KUALA SELANGOR - Nelayan pesisir pantai di Kuala Selangor menggesa kerajaan dan pihak berwajib memberi tumpuan bagi penanaman pokok bakau bagi memastikan ekosistem hidupan air kekal terpelihara.
Seorang nelayan, Azman Basri, 41, berkata, penanaman bakau penting bagi kelestarian ekosistem air masin dan menjadi tempat habitat semula jadi seperti ikan, siput dan ketam terus membiak.
"Kawasan paya bakau ini mempunyai keistimewaan tersendiri terutama dalam rantaian hidupan air dan ia penting bagi kestabilan ekosistem kawasan pantai dan kepelbagaian biologi serta sumber makanan hidupan,” katanya.
Seorang lagi nelayan, Amran Omar, 50, berkata, selain menjadi tempat habitat hidupan air, paya bakau juga dapat mengelak hakisan ombak serta angin kencang di kawasan terbabit.
Katanya, hutan paya bakau mempunyai akar yang kukuh bagi melindungi kawasan pantai meskipun dihempas ombak kuat.
"Pokok bakau merupakan penahan semula jadi pantai dan dapat mengurangkan risiko angin kuat terutama melindungi penduduk yang tinggal berhampiran,” katanya.
Pengerusi Nelayan Kuala Selangor, Omar Abdul Rahman berkata, pokok bakau amat penting sama ada di laut, udara dan darat.
Jelasnya, jika di laut ia sudah semestinya menjadi tumpuan kepada hidupan air bergantung hidup dengan pokok bakau itu sendiri.
Katanya, jika di darat pokok bakau membantu menyerap karbon dioksida dan menukarkannya kepada oksigen bersih.
"Selain itu, jika di udara, pokok bakau ini berfungsi sebagai tempat burung hijrah singgah untuk memakan makanan marin seperti cacing, ketam dan ikan di pesisir pantai,” ujarnya.
Omar memberitahu, penanaman pokok bakau amat penting, namun ketika ini terdapat usaha penebangan bakau bagi tujuan menjualnya di pasaran.
Jelasnya, terdapat pihak tertentu menebang bakau kerana ia mendapat permintaan tinggi dalam sektor pembinaan untuk dijadikan kayu cerucuk.
Ikan sembilang terancam
Sementara itu, ancaman ke atas hutan paya bakau boleh memberi risiko besar kepada populasi ikan sembilang di kawasan Larut Matang, Taiping yang menjadi lubuk kepada nelayan dan kaki pancing.
Nelayan, Anuar Saad, 42, berkata, ini kerana pertambahan populasi ikan berkenaan banyak bergantung kepada ekosistem yang ada di hutan paya bakau terutama dari segi sumber makanan.
"Ikan sembilang kebiasaannya akan naik pada waktu malam ketika air pasang penuh untuk makan sejenis ulat yang kami gelarkan lintah laut.
"Lintah laut ini hanya ada di hutan bakau, jadi kalau hutan bakau ini diancam pencemaran dan kerosakan, sudah tentulah akan mengurangkan hasil ikan yang ada.
"Tangkapan ikan sembilang di kawasan ini boleh mencecah sehingga 30 kilogram,” ujarnya.
Dia yang turut mengusahakan aktiviti eko pelancongan melalui kelong berkata, kerja-kerja penerokaan hutan paya bakau di kawasan itu setakat ini adalah terkawal.
Jelasnya, di daerah itu, kayu bakau yang diambil untuk digunakan dalam industri arang kayu akan diganti segera melalui proses penanaman semula.
"Isu ancaman hutan paya bakau tidak akan terjadi selagi dikawal dan menjamin bekalan ikan untuk jangka masa panjang," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca