GEORGETOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) sudah menyemak semula kadar had kifayah umat Islam di negeri ini pada 2021 yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang seperti yang disyorkan melalui satu kajian dan penyelidikan... Klik di sini untuk terus membaca

GEORGETOWN - Zakat Pulau Pinang (ZPP) sudah menyemak semula kadar had kifayah umat Islam di negeri ini pada 2021 yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang seperti yang disyorkan melalui satu kajian dan penyelidikan yang dijalankan pada 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Amran Hazali berkata, sehubungan itu, ZPP telah menaikkan kadar sagu hati Hari Raya Aidilfitri yang lalu untuk golongan fakir dan miskin kepada RM600 berbanding kadar lama sebanyak RM450.

Menurutnya, bagi golongan fakir pula, ia dinaikkan daripada RM500 kepada RM700.

"Pada ketika ini, kadar zakat yang diberikan bagi tujuan sara hidup bulanan di Pulau Pinang adalah di antara RM300 hingga RM600 bergantung kepada saiz keluarga tidak termasuk bagi tujuan sewa rumah dengan kadar maksimum sebanyak RM400 sebulan.

"Bagi bekalan makanan bulanan, sebanyak RM200 disalurkan pada setiap keluarga yang layak dan bagi bekalan ubatan pula, di antara RM300 sehingga RM1,500 sebulan. Selain itu, ZPP juga menawarkan skim zakat yang diberikan secara sekali gus dengan kadar di antara RM600 sehingga RM6,000 bergantung kepada kes.

"Sementara zakat bagi rawatan perubatan ringan secara sekali gus boleh diberikan sehingga RM10,000 maksimum,” katanya.

Amran berkata, ZPP sedar kerisauan masyarakat dengan impak yang bakal dihadapi khususnya kepada golongan asnaf fakir dan miskin susulan polisi terkini kerajaan yang berkemungkinan memberi kesan kepada harga barangan keperluan harian.

"ZPP menerima baik cadangan pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan akan mempertimbangkan untuk menilai semula kadar zakat yang berhak diterima golongan mustahiq terutamanya skim-skim zakat yang melibatkan sara hidup termasuk bagi bekalan makanan bulanan serta bekalan ubat-ubatan bagi pesakit kronik dalam kalangan asnaf.

"Terima kasih kepada pihak yang membangkitkan isu ini dan berharap masyarakat Islam terus menunaikan zakat kepada ZPP (amil yang berautoriti) sebagai tanda sokongan terhadap peranan dan usaha kami untuk mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi umat Islam,” katanya.

MUIP PERHALUSI DAPATAN KAJIAN

Dalam pada itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) telah memperoleh dapatan baharu penambahbaikan had kifayah zakat negeri itu hasil daripada kajian yang dilakukan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, had kifayah tersebut masih perlu diperhalusi dan melalui beberapa jawatankuasa lagi sebelum keputusan muktamad diambil.

Menurutnya, kajian itu telah dilakukan bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan menilai beberapa elemen baharu untuk membantu golongan terlibat dan mencukupkan keperluan mereka.

"Pembentangan interim untuk kajian had kifayah ini telah dibentangkan pada 20 Jun lalu.

"Kajian ini telah dilakukan pada tahun lalu dan memang ada perubahan had kifayah yang lebih menyeluruh selepas ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Ujarnya, beberapa elemen keperluan tambahan yang dinilai menerusi kajian tersebut antaranya keperluan peranti komunikasi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, setakat ini Pahang adalah negeri paling tinggi menetapkan had kifayah zakat.

"Contohnya, mudah cerita kalau pendapatan seisi rumah berjumlah RM2,100 sebulan pun masih boleh mohon untuk zakat kerana bila dilakukan pengiraan, boleh tentukan sama ada tergolong dalam fakir miskin atau tidak, ini adalah berdasarkan had kifayah sebelum ini di Pahang,” katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca