SHAH ALAM - Setakat ini masih belum ada individu dalam kalangan ahli UMNO membuat aduan kepada Lembaga Disiplin berhubung sidang akhbar khas dan pendedahan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pada Isnin.
Salah seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Arman Azha Abu Hanifah berkata, Lembaga Disiplin UMNO akan mengambil tindakan memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak itu sekiranya ada individu yang membuat laporan rasmi.
"Sekarang ini belum ada sesiapa buat laporan. Kalau dah ada orang report (mengadu) barulah Lembaga Disiplin panggil. Selagi belum, macam mana nak panggil.
"Lembaga Disiplin cuma akan panggil kalau kata betul benda tu ada laporan atau aduan. Sekarang ini belum ada sesiapa buat. Nak tengok juga siapa buat laporan tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Menerusi sidang akhbar khas pada Isnin, Tajuddin seolah-olah memberi isyarat ‘perang’ kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan membongkar beberapa gerakan yang didakwa didalangi Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut.
Antara perkara yang dibongkar beliau termasuklah mendakwa wujudnya akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.
Tajuddin berkata, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu meskipun yang pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.
Mengulas isu sama, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii turut menegaskan bahawa Lembaga Disiplin parti itu akan memanggil Tajuddin jika terdapat aduan rasmi.
"Mungkin perkara tersebut akan berlaku tetapi ada prosedurnya. Kalau ada orang mengadu baru beliau (Tajuddin) dipanggil,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca