SHAH ALAM - Rata-rata rakyat di Selangor lega dengan peniaga yang menjual ayam pada harga siling iaitu RM9.40 sekilogram (kg) yang berkuat kuasa di seluruh negara mulai Jumaat.
Tinjauan Sinar Harian di Pasar Moden Seksyen 6 dan Seksyen 16, di sini pada Jumaat mendapati para peniaga ayam menjual sumber protein berkenaan mengikut harga yang telah diumumkan oleh kerajaan pada Rabu.
Hasil tinjauan turut mendapati para peniaga turut memaparkan harga siling tersebut menggunakan tag harga merah jambu seperti ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Salah seorang pengguna, Sharifah Zarina Syed Abu Bakar, 46, berpuas hati dengan penetapan harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, tindakan tersebut merupakan inisiatif yang bagus apabila sumber protein tersebut adalah antara paling digemari oleh golongan kanak-kanak.
"Sebelum ini saya beli tiga ekor ayam seminggu untuk hidangan sekeluarga. Jadi bila harganya naik, memang saya kena kawal (perbelanjaan).
"Jadi saya perlu beralih kepada sumber protein lain seperti ikan dan telur buat sementara waktu,” katanya.
Pengguna lain, Mohd Tarmizi Abd Wahab, 55 turut memuji tindakan kerajaan menetapkan harga siling ayam bagi mengekang kenaikan harga sumber protein tersebut secara berleluasa.
"Baguslah bila kerajaan tetapkan harga siling, bantu urus perbelanjaan lebih mudah,” katanya.
Dalam pada itu, Thivyah Muthu, 28 berkata, penetapan harga siling bagi ayam memberikan satu kelegaan kepadanya untuk membeli sumber protein berkenaan kerana harganya setara di tempat-tempat lain.
Bagaimanapun katanya, kerajaan perlu mencari solusi bagi mengekang bekalan ayam yang didakwa berkurangan pada sesetengah masa.
"Sekarang ini memang ada kekurangan stok, jadi dari segi itu, ini (penetapan harga siling ayam standard) langkah yang bagus,” katanya.
‘Isu subsidi masih belum jelas’
Sementara itu di SHAH ALAM, Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) mengakui berdepan kesukaran untuk mematuhi harga siling ayam di pasaran memandangkan ketika ini pihaknya masih belum jelas mengenai isu pemberian subsidi kepada mereka.
Penasihatnya, Datuk Jeffrey Ng berkata, isu pemberian subsidi itu seharusnya diselesaikan terlebih dahulu sebelum pelaksanaan harga siling baharu ayam dibuat pada Jumaat.
Ini kerana katanya, FLFAM tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi harga tersebut, namun penjelasan mengenai apa yang dipersetujui sebelum ini perlu dibuat supaya semua pihak mendapat manfaat yang sepatutnya.
"Sebelum ini, kita sudah berjanji dengan kerajaan akan ikut (harga siling baharu ayam), cuma sampai ke hari ini isu subsidi masih belum jelas. Sepatutnya pihak berkenaan sudah berikan penjelasan mengenai jumlah, perkiraan dan sebagainya.
"Kalau isu mengenai subsidi ini tidak selesai, maka agak sukar untuk penternak memastikan harga yang ditetapkan itu dipatuhi kerana mereka juga perlu mengambil kira mengenai kos yang ditanggung,” katanya.
demikian ketika diminta mengulas mengenai punca harga ayam berbeza-beza dan tidak mengikut harga siling yang ditetapkan kerajaan.
Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, keputusan kerajaan menetapkan harga siling baharu ayam RM9.40 sekilogram dilihat sebagai langkah tepat untuk membantu mengurangkan beban rakyat.
Namun katanya, aspek pelaksanaan khususnya oleh pegawai-pegawai bertanggungjawab perlu diberi perhatian lebih serius.
Klik di sini untuk terus membaca