SETELAH hampir sebulan tidak ke pasar, saya sempat berborak dengan pak cik penjual sayur yang tidak pernah ketinggalan membaca penulisan saya pada setiap Sabtu di Sinar Harian. Pada hari itu, beliau bertanya kepada saya, "Macam mana Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH hampir sebulan tidak ke pasar, saya sempat berborak dengan pak cik penjual sayur yang tidak pernah ketinggalan membaca penulisan saya pada setiap Sabtu di Sinar Harian.

Pada hari itu, beliau bertanya kepada saya, "Macam mana Dr boleh dapatkan ilham untuk menulis artikel setiap minggu?”

Secara spontan saya menjawab, "Saya pun tak perasan macam mana boleh dapatkan ilham itu. Adalah jelas, kesemua ilham itu datang daripada ALLAH SWT”.

Sesungguhnya ilham untuk menulis yang dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada saya, begitu besar anugerahnya.

Sebetulnya, kurniaan ilham untuk menulis adalah sebahagian kecil daripada pelbagai bentuk ilham yang sangat luas daripada ALLAH SWT. Kurniaan ilham bermaksud sesuatu yang menggerakkan hati atau menimbulkan daya cipta untuk menghasilkan atau mencapai sesuatu.

Menerusi ilham tersebut, kita akan diberikan petunjuk untuk memilih jalan yang betul atau salah selaras dengan firman ALLAH SWT, "Serta (ALLAH) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawanya kepada kepada bertakwa” (Surah al-Syams, 91:8).

Selain itu, peringkat kurniaan ilham juga berbeza dalam kalangan individu bergantung sejauh mana dekat dan tingginya ketakwaan kepada ALLAH SWT.

Yang jelas, kisah ibu Nabi Musa yang terdesak mencari jalan untuk menyelamatkan anaknya daripada kezaliman Firaun telah diberikan ilham oleh ALLAH SWT menerusi firmannya,

"Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa, ‘Susukanlah dia, dalam pada itu, jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka (letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut dan janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita, sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu dan Kami akan melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami.” (Surah Al-Qasas, 28:7).

Pun begitu, tidak kurang juga individu yang keliru untuk membezakan antara ilham dan lintasan hati. Kebiasaannya, lintasan hati adalah dipengaruhi oleh nafsu, logik akal dan bisikan daripada iblis.

Justeru, lintasan hati mendorong seseorang itu menjadi waswas, keliru dan cenderung melakukan sesuatu perkara yang melanggar hukum dan syariat Islam sama ada dengan memuja diri sendiri dan menghina orang lain.

Berkaitan hal itu, dari Abu Hurairah RA berkata, "Sekumpulan manusia dalam kalangan para sahabat datang bertemu Nabi SAW, lalu mereka bertanya, ‘Sesungguhnya kami telah mendapati dalam hati kami lintasan-lintasan hati yang kami anggap ia suatu kesalahan besar jika diucapkan dengan lidah.

Nabi SAW bertanya, ‘Kamu sudah terkena lintasan-lintasan itu? Mereka menjawab, ‘Ya’. Nabi SAW bersabda, ‘Demikian itu iman yang jelas’. (Hadis Riwayat Muslim).

Selain itu, dalam suatu hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya ALLAH mengampunkan bagi umatku apa yang diwaswaskan dengannya di dalam hatinya, selagi mana dia tidak melakukan atau mengatakan (apa yang diwaswaskan).” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Pada hemat saya, walaupun kurniaan ilham adalah anugerah yang cukup besar daripada ALLAH SWT, namun begitu kita tidak akan peroleh ilham tersebut tanpa berusaha dengan bersungguh mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.

Sesungguhnya sifat ikhlas, rendah diri dan ketakwaan akan terpancar ke dalam hati dengan izin ALLAH SWT setelah kita dekat dengan-Nya.

Selain daripada mendapat ilham untuk mencari pekerjaan, mengubati penyakit, menyambung pelajaran, mendapat jodoh, membantu masyarakat dan sebagainya, sewajarnya kita berdoa kepada ALLAH SWT agar dikurniakan ilham untuk mendekati-Nya secara istiqamah.

Semoga dengan doa yang berterusan, kita diberikan ilham untuk beramal sebaik mungkin terutamanya sepanjang tempoh 10 hari awal di bulan Zulhijjah. Semoga dikurniakan ilham sehingga akhir hayat.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca