil saya untuk membuat perubahan dalam masyarakat Islam kita sepertimana yang dimaksudkan Profesor Dr Syed Khairudin Aljunied, seorang warga Singapura yang sekarang menjadi Profesor di Universiti Brunei Darussalam dalam syarahan beliau Reform Through Writing baru-baru ini.

Semasa menutup syarahan tersebut, saya mengingatkan semua yang hadir bahawa kebanyakan masalah yang mendepani kita adalah kerana sifat umat yang tidak tahu malu atas perbuatan jijik, sedangkan Rasulullah SAW pernah bersabda yang diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim bahawa 'Malu adalah salah satu cabang Iman'.

Mungkin elok kita perkenalkan tagline baharu bagi menggantikan ‘Malu apa Bossku’ kerana hanya orang yang tidak beriman yang tidak tahu malu.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca