LANGKAWI- Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia mempertimbangkan semula cadangan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi berkenaan. Beliau bagaimanapun berkata, hasrat itu hanya akan... Klik di sini untuk terus membaca

LANGKAWI- Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad sedia mempertimbangkan semula cadangan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, hasrat itu hanya akan diteruskan sekiranya tiada calon sesuai atau tiada calon yang mahu bertanding di Parlimen Langkawi.

Menurut Dr Mahathir, atas faktor itu, beliau sedia kembali bertanding bagi mempertahankan kerusi milik Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu.

"Kalau tak ada apa pun (calon yang sesuai), dan ada orang cadang saya untuk bertanding (di Langkawi), saya akan pertimbangkan. Kalau sudah tak ada orang yang sesuailah, mungkin boleh timbang bertanding semula,” katanya kepada media selepas mengadakan pertemuan bersama pengusaha-pengusaha feri Langkawi di sini pada Rabu.

Pengerusi Pejuang itu berkata, ketika ini parti itu sudah mempunyai beberapa nama calon untuk dipertaruhkan di kerusi berkenaan namun masih terlalu awal untuk didedahkan.

"Kita ada calon, tetapi waktu ini kita tidak boleh beritahu lagi,” katanya ringkas.

Awal Mac lalu, Dr Mahathir mengesahkan beliau tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen termasuk Langkawi dalam PRU15.

Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada calon yang sesuai dan lebih muda untuk terlibat dalam arena politik selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.

Manakala, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengakui lebih selesa untuk bertanding di Parlimen Jerlun berbanding Langkawi.

Sementara itu, mengulas sokongan orang ramai terhadap Pejuang, Dr Mahathir berkata, parti itu telah mula menjelajah ke seluruh negara untuk diperkenalkan kepada orang ramai.

"Kita sudah melawat semua negeri, sampai ke Sabah kita pergi. Tidak ada laporan sebab kita parti lawan. Kita ada ahli parti, kebanyakan daripada orang Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) yang dulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Mahathir mencabar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mengemukakan bukti berhubung dakwaan mengaitkan dirinya meminta membubarkan parti UMNO.

Ujarnya, Ahmad Zahid hanya dedahkan bermacam-macam cerita berkaitan dengan dirinya namun tiada sebarang bukti dikemukakan.

"Apa bukti dia (Ahmad Zahid) kata saya macam itu. Dia boleh cerita macam-macam, benda yang kita bercakap perlu ditunjuk bukti (kononnya) kita bercakap macam itu,” jelas beliau.

Pada Selasa, Ahmad Zahid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Dr Mahathir telah meminta dirinya untuk membubarkan UMNO.

Menurut Ahmad Zahid, semasa pertemuan selepas PRU14 pada Jun 2018, Dr Mahathir memintanya memaklumkan kepada semua ahli UMNO supaya menyertai Bersatu atas nama Melayu.

Klik di sini untuk terus membaca