SUKAR untuk diperoleh tetapi sentiasa ada dalam fikiran rata-rata rakyat Argentina bahawa dolar Amerika Syarikat (AS) adalah pengukur bagi ekonomi dan fungsi itu sekali gus mengambil alih peranan mata wang tempatan iaitu peso ketika negara... Klik di sini untuk terus membaca

SUKAR untuk diperoleh tetapi sentiasa ada dalam fikiran rata-rata rakyat Argentina bahawa dolar Amerika Syarikat (AS) adalah pengukur bagi ekonomi dan fungsi itu sekali gus mengambil alih peranan mata wang tempatan iaitu peso ketika negara berkenaan dilanda masalah ekonomi.

"Dolar! Tukar, tukar!" jerit seorang pengurup wang tidak rasmi yang mengikut pergerakan para pelancong, dan penduduk tempatan di jalan-jalan di daerah pejabat pusat di Buenos Aires, negara kelahiran legenda bola sepak negara itu, mendiang Maradona.

Tukaran wang asing secara haram itu sebenarnya menyalahi undang-undang tetapi ia adalah sebahagian daripada arus kehidupan kerana tukaran tidak rasmi itu adalah kira-kira dua kali ganda daripada kadar rasmi.

"Ia (tukaran mata wang AS secara haram) adalah perkhidmatan kepada masyarakat... sebahagian daripada keadaan normal negara," kata seorang arbolito atau pengurup wang tidak rasmi itu kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Ketika ini mengikut perkiraan di pasaran gelap, nilai satu dolar (RM4.40) adalah bersamaan dengan kira-kira 236 peso (RM8.31) dan bukannya 130 (RM4.58) iaitu nilai yang digunakan bagi tukaran mata wang AS secara rasmi.

Setahun yang lalu, kadar pertukaran tidak rasmi ialah AS$1 ialah 170 peso (RM5.98) di pasaran gelap berbanding 95 peso (RM3.34) di pasaran rasmi.

Peso ialah mata wang rasmi Argentina.

Untuk menstabilkan peso, warga Argentina telah dilarang oleh undang-undang sejak tahun 2019 daripada berbelanja lebih daripada AS$200 (RM881.40) dengan menggunakan dolar AS setiap bulan.

Ia sudah tentu menyemarakkan lagi permintaan dolar AS dan ramai penduduk Argentina menggunakan sebanyak mungkin mata wang AS untuk membeli barangan di jalanan.

Dolar AS amat penting ketika Argentina dilanda krisis ekonomi. - Foto AFP

Seorang penjual barangan, Marcela Leiron berkata bahawa sama seperti semut yang mengumpulkan makanan, dia membeli dolar AS dari AS$20 (RM88.14) hingga AS$50 (RM220.35) sebulan.

Menurutnya, dia juga membeli dolar AS seberapa banyak boleh.

Perdagangan pasaran gelap, seterusnya, menyemarakkan lagi inflasi yang telah mencecah sehingga 60.7 peratus sehingga Mei lalu dan ia merupakan salah satu daripada kadar yang tertinggi di dunia buat masa kini.

Manusia seperti Leiron sangat terdesak untuk mendapatkan dolar sehingga ada penduduk yang terpaksa mengeluarkan wang untuk menukarkan peso kepada dolar walaupun mengetahui bahawa mereka perlu menukarnya semula untuk membayar barangan atau perkhidmatan tertentu.

"Dalam masyarakat dwi-mata wang seperti Argentina, di mana dolar adalah sebagai rujukan, orang ramai membuat simpanan dalam dolar," kata seorang ahli ekonomi, Andres Wainer dari Fakulti Sains Sosial Amerika Latin.

Penduduk negara itu mungkin mengharapkan nilai dolar yang kukuh kerana ia bermakna simpanan mereka akan menjadi lebih bernilai tetapi sebenarnya tindakan seumpama itu adalah merugikan ekonomi Argentina sendiri.

Pada tahun 2021, seorang ahli ekonomi, Nicolas Gadano yang juga bekas pengarah Bank Pusat menganggarkan bahawa rakyat Argentina memegang kira-kira AS$200 bilion (RM881.40 bilion) wang kertas dan jumlah tersebut adalah 10 peratus daripada edaran mata wang AS di dunia.

Pada hakikatnya, setiap warga Argentina tidak akan melepaskan dolar dalam tangan masing-masing.

Di Buenos Aires, kafe dan kedai memaparkan kadar yang mereka berikan kepada pelanggan yang membayar dalam dolar AS.

"Orang Argentina menyimpan mata wang dolar AS dan apabila krisis melanda, dia menjualnya. Dia tidak yakin dengan peso," kata seorang lagi pengurup wang di pasaran gelap kepada AFP.

Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Bank Negara mengumumkan langkah-langkah untuk mengehadkan import tertentu untuk terus melindungi rizab asing di tengah-tengah kenaikan pesat harga makanan dan bahan api sebahagiannya disebabkan oleh perang di Ukraine.

Seorang ahli sosiologi, Mariana Luzzi berkata, dolar AS adalah untuk semua warga Argentina tanpa mengira kelas sosial mereka selain menjadi kunci untuk mentafsir pergerakan ekonomi dan politik negara.

"Kami warga Argentina tahu betul bahawa jika dolar meningkat, ia mengumumkan kesukaran. Ini akan mengakibatkan kenaikan harga, tetapi secara lebih mendalam, ia bermakna sesuatu yang penting sedang berlaku dalam ekonomi yang tidak dapat dikawal oleh kerajaan," ujarnya. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca