SHAH ALAM - Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di sini mendapati kadar peningkatan itu melibatkan kesemua jenis minyak masak botol iaitu 1, 2, 3 dan 5 kilogram (kg).
Bagi minyak botol 5kg, peningkatan harga melibatkan pelbagai jenama termasuk Seri Murni yang naik kepada RM42.70 iaitu 44 peratus, diikuti Buruh, RM42.60 (43.5 peratus); Alif, RM42.50 (43 peratus); Vesawit, RM42.25 (42.5 peratus) dan Saji, RM42.20 (42 peratus).
Sementara itu, pek minyak masak botol pelbagai jenama bagi berat 2kg pula merekodkan kenaikan mencecah RM18.15 iaitu peningkatan sehingga 43 peratus berbanding harga siling sebelum ini, manakala botol 3kg pula merekodkan peningkatan sehingga 44 peratus.
Harga pek botol 1kg pelbagai jenama juga menunjukkan kenaikan harga jualan mencecah RM9.50 iaitu peningkatan kira-kira 42 peratus.
Bagaimanapun, tinjauan turut mendapati terdapat beberapa pasar raya masih menjual minyak masak botol pada harga siling terakhir ditetapkan kerajaan sebelum ini iaitu RM29.70 bagi berat 5kg, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg) dan RM6.70 (1kg).
Difahamkan, harga yang ditawarkan itu adalah harga promosi dan pasar raya itu juga mengehadkan pembelian kepada dua botol minyak masak untuk setiap keluarga.
Sementara itu, seorang pengguna, Zaitul Amali Zakaria, 42, berkata, kenaikan melibatkan minyak masak botol itu sememangnya telah dijangkakan.
"Saya akui ia memang membebankan terutamanya untuk mereka yang berpendapatan rendah tetapi kena beli juga kerana minyak masak adalah barangan keperluan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu tadika dan tinggal bersama suami, ibu mertua serta lima orang anaknya.
Dalam pada itu, pekerja pemotong daging, Azizul Mohd, 49, berkata, dia telah mula menggunakan minyak masak peket 1kg bagi menjimatkan perbelanjaan keluarga.
"Saya akan beli tiga peket seperti yang dihadkan oleh pasar raya dan biasanya tempoh penggunaan minyak masak tersebut akan tahan untuk dua minggu,” katanya.
Bagaimanapun, menurut Azizul, dia sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan minyak masak peket 1kg yang dijual pada harga RM2.50 itu di pasar raya atau kedai-kedai runcit.
Klik di sini untuk terus membaca