SHAH ALAM - Pengarah dan pelakon, Datuk Gerald Hans Isaac, 51, menyifatkan kemenangan beliau sebagai Ketua Cabang Ampang Parti Keadilan Rakyat (PKR), merupakan kemenangan bersama.
Jelasnya, kemenangan itu tidak memberi sebarang makna sekiranya ia tidak disusuli dengan dukungan dan sokongan semua pihak.
"Kemenangan ini bukan kemenangan saya, ia kemenangan Ampang dan semua calon-calon yang bertanding di Cabang Ampang, baik dari segi Wanita PKR, dan Angkatan Muda Keadilan," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Terdahulu, Hans Isaac memecah tradisi apabila memenangi jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR 2022.
Ia selepas pemilihan semula diadakan pada Rabu berikutan kes salah laku pengundian di cabang tersebut pada 21 Mei lalu.
Beliau berjaya meraih undian sebanyak 748 undi. Pada pemilihan itu, Hans turut menewaskan seorang selebriti terkenal, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43 atau dikenali sebagai Altimet dengan undian 746 undi.
Dalam pada itu, Hans berkata, PKR merupakan parti yang unik serta tidak mengenepikan suara akar umbi.
"PKR membenarkan akar umbi untuk memilih sebuah gabungan serta pasukan bagi mengetuai sesuatu kawasan dan bahagian.
"PKR sebuah parti yang demokratik dan saya fikir parti ini sangat unik dan akhir sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan kepada Ampang khasnya," katanya.
Justeru katanya, selepas kemenangan ini beliau akan terus berusaha membantu parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Saya akan membantu parti, kepada akar umbi Ampang nilailah kerja kami, saya akan bantu semua orang di Ampang tidak kira mana-mana parti pun," katanya.
Selain Hans dan Altimate, tiga lagi pesaing iaitu Abdullah Md Zain hanya memperolehi 101 undi; Sam Hoo Wai (70) dan Abdul Latif Shaari meraih 10 undi, manakala Abdul Halim Mohamed Yusof menarik diri dalam pemilihan semula peringkat cabang tersebut.
Pada 29 Mei lalu, Daing Muhammad Reduan Bachok menewaskan Hans dan Altimet dalam persaingan merebut jawatan Ketua Cabang .
Beliau menerima jumlah undian tertinggi dengan 942 undi, manakala Hans dan Altimet masing-masing mendapat dengan 609 undi dan 589 undi.
Bagaimanapun, berikutan dakwaan pelanggaran etika dalam pemilihan cabang berkenaan, jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) PKR telah menubuhkan panel siasatan yang kemudiannya mendapati Daing Muhammad terlibat dalam kegiatan 'membeli undi'.
Pada Pemilihan PKR 2018, jawatan Ketua Cabang Ampang dimenangi oleh Datuk Zuraida Kamaruddin.
Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan berakhir pada 22 Mei lalu.
Klik di sini untuk terus membaca