POLITIK Malaysia telah memanfaatkan media digital bagi memudahkan pelbagai tujuan yang dapat memberikan keuntungan secara mudah kepada pemimpin, parti politik, atau pun kerajaan pemerintah. Umum mengetahui, bidang politik merupakan suatu... Klik di sini untuk terus membaca

POLITIK Malaysia telah memanfaatkan media digital bagi memudahkan pelbagai tujuan yang dapat memberikan keuntungan secara mudah kepada pemimpin, parti politik, atau pun kerajaan pemerintah.

Umum mengetahui, bidang politik merupakan suatu ruang yang sangat subjektif sifatnya.

Dalam konteks politik Malaysia, penggunaan media digital telah bermula sejak akhir tahun 1990-an lagi.

Pada ketika itu, oleh kerana kawalan media perdana yang tidak membenarkan isu-isu sensitif disebarkan dalam kalangan masyarakat, parti politik seperti DAP, Pas dan Semangat 46 membangunkan laman web masing-masing serta ruangan perbualan untuk memudahkan para penyokong serta masyarakat mendapatkan maklumat berkait perkembangan politik semasa, serta kempen pilihan raya yang akhirnya diterjemahkan kepada sokongan terhadap parti politik terbabit.

Selepas itu, pada awal tahun 2000, kebanyakan parti politik termasuk juga parti pemerintah turut menggunakan strategi sama bagi meraih dan merapatkan sokongan masyarakat terhadap mereka.

Hanya selepas munculnya Facebook pada tahun 2004 dan dibuka kepada masyarakat dunia pada tahun 2006, bermulalah era baru dalam landskap politik Malaysia yang mengamalkan konsep mediatization yang merupakan perkembangan sistem politik yang dipengaruhi oleh media digital dan situasi politik semasa.

Sejak awal penggunaan media digital di Malaysia, kandungannya telah berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk memilih parti dan pemimpin yang diidamkan.

Hal ini telah dibuktikan melalui tiga Pilihan raya Umum (PRU) Malaysia sebelum ini, iaitu pada PRU ke-12, PRU ke-13 dan PRU ke-14. Ketiga-tiga pilihan raya tersebut telah melibatkan sejumlah besar penggunaan media digital dan media sosial dalam kalangan parti politik, pemimpin, pihak kerajaan dan juga pembangkang.

Walaupun interaksi sosial masih lagi penting dalam kalangan pemimpin, ahli parti politik dan akar umbi untuk menarik sokongan masyarakat, kekuatan media digital dan media sosial melalui Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube telah berjaya memberi kesan besar kepada kekalahan parti Barisan Nasional pada PRU ke-14 yang lalu.

Walaupun terdapat pelbagai faktor lain yang boleh dikaitkan dengan kekalahan tersebut, peranan media sosial serta kandungan maklumat berjaya mempengaruhi para pengundi berdaftar dan akhirnya Pakatan Harapan berjaya membentuk kerajaan pada tahun 2018.

Situasi ini sebenarnya banyak memberikan panduan dan pengajaran yang bermakna kepada para pemerhati politik, pengkaji, ahli akademik, sarjana dan intelektual, memberi perhatian serius kepada media sosial.

Jika dilihat sepintas lalu, isu-isu tempatan yang menjadi perdebatan di media sosial terfokus kepada kesan ekonomi terhadap survival masyarakat dalam menghadapi cabaran terhadap pandemik Covid-19.

Isu-isu ekonomi seperti pengeluaran KWSP melalui i-sinar, moratorium, kehilangan pekerjaan, kebergantungan terhadap perniagaan berskala kecil, dan sebagainya menjadi isu utama yang sering dihujah dan diperdebatkan di kebanyakan laman media sosial.

Selain daripada isu yang terkait dengan Covid-19, kebanyakan warga maya juga sangat prihatin kepada perkembangan yang berlaku serta reaksi ditunjukkan oleh mana-mana parti dan pemimpin yang mewakili parti politik.

Contohnya parti UMNO dan Pas dilihat sebagai suatu gabungan yang sangat mantap untuk membela dan mempertahankan hak etnik Melayu secara umum. Kedua-dua parti yang telah berusia lebih daripada 50 tahun ini merupakan benteng harapan untuk etnik Melayu, memastikan hak dan kepentingan mereka.

Namun demikian, kredibiliti yang sering ditunjukkan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6 sering mendapat perhatian warga maya dan ini memberikan sedikit kelebihan untuk UMNO membina kembali reputasi mereka.

Ringkasnya media digital dan kandungannya telah berjaya menginstitusikan masyarakat Malaysia secara umum.

Media digital berperanan besar dalam menyampaikan maklumat secara atas talian dan masyarakat yang memiliki pengetahuan dan kepakaran dalam menggunakan peranti pintar dapat mengakses dengan mudah maklumat yang terkandung dalamnya.

Kebergantungan rakyat Malaysia terhadap maklumat ini sangat tinggi dan Malaysia merupakan salah satu negara mencatatkan jumlah pengguna media sosial tertinggi di Asia. Media digital bukan sahaja menyediakan platform membina budaya dan identiti baru, malah ia juga berperanan membentuk landskap politik dan pentadbiran baharu menjelang PRU15 nanti.

* Shafezah Abdul Wahab ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi UiTM Cawangan Melaka.

Klik di sini untuk terus membaca