SHAH ALAM - Penerokaan hutan paya bakau secara berterusan tanpa kawalan boleh mengakibatkan berlakunya krisis rantaian sumber makanan laut. Pensyarah Program Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penerokaan hutan paya bakau secara berterusan tanpa kawalan boleh mengakibatkan berlakunya krisis rantaian sumber makanan laut.

Pensyarah Program Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Jarina Mohd Jani berkata, hutan bakau merupakan habitat penting bagi pelbagai haiwan darat dan marin yang mempunyai ciri-ciri khusus yang boleh beradaptasi di dalam situasi ekstrem seperti pasang, surut dan kemasinan air di kawasan itu.

"Seperti yang kita ketahui, kawasan antara air laut masin dan air tawar ini merupakan tempat yang sesuai untuk pembiakan ikan dan kalau kita kita teliti ada ikan marin yang ditangkap di laut juga turut ditemui di kawasan paya bakau.

"Ikan-ikan dari laut ini masuk ke kawasan air tawar apabila berlakunya air pasang. Jadi, sebab itulah kita kena pelihara ekosistem ini supaya ia kekal lestari untuk kebaikan bersama.

"Kita juga perlu sedar, hasil laut ketika ini juga telah berkurang disebabkan pelbagai faktor antaranya ada pukat tunda yang memasuki kawasan A yang mengakibatkan ikan-kan kecil juga turut ditangkap. Itu belum lagi isu membabitkan pencemaran dan sebagainya yang mengakibatkan ancaman kepada sumber makanan laut ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kesan penerokaan hutan paya bakau secara berterusan khususnya membabitkan pembangunan yang tidak terancang di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Jarina berkata, dengan pelbagai penerokaan yang berlaku di kawasan tersebut ketika ini mengakibatkan ekosistem untuk hidupan air laut dan air tawar telah terganggu.

Jelasnya, ancaman yang berlaku di kawasan berkenaan tanpa penggantian sumber secara tidak langsung mengakibatkan ikan tidak mampu membesar dengan baik, sekali gus membuatkan sumber itu berkurang dengan ketara.

Sementara itu, Jarina turut menjelaskan, tidak salah untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan di kawasan tersebut, namun ia perlu dilakukan dengan terancang dan memastikan kelestarian hutan bakau tetap terpelihara.

JARINA

"Kita mempromosikan pembangunan lestari dengan mementingkan tiga tunjang utama kelestarian iaitu alam sekitar, ekonomi dan sosial serta disokong pentadbir kerajaan.

"Malah, kita juga tidak nafikan, banyak pembangunan terutamanya sektor pelancongan dilakukan terhadap kawasan pesisir pantau termasuk hutan bakau, tetapi ia perlulah diteliti dengan sebaiknya,” katanya.

Ganggu ekosistem flora dan fauna

Sementara itu, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) menyifatkan penerokaan kawasan hutan paya bakau secara berleluasa dan tidak terkawal akan mengganggu ekosistem flora dan fauna sekali gus memberi kesan pada ekonomi negara.

Presiden MNS, Profesor Dr Ahmad Ismail berkata, kehilangan kawasan hutan paya bakau boleh mengakibatkan kesan hakisan pantai hingga menjejaskan habitat hidupan liar, sumber perikanan dan perubahan iklim.

"Hutan bakau juga merupakan tempat pembiakan dan tumbesaran sumber perikanan, hilang ekosistem bakau maka akan menjejaskan sumber perikanan.

"Ekosistem bakau yang rosak akan menyebabkan ikan berkurang, aktiviti nelayan pantai terkesan, pendapatan kurang dan sekali gus menjejaskan aktiviti ekopelancongan. Semua ini akan memberi kesan kepada ekonomi juga,” katanya.

Sebelum ini Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Wan Kamal Mujani mendedahkan kira-kira 50 peratus hutan paya bakau di Malaysia sudah diterokai sejak sebelum kemerdekaan.

Menurut beliau, ketika ini negara hanya mempunyai 620,000 hektar kawasan hutan paya bakau.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, perlu ada pendekatan komprehensif bagi menyelamatkan hutan paya bakau negara.

"Antara solusinya adalah dengan mengenal pasti kawasan (paya bakau) yang bermasalah seterusnya menghubungkaitkannya dengan kepentingan ekonomi dan ekologi.

"Selain itu, perlu lakukan pemulihan seperti penanaman semula, pemulihan pantai dan penjagaan rapi termasuk jalankan penyelidikan.

"Kawasan hutan bakau yang ada harus disimpan bagi mengekalkan peratusan hutan negara dan menyumbang kepada kestabilan ekosistem,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca