SHAH ALAM - Pakar Kewangan Islam, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berpandangan bantuan zakat perlu dinaikkan dengan mengambil kira kadar inflasi semasa dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Mohd Daud yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berkata, langkah itu bagi memastikan rakyat yang tergelincir ke kelompok asnaf dapat dibantu.
Ujarnya, majlis agama Islam setiap negeri juga disaran sentiasa menyemak kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf.
"Setiap isi rumah terdedah dengan inflasi iaitu kenaikan harga barang berbanding dengan nilai wang semasa.
"Kadar had kifayah zakat juga sememangnya adalah kadar berbentuk dinamik dan berubah-ubah berdasarkan demand dan supply dalam kalangan masyarakat berdasarkan kos sara hidup dan kadar inflasi. Cuma semakan semula itu perlu sentiasa dilakukan dengan cepat dan tepat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz mencadangkan supaya pusat zakat melonggarkan garis panduan dalam menentukan syarat seseorang itu layak menjadi asnaf untuk menerima zakat.
Beliau berkata demikian merujuk kepada peningkatan kos sara hidup yang dilihat semakin membebankan.
Mengulas lanjut, Daud memberitahu, dengan semakan semula yang cepat dan tepat, asnaf akan menerima bantuan seperti mana sebelum berlaku inflasi.
"Kalau katakan inflasi menyebabkan zakat yang diterima berkurang sebanyak 10 peratus, maka semakan semula itu akan memastikan kadar bantuan yang diberikan ditambah bagi mengimbangi beban kenaikan kos sara hidup dan lonjakan harga barang,” ujarnya.
Mohd Daud menambah, dengan kadar inflasi yang sudah mencecah dua digit di luar negara dan sedang meningkat dari hari ke hari di Malaysia, pemantauan turut dilakukan pihak MAIWP.
"MAIWP pada bulan lalu telah membuat semakan supaya diperhalusi kadar pengiraan had kifayah zakat dan garis kecukupan seseorang dalam penentuan asnaf. Semua aspek diambil kira termasuk jumlah ahli keluarga dan keperluan baharu mereka dalam penentuan kadar zakat.
"Namun, dengan kos sara hidup yang terus meningkat sekarang, kami akan terus memantau. Kalau perlu pengubah suaian baharu dilakukan dalam masa terdekat, pihak majlis akan melihat dengan penuh teliti.
"Matematik inflasi akan digunakan untuk membuat semakan cepat dan tepat untuk memastikan kadar zakat yang dibayar dan juga jumlah had kifayah akan ditingkat seiring dengan kadar inflasi,” jelasnya.
SEMAK SEMULA SYARAT
Dalam pada itu, pusat lembaga zakat di seluruh negara perlu melakukan semakan semula syarat kelayakan penerima zakat berikutan peningkatan kos sara hidup dan kenaikan harga barang ketika ini.
Tokoh Kewangan Islam, Profesor Dr Zaharuddin Abd Rahman berkata, kaedah penilaian terhadap asnaf tidak boleh diselaraskan kerana situasi ekonomi di setiap negeri adalah berbeza.
"Di Selangor kos sara hidup tinggi, manakala di Kelantan kos sara hidupnya rendah. Jadi takrif miskin di Selangor dan Kelantan berbeza. Sebab itu tidak boleh diselaraskan. Kena ikut situasi negeri masing-masing.
"Justeru, apa yang diperlukan ialah menyemak semula syarat kebolehan seseorang menerima zakat berdasarkan kesesuaian keadaan dan ekonomi semasa.
"Kalau dulu sesiapa yang berpendapatan isi rumah RM7,000 mungkin tidak layak untuk menerima zakat kerana dianggap kaya. Tetapi kalau di bandar seperti Kuala Lumpur, gaji RM7,000 dianggap miskin. Ini kalau yang sudah berkeluarga,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Zaharuddin berkata, pemberian zakat sahaja tidak mencukupi untuk membantu individu yang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Justeru beliau turut mencadangkan supaya kerajaan segera melaksanakan wakaf yang masih lagi belum diusahakan.
"Selain itu, harta-harta yang beku daripada pusaka. Ini sama juga yang mana kerajaan dan Jawatankuasa Fatwa bagi setiap negeri perlu berbincang bagaimana untuk mengagihkan dan menggunakan wang beku tersebut.
"Tanpa dimanfaatkan kepada seseorang, maka ia merupakan satu kerugian,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca