SHAH ALAM - Mana-mana pihak khususnya peniaga ayam dan telur ayam yang gagal mematuhi penetapan harga barangan terkawal itu boleh dikenakan denda mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mana-mana pihak khususnya peniaga ayam dan telur ayam yang gagal mematuhi penetapan harga barangan terkawal itu boleh dikenakan denda mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam hantaran di laman Facebook rasmi memaklumkan, individu yang gagal mematuhi akta berkenaan akan dikenakan denda sehingga RM100,000 atau kompaun sehingga RM50,000 sekiranya didapati bersalah.

Bagi syarikat yang didapati tidak mematuhi peraturan tersebut, boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.

Sementara itu menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut mengingatkan peniaga ayam untuk mempamerkan tanda harga caj tambahan termasuk upah memotong bekalan itu jika bercadang mengenakan bayaran terhadap perkhidmatan berkenaan.

Alexander berkata, peniaga perlu bertanggungjawab dan jujur dalam soal itu meskipun pihaknya belum menetapkan kadar bersesuaian.

"Jika mereka (peniaga) mahu mengenakan caj, perlu mempamerkan (harga) supaya pengguna tahu akan ada caj lebihan.

"KPDNHEP kawal, jika ada aduan yang diterima dan apabila disiasat didapati caj itu tidak berpatutan, kita akan ambil tindakan.

"Buat masa ini kita pantau. Kita belum lagi letakkan kadar (caj tambahan), tetapi diharap peniaga beretika,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau penjualan ayam dan telur di Seksyen 15 di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu Alexander berkata, peniaga tidak seharusnya mengenakan caj tambahan terhadap pemotongan ayam memandangkan harga siling yang baharu ditetapkan pada kadar RM9.40 bagi satu kilogram (kg).

Harga ayam dijual lebih RM10 sekilogram

Sementara itu, harga ayam di Johor Bahru didapati mencecah lebih RM10 sekilogram (kg) sekali gus melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan iaitu RM9.40 satu kg.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kedai runcit dan premis menjual ayam di sini mendapati kebanyakan ayam segar dijual pada harga RM10 satu kg ke atas kerana peniaga mendakwa mendapat harga yang tinggi daripada pembekal.

Seorang peniaga di Taman Kota Masai, Fikri Yusrizal, 25, memberitahu, kedai runcitnya memperoleh kira-kira 50 ekor ayam sehari dan menjualnya pada harga RM11 untuk satu kg.

Fikri Yusrizal memotong ayam segar untuk pelanggan di sebuah kedai runcit di Taman Kota Masai, Johor Bahru, pada Jumaat.

"Memang ada pelanggan yang merungut dengan harga ayam dijual tetapi peniaga terpaksa menjual pada harga itu. Biasanya memang habis walaupun harga ayam tidak menentu,” katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Seorang lagi peniaga di taman itu, Munawi Mahyidin, 29, berkata, kedainya sudah dua hari tidak membeli bekalan ayam untuk dijual kerana harga yang ditawarkan pembekal tinggi.

"Saya membeli bekalan ayam untuk kedai runcit dengan tiga buah kilang tetapi pada ketika ini semuanya menawarkan harga yang mahal. Saya dapat ayam segar dengan harga RM11.50 satu kg dan menjual pada harga RM12.50 satu kg.

"Harga ayam meningkat lagi dan saya terpaksa berhenti sekejap dan cuba mencari pembekal ayam lain dengan harga murah,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca