SERAMAI 1,147 individu yang juga pesakit mental atau psikosis disebabkan penyalahgunaan dadah menerima rawatan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejak 2015 hingga tahun lalu.
AADK juga melaporkan seramai 739 individu mengalami skizofrenia (penyakit mental yang serius di mana ia mengganggu kewarasan seseorang individu) turut dirawat di agensi itu sejak 2017 hingga tahun lalu.
Kebanyakan penagih dadah sintetik mengalami masalah mental menyebabkan mereka bertindak agresif, murung dan berkhayal. Jika penagih yang overdose (terlebih dos) atau tegar, boleh menyebabkan mereka maut.
Ketua Pengarah AADK, Sutekno Ahmad Belon berkata, berdasarkan kemasukan klien ke fasaliti AADK sama ada dirawat menerusi program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) atau program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) AADK, 60 peratus daripada mereka adalah pengguna dadah sintetik.
"Penagih dadah sintetik boleh dirawat dan dipulihkan, tetapi mengambil masa lebih lama serta kos rawatannya tinggi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Ibu Pejabat AADK di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Sutekno berkata, terdapat tiga elemen yang perlu dirawat melibatkan pengguna dadah sintetik iaitu masalah ketagihan, kesihatan dan mental.
"Penggunaan dadah sintetik secara berlebihan boleh membawa maut, sekiranya individu itu ketagih ia akan merosakkan mental.
"Cabaran kita untuk memulihkan tahap mental mereka terlebih dahulu. Pengguna dadah sintetik bukan setakat perlu dirawat ketagihannya, tetapi masalah kesihatan dan mental yang mana ketiga-tiga sekali perlu dirawat,” kata Sutekno lagi.Rawatan dilaksanakan secara holisitik.
Beliau berkata, perkhidmatan dual diagnosis disediakan di beberapa Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dengan kerjasama hospital dalam memberikan perkhidmatan rawatan psikiatri kepada klien yang mempunyai masalah tersebut.
"Bagi tahun ini, PUSPEN khas ini telah diwujudkan mengikut zon seperti Zon Selatan di PUSPEN Kota Tinggi bekerjasama dengan Hospital Permai, Zon Sabah di PUSPEN Papar bekerjasama dengan Hospital Kota Kinabalu dan Zon Sarawak di PUSPEN Kuching bekerjasama dengan Hospital Sentosa,” ujarnya.
Tambah Sutekno, proses rawatan di AADK dilaksanakan secara holisitik melalui Model i-Pulih AADK.
"Sebanyak sembilan komponen secara komprehensif dilaksanakan seperti kemahiran diri, pendekatan spiritual atau pendidikan Islam, latihan vokasional dan cara untuk menangani psikotik serta emosi termasuk persediaan bagi bekas penagih itu kembali ke komuniti masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata, cabaran utama bekas penagih adalah selepas mereka menjalani rawatan dan pemulihan.
"Selepas mereka (bekas penagih) tamat menjalani rawatan dan pemulihan, itu adalah hari pertama untuk mereka kekal pulih serta menghadapi cabaran di luar sana,” katanya.
Sutekno berkata, pihaknya juga menyediakan program after care service atau jagaan lanjutan bagi mengesan bekas penagih yang selesai menjalani rawatan dan pemulihan untuk memantau tahap kepulihan individu itu.
"Selain itu, kita juga bersedia membantu bekas penagih yang memerlukan pekerjaan, intervensi atau berhijrah ke tempat lain untuk menjalani kehidupan baharu.
Sasaran penurunan kadar penagihan dadah
Sutekno berkata, AADK juga menyasarkan dua matlamat antaranya penurunan kadar penagihan dadah tidak melebihi 0.4 peratus daripada populasi negara ini pada 2025.
"Kita menetapkan sasaran itu kerana Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) telah membuat anggaran bahawa kadar penagihan dadah di seluruh negara antara 0.4 hingga satu peratus,” ujarnya.
Beliau berkata, matlamat kedua adalah individu yang menyalah guna dadah dirawat sebaiknya supaya mereka kekal pulih sepanjang hayat.
"Sasaran kita adalah 75 peratus individu yang menjalani proses rawatan pemulihan kekal pulih sepanjang hayat pada 2025,” katanya.
Sutekno berkata, AADK menyasarkan untuk memulihkan 155 kawasan berisiko tinggi yang aktif dengan kegiatan penyalahgunaan dadah di seluruh negara, menjelang 2025.
"Ia juga merupakan petunjuk prestasi utama (KPI) yang telah ditetapkan di bawah Aspirasi Keluarga Malaysia oleh Kementerian Dalam Negeri,” katanya.
Beliau berkata, AADK telah memulakan program ‘penghijauan’ kawasan daripada gejala penyalahgunaan dadah sejak tahun lalu.
"Kita ada sasaran setiap tahun, setakat ini sudah 39 kawasan ‘dihijaukan’, kita juga perlu memantau dan mengekalkan kawasan tersebut kekal ‘hijau’,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca