SINGAPURA merupakan negara paling maju di Asia Tenggara dan dihuni oleh penduduknya yang berbilang kaum kini menghadapi cabaran keselamatan makanan berikutan kenaikan harga barangan kesan Perang Ukraine-Rusia. Isu berkaitan dengan makanan... Klik di sini untuk terus membaca

SINGAPURA merupakan negara paling maju di Asia Tenggara dan dihuni oleh penduduknya yang berbilang kaum kini menghadapi cabaran keselamatan makanan berikutan kenaikan harga barangan kesan Perang Ukraine-Rusia.

Isu berkaitan dengan makanan itu mendapat perhatian selepas negara jirannya, Malaysia membuat larangan khusus iaitu tidak lagi akan mengeksport ayam ke Singapura mulai 1 Jun lalu sehingga ia mengganggu bekalan makanan ke republik tersebut.

Tindakan itu menyebabkan para peniaga dan penduduk berasa gusar kerana harga makanan berasaskan ayam yang bergantung kepada daging ternakan tersebut akan meningkat kerana Singapura mengimport kira-kira 3.6 juta ekor haiwan berkenaan setiap bulan.

Bagaimanapun, Malaysia menarik balik sebahagian larangan itu apabila membenarkan sebuah syarikat dari Singapura mengeksport ayam kampung dan ayam hitam ke republik tersebut berikutan keputusan kabinet yang dibuat pada 8 Jun lalu.

Ia menyebabkan ayam kampung hidup dibenarkan dibawa masuk ke republik tersebut pada 14 Jun lalu manakala ayam hitam hidup mulai 18 Jun lalu.

Namun, harga makanan meningkat sebanyak 4.1 peratus pada April lalu berbanding pada tahun sebelumnya sekali gus meningkat daripada 3.3 peratus pada Mac lepas, kata Penguasa Kewangan Singapura dan Kementerian Perdagangan dan Industri.

Singapura menghadapi kenaikan harga barangan sejak akhir-akhir ini, - Foto AFP

IMPORT 90 PERATUS MAKANAN

Peningkatan inflasi dan harga itu berlaku ketika Perang Ukraine yang berlaku akibat serangan tentera Rusia masih lagi belum berakhir.

Sebagai sebuah negara pulau yang keluasannya lebih kecil dari Pulau Pinang, Singapura pastinya mengalami masalah kekurangan sumber alam semula jadi menyebabkannya ia mengimport lebih 90 peratus makanannya dari 170 buah negara.

Ekoran itu, kerajaan di republik tersebut melancarkan inisiatif strategi 30 hingga 30, bagi menghasilkan 30 peratus daripada keperluan pemakanannya menjelang tahun 2030. Ia dilancarkan pada awal tahun 2019 bagi merangka rancangan bagai memenuhi sasaran itu.

Penggunaan sebanyak 10 bahan makanan yang paling biasa digunkana antaranya ialah sayur-sayuran berdaun, sayur-sayuran lain, buah-buahan, ikan, makanan laut lain, kambing, itik dan daging lembu, daging babi adalah berjumlah 1.36 juta tan pada tahun 2017.

Singapura juga menggunakan kira-kira 1.97 bilion telur atau kira-kira 108,300 tan metrik.

Harga makanan meningkat sejajar dengan peningkatan inflasi di Singapura. - Foto AFP

DAGING KULTUR

Sehubungan itu, sebuah kilang terbesar untuk menghasilkan daging yang diperoleh menerusi makmal di Asia sedang dibina di Singapura dan dimiliki oleh Eat Just Inc dan dijadualkan dibuka pada suku pertama tahun 2023.

Penghasilan daging menerusi sel-sel haiwan telah diluluskan pada tahun 2020 bagi membuat penggantian daging dan telur yang dihasilkan secara tidak semula jadi sekali gus menjadikan Singapura sebagai kerajaan pertama yang membenarkan penjualan daging kultur atau daging yang dibuat dari makmal.

Ia adalah sebahagian daripada proes untuk memastikan sebanyak 30 peratus makanan dihasilkan di republik tersebut dan mengelak penggantungan dari negara luar.

Ketika ini, para peniaga di Singapura menghadapi tekanan untuk mengekalkan harga yang rendah di tengah-tengah kenaikan inflansi dan harga barangan selepas harga minyak masak, telur, daging telah meningkat antara 30 peratus hingga 45 peratus.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura pernah berkata, kenaikan harga makanan global dijangka terus menyumbang kepada inflasi makanan tempatan selepas tahun 2022.

Masalah penggantungan makanan Singapura terhadap negara luar turut disedari oleh Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong baru-baru ini semasa Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel di Kigali, Rwanda, Afrika Selatan.

Beliau menyatakan bahawa Singapura mesti mempelbagaikan sumber makanannya kerana negara-negara di seluruh dunia berkemungkinan akan terus mengutamakan bekalan tempatannya sendiri di tengah-tengah kenaikan harga barangan.

"Ini adalah perkara yang perlu kita lakukan dan yang telah kita lakukan sejak sekian lama. Sebab itu, apabila bekalan ayam dari Malaysia terputus beberapa minggu lalu kami dapat mengatasinya,” katanya seperti dilaporkan Straite Times Singapura. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca