SHAH ALAM - Kebanyakan pasar raya di Seksyen 15 dan 16 di sini, terputus bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) dan hanya menjual minyak masak botol dua hingga 5kg.
Seorang jurujual pasar raya di Seksyen 15 dikenali sebagai Hidayah berkata, bekalan minyak masak peket 1kg, terputus sejak dua minggu lalu.
"Setakat ini, semua pelanggan termasuk peniaga datang membeli minyak masak botol,” katanya kepada Sinar Harian, Khamis.
Bagi seorang peniaga makanan, Rosilawati Dilah, 42, dia lebih gemar menggunakan minyak masak peket kerana harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak botol.
"Saya tiada pilihan dan saya jangka selepas 1 Julai, untuk mendapatkan bekalannya akan menjadi lebih susah.
"Saya rasa bermula esok (Khamis), mungkin peniaga barang runcit akan hadkan kuantiti pembelian minyak masak botol pula,” katanya yang terpaksa menaikkan harga makanan dijual sejak seminggu lalu.
Di PONTIAN, bekalan minyak masak peket 1kg sukar diperolehi apabila stoknya sudah lama habis.
Peniaga kedai runcit, Mohd Salim Salam, 30, berkata, kali terakhir bekalan minyak masak peket diperoleh adalah pada bulan lepas.
"Itu pun cuma 10 peket. Keadaan sebegitu menyebabkan pengguna asyik bertanya.
"Bekalan minyak masak botol 5kg dan 2kg pula makin menyusut. Sejak seminggu lalu, bekalan minyak masak botol makin susah untuk diperoleh daripada pembekal,” katanya.
Di TEMERLOH, seorang pekerja di sebuah pasar raya di bandar Mentakab di sini memaklumkan bahawa stok minyak masak peket habis tidak sampai setengah jam.
Pekerja yang enggan dikenali mendakwa, minyak peket itu menjadi rebutan pelanggan di premis tersebut.
"Tapi kami pun tak dapat banyak stok, dalam lima hingga enam kotak sahaja,” dakwanya.
Di IPOH, kesukaran mendapatkan minyak masak peket 1kg di pasaran akan menjejaskan pendapatan peniaga kecil.
Peniaga, Ramadhan Abdullah, 29, berkata, penggunaan minyak masak peket yang harganya murah dapat seimbangkan modal dan keuntungan hasil menjual ayam goreng.
"Saya menggunakan sekurang-kurangnya 16kg minyak peket seminggu dengan menjual ayam berharga RM8 sekeping.
"Sejak akhir-akhirnya sukar hendak dapatkan bekalan hinggakan ada kedai mengehadkan dua peket bagi setiap pelanggan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga 5kg dimansuhkan bermula 1 Julai bagi memastikan bekalan bahan makanan dalam pasaran stabil dalam jangka masa yang panjang.
Keputusan kerajaan untuk memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol itu dibuat kerana banyak berlaku penyelewengan.
Klik di sini untuk terus membaca