TURKIYE yang sebelum ini menentang usaha Finland dan Sweden untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) akhirnya bersetuju untuk menerima permohonan dari kedua-dua negara berkenaan bagi menyertai pakatan ketenteraan itu.
Keputusan Ankara itu dibuat pada Selasa lalu selepas perbincangan selama beberapa jam dilakukan antara pemimpin Turkiye dengan Finland dan Sweden sejurus sebelum sidang kemuncak NATO bermula di Madrid sekali gus membolehkan proses kemasukan kedua-dua negara berkenaan ke dalam NATO dibuat.
Satu memorandum ditandatangani oleh Menteri-Menteri Luar dari tiga negara itu selepas pertemuan berlaku antara Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dengan Perdana Menteri Sweden. Magdalena Andersson; Presiden Finland, Sauli Niinisto dan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg sebelum makan malam bagi menandakan permulaan berlangsungnya Sidang Kemuncak Madrid.
Stoltenberg kemudian memberitahu sidang akhbar bahawa Finland dan Sweden telah bersetuju dengan tuntutan Turkiye untuk meminda undang-undang masing-masing untuk mengharamkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan mengekstradisi senarai orang yang dikehendaki Ankara.
Dua negara itu juga tidak akan menyokong YPG/PYD iaitu kumpulan Kurdis Syria yang Turkiye anggap sebagai cabang PKK di Syria atau FETO, sebuah pertubuhan yang diketuai oleh ahli cendiakawan, Fethullah Gulen yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Fethullah, menurut Ankara terlibat dalam plot rampasan kuasa di Turkiye pada tahun 2016 tetapi pihak berkuasa negara berkenaan berjaya menggagalkannya ketika Erdogan menjadi Presiden.
PKK ialah kumpulan yang dilabelkan sebagai pengganas di Turki, Kesatuan Eropah (EU) dan AS telah berjuang bagi menentang Turkiye pada tahun 1984.
Sweden dan Finland juga bersetuju untuk menarik balik sekatan ketenteraan ke atas Ankara sebagai balasan untuk mendapatkan sokongan Turkiye untuk menjadi anggota NATO.
Keputusan Turkiye tersebut berlaku selepas perbualan telefon berlaku antara Erdogan dan Presiden AS, Joe Biden pada pagi Selasa dengan seorang pegawai pentadbiran negara 'Uncle Sam' memberitahu wartawan di Madrid bahawa panggilan tersebut dibuat selepas Finland dan Sweden meminta Biden untuk menghubungi rakan sejawatannya itu.
Apa yang dituntut oleh Ankara berhubung dengan isu Kudis itu akhirnya ditunaikan oleh Helsinki dan Stockholm yang mahu menjadi anggota NATO selepas tentera Rusia menyerang Ukraine.
Keputusan Erdogan untuk memberikan sokongan kepada kedua-dua negara tersebut bagi menyertai NATO juga mendapat ucapan terima kasih daripada Biden pada Rabu lalu di Madrid.
Bagaimanapun, hanya beberapa jam selepas Turkiye menyatakan sokongan ke atas kedua-dua negara tersebut menjadi anggota NATO, seorang pegawai kanan AS menyatakan sokongan padu terhadap hasrat Ankara untuk menaik taraf tentera udaranya dengan pembelian pesawat-pesawat pejuang F-16 baharu dan penambahbaikan kepada armada lama yang sedia ada.
Pegawai kanan AS itu ialah Penolong Setiausaha Pertahanan bagi Hal Ehwal Keselamatan Antarabangsa, Celeste Wallander yang menyatakan bahawa Jabatan Pertahanan negaranya menyokong penuh rancangan pemodenan tentera Turkiye.
Sebelum ini, Turkiye telah dikeluarkan daripada program F-35 AS kerana ia enggan untuk tidak menggunakan sistem pertahanan peluru berpandu S-400 buatan Rusia.
Ekoran tidak lagi menjadi sebahagian daripada program F-35, Turki telah membuat perjanjian di mana ia akan membeli F-16 baharu dari AS sambil menaik taraf armada sedia ada iaitu 80 buah jet tempur F-16 yang lebih tua dan sangat memerlukan pemodenan.
Menurut pegawai Jabatan Negara AS, jangka hayat armada F-16 Turki sekarang akan dilanjutkan kira-kira lima hingga 10 tahun jika negara 'Uncle Sam' itu menyediakan teknologi khusus untuknya.
Turkiye memiliki 270 buah jet F-16C/D tetapi tahap pemodenan dilaporkan akan meliputi pesawat F-16 Blok 30.
Pada tahun lalu, Ankara telah membuat permintaan kepada AS untuk membeli 40 buah jet pejuang F-16 buatan Lockheed Martin dan hampir 80 kit pemodenan untuk pesawat perangnya yang sedia ada.
Sehubungan itu, adakah sokongan penuh Jabatan Pertahanan AS terhadap pemodanan tentera Turkiye itu sebagai ganjaran kepada Ankara kerana menyokong permohonan Finland dan Sweden untuk menyertai NATO?
Klik di sini untuk terus membaca