SHAH ALAM - Pusat zakat diharapkan dapat mempertimbangkan kenaikan kadar bantuan zakat kepada golongan asnaf fakir dan miskin susulan krisis ekonomi yang melanda negara ketika ini.
Penerima zakat, Mohammad Khairi Abdullah, 44, berkata, institusi itu wajar menaikkan bantuan sekurang-kurangnya RM200 kepada golongan tersebut bergantung pada bilangan isi rumah.
"Memang sepatutnya bantuan bakat dinaikkan berikutan kadar inflasi di Malaysia yang semakin meningkat.
"Barangan keperluan asas sama ada basah atau kering meningkat sekitar 30 hingga 40 peratus. Jadi penerima zakat memang agak terbeban dengan kenaikan harga ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurut Nur Asikin Md Yunus, 48, dia bersyukur bantuan sebanyak RM500 dan makanan asas yang diterima daripada pusat zakat selama ini banyak membantu dirinya dan keluarga yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Bagaimanapun, guru tadika itu berharap agar kadar bantuan zakat dinaikkan sedikit selaras dengan situasi kenaikan harga barangan yang mendadak.
"Jika nak berharap semata-mata pada pendapatan saya sekitar RM800 sebulan, memang tidak cukup untuk menampung kehidupan kami empat beranak termasuk dua masih bersekolah.
"Ditambah keadaan suami saya yang orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan kini menghidap sakit buah pinggang, kenaikan tersebut sedikit sebanyak akan meringankan beban kami sekeluarga,” ujarnya.
Seorang lagi penerima, suri rumah, Mazanah Mat, 73 berkata, kerajaan negeri digalakkan untuk turun padang dan mempergiat program bagi menziarahi golongan asnaf di kawasan sekitar.
"Ini supaya pihak berwajib melihat sendiri bagaimana kehidupan sukar yang dialami oleh golongan ini,” katanya.
Bagi Suriyati Sufian Aris, 42, pula, dengan ketidaktentuan ekonomi ketika ini ditambah penarikan semula subsidi beberapa barangan asas mengakibatkan mereka sekeluarga terpaksa berdepan kos sara hidup yang tinggi berbanding sebelum ini.
"Saya harap kerajaan negeri boleh menilai semula jumlah pengagihan bantuan yang diberikan kepada penerima zakat kerana ketika ini ramai yang sudah ‘jatuh’ teruk disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” luah ibu kepada 10 orang anak itu.
Seorang kerani, Suhaily Sufian Aris, 39, turut mengakui kos sara hidup kini amat membebankan sehingga pendapatan yang diperoleh tidak mampu menanggung perbelanjaan seharian.
"Jika yang berpendapatan sederhana mengeluh dengan keadaan sekarang, apatah lagi golongan berpendapatan rendah termasuk yang tidak bekerja, OKU dan bekerja sendiri yang mana turut menghadapi bebanan sama.
"Justeru, diharapkan pihak zakat dapat bantu menaikkan kadar bantuan mengikut kos sara yang bersesuaian dengan ekonomi semasa,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca