SELEPAS dua tahun menyepi, festival lumba kerbau tradisional Thailand kembali diadakan di wilayah Chonburi pada hujung minggu lalu.
Acara tahunan itu diadakan bagi menandakan permulaan musim menanam padi dan berakhirnya musim hujan dikenali sebagai Buddha Lent.
Perlumbaan kerbau di atas ‘litar’ berlumpur sejauh 100 meter itu ternyata menarik kehadiran ratusan penonton termasuk pelancong dari luar negara.
Sambutan festival lumba kerbau kali ini umpama pesta selepas gelombang pandemik Covid-19 menjejaskan kemeriahannya sejak 2020.
Orang ramai bersorak tanpa henti dan berharap joki atau pengendali kerbau pilihan mereka muncul juara dalam festival kali ini.
Bagaimanapun, perlumbaan pada hujung minggu lalu dicemari insiden ‘huru-hara’ selepas beberapa peserta mengabaikan peraturan pertandingan selain beberapa ekor kerbau enggan ‘beraksi’ di kawasan sawah padi.
Acara utama menyaksikan pertarungan empat ekor kerbau dikawal joki tanpa alas kaki yang mempamerkan semangat juang tinggi untuk melepasi garisan penamat.
Pemenang perlumbaan membawa pulang wang tunai serta beberapa hadiah sampingan lain.
Secara tradisi, setiap kerbau yang memasuki perlumbaan tersebut akan diberi makan nasi dicampur telur, pati ayam atau sup sirip ikan yang dipercayai dapat menambah kekuatan haiwan berkenaan.
Perlumbaan kali ini dibahagikan mengikut berat dan saiz kerbau.
Selain lumba kerbau, festival juga menyaksikan pedati kerbau berhias dengan penari dalam pakaian tradisi berwarna keemasan berarak sebelum pertandingan.
Festival berkenaan diakhiri dengan pertandingan kerbau paling cantik. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca