SHAH ALAM - Tiga perkara asas yang menjadikan hadis palsu tersebar dalam masyarakat Islam hari ini adalah kerana politik, taksub dan kepuakan.
Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan dan Perlis, Dr Kamilin Jamilin berkata, pemalsuan hadis ini bahaya kerana ianya boleh memesongkan akidah seorang muslim.
Menurut beliau, apa yang berlaku selepas era khilafah yang mencetuskan peperangan mendorong orang untuk memalsukan hadis Rasulullah SAW untuk menyokong fahaman kumpulan masing-masing.
"Bagaimana hadis juga boleh digunakan di dalam politik untuk meyakinkan ideologi kumpulan masing-masing yang akhirnya menyebabkan ketidaksepakatan berlaku dan menyebabkan Islam berpecah belah,” katanya dalam program Di Sebalik Isu Bersama FY bertajuk ‘Polemik Hadis’ yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panel Antara Pengasas Sidang Kalam, Mohammed Noor Mohammed Deros manakala Finaz Yunus sebagai moderator.
Menurut Kamilin, sifat taksub kepada mahzab, kepuakan, bahasa turut membutakan hati manusia sehingga tergamak untuk memalsukan hadis.
"Ibnu Jauzi juga ada menyebut tentang hadis-hadis palsu, contoh ada orang bila dia benci bahasa arab, dia cipta hadis, kalau Allah murka dia akan turunkan wahyu dalam bahasa arab, tetapi kalau Allah suka, reda dia akan turunkan wahyu dalam bahasa parsi. Ini contoh taksub kepada bahasa,” katanya.
Jelasnya lagi, sikap permusuhan terhadap Islam seperti itulah mendorong golongan berkenaan menyembunyikan kekufuran, menzahirkan keislaman demi merosakkan Islam daripada dalam.
"Macam mana yang disebutkan dalam sejarah Abdul Karim bin Abu Al-Auja yang mengaku pernah memalsukan sekitar 4,000 hadis sebelum dihukum bunuh,” katanya.
Tambahnya lagi, ada juga dikalangan penglipura, penceramah-penceramah yang suka bercerita.
"Jadi dia terdesak untuk bawa cerita yang boleh menghiburkan hingga sanggup mencipta hadis ini bukan sekarang tetapi dah lama dulu wujud,” katanya
Kamilin berkata, malah ada pelbagai lagi golongan orang soleh, baik tapi disebabkan kejahilan ilmu hadis dan agama, dia tergamak untuk mempermudahkan daripada sudut hadis.
"Biasanya kita akan tengok orang ini zuhud, soleh dan fokus kepada ibadah tetapi daripada penguasaan ilmu hadis dan periwayatan itu lemah,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai siapa yang hendak dirujuk, Kamilin berkata orang awam tidak tahu untuk membezakan siapakah ahli hadis yang sebenar.
"Tuntutan dan tanggungjawab kita adalah untuk mencari. Kita nak menerima hadis riwayat seseorang itu antara aspek utama kita lihat dari sudut agama, pertuturan dan ilmunya. Adakah dia adalah orang yang mempunyai kredibiliti dari sudut penyampaian.
Manakala, keduanya kita lihat dari sudut kemampuannya adakah dia seorang yang tekun, tajam dan kritis.
"Biasanya dalam isu hadis palsu ini orang yang biasa dengan hadis ini dia boleh tahu sama ada ianya adalah hadis palsu atau tidak.
"Macam saya sendiri saya dah berbelas tahun dalam bidang ini bila ada sesuatu yang meragukan saya akan semak balik, di situlah antara peranan orang awam,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca