KUANTAN - Penetapan harga siling runcit ayam standard kepada RM9.40 sekilogram bermula pada Jumaat memberi kelegaan buat semua peniaga ayam di negeri ini.
Tinjauan Sinar Harian di pasar basah Balok dan Beserah mendapati, peniaga ayam mematuhi harga siling seperti ditetapkan kerajaan.
Mereka juga mengakui harga baharu itu memberi margin keuntungan kepada mereka sekurang-kurangnya RM1 berbanding sebelum ini.
Peniaga ayam, Ali Akbar Othman, 56, berkata, keuntungan RM1 cukup berbaloi buat semua peniaga barangan mentah itu kerana tidak perlu menanggung kos modal.
Malah, katanya, peniaga boleh meneruskan aktiviti jualan tanpa memikirkan tindakan untuk menghentikan operasi perniagaan mereka.
"Sebelum ini margin untung kurang daripada 50 sen dan adakala terpaksa mengorbankan modal dengan menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram, sedangkan pemborong meletakkan harga RM8.50 hingga RM8.60 sekilogram.
"Tetapi dengan harga siling (RM9.40) sekarang, kami boleh kekal (berniaga), ada margin untung yang berbaloi walaupun RM1,” katanya di Pasar Basah Balok di sini pada Jumaat.
Menurut Ali Akbar, peniaga boleh mematuhi harga siling yang ditetapkan kerajaan jika mampu mengawal harga di peringkat pengeluar.
"Jika kerajaan letak harga munasabah seperti hari ini (harga siling), semua peringkat boleh mengikut harga tersebut tanpa berlakunya kenaikan yang membebankan pengguna,” katanya
Sementara itu, Shahrom Muhamad, 41, pula menganggap keputusan penetapan harga siling sebagai situasi menang-menang antara pengeluar, pemborong dan peniaga ayam di seluruh negara.
Beliau yang telah 12 tahun menjual ayam berkata, krisis kenaikan harga ayam secara mendadak sebelum ini dapat ditangani dengan baik oleh pihak kerajaan.
"Kita lega kerana harga ayam di peringkat pemborong tidak semahal seperti sebelum ini iaitu sekitar RM8.10 sekilogram, berbanding RM9.60.
"Jadi bila harga murah, kita sebagai peniaga dapat menjual bahan mentah itu mengikut harga ditetapkan dan lebih murah,” ujarnya.
Peniaga ayam di Pasar Basah Beserah, Roziatul Aini Razali, 39, pula berharap kerajaan dapat mengkaji harga di peringkat ladang bagi mengurangkan harga ayam di semua rantaian bagi membantu pembeli yang terbeban.
"Saya tidak tergamak untuk jual ayam dengan harga mahal tetapi terpaksa kerana dapat harga tinggi daripada pemborong.
"Kawal harga di peringkat pengeluar, jadi sudah pasti saya dan peniaga lain mampu menjual bahan mentah dengan harga berpatutan,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Rosini Ariffin, 57, berkata, ayam dijual pada harga siling sebagaimana telah ditetapkan pihak kerajaan bermula Jumaat.
"Alhamdulillah, harga daripada pembekal tidak terlalu tinggi, jadi kita dapat mematuhi harga kawalan kerajaan.
"Pembeli pun memahami dan boleh menerima harga baharu ini. Ia tidak terlalu membebankan berbanding sebelum ini,” ujarnya yang sudah 30 tahun menjual ayam.
Dalam pada itu, seorang pelanggan, Farah Azmera Mohd Rosdi, 26, mengakui tiada pilihan dan terpaksa membeli ayam ketika harga bahan mentah itu tinggi.
"Ayam adalah satu keperluan, mahu tidak mahu kita terpaksa beli. Justeru, kerajaan kena main peranan mengawal kenaikan ini,” katanya.
'Ada peniaga ayam jual dengan harga lebih rendah'
Sementara itu, peniaga ayam runcit di Terengganu menjual bahan mentah tersebut mengikut harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 sekilogram (kg) pada hari pertama ia dikuatkuasakan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Nor Azmi Lamisza berkata, tinjauan setakat jam 10 pagi mendapati peniaga mematuhi harga tersebut.
Menurutnya, ada juga segelintir peniaga yang menjual ayam mentah lebih rendah daripada harga siling ditetapkan dan usaha penjual berkenaan wajar dipuji kerana bersama-sama membantu meringankan beban pengguna.
"Setakat ini kita dapati barang-barang kawalan iaitu ayam dan telur dijual mengikut harga ditetapkan, cuma kita akan lihat dari segi bekalan bagi memastikan stok sentiasa cukup.
"Kita akan berhubung rapat dengan MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) untuk memastikan bekalan mencukupi agar barang dapat dijual pada harga ditetapkan,” katanya selepas membuat tinjauan pe-laksanaan Pemeriksaan Fasa II OPS ATM (Ayam, Telur Ayam dan Minyak Masak) di sini pada Jumaat.
Klik di sini untuk terus membaca