SHAH ALAM - Pada saat UMNO kini dilanda krisis kepimpinan, seorang ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu mengambil langkah progresif apabila melancarkan kempen perdamaian parti bagi menggalakkan pucuk kepimpinan UMNO kembali ke meja rundingan.
Ahli MKT UMNO berkenaan, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, kempen menyeru agenda damai parti itu penting bagi memastikan krisis politik dihadapi parti Melayu tertua di Malaysia itu berakhir dengan kejayaan dan bukan menjadi penyebab perpecahan.
Jelas Ketua UMNO Bahagian Subang itu, beliau bersedia menjadi pemangkin damai UMNO dengan menyeru kesemua pucuk kepimpinan parti itu berunding bagi mencari titik persamaan sesama mereka.
"Ada dua cara untuk memastikan agenda damai UMNO mampu dijayakan. Yang pertama, ia harus bermula daripada peringkat akar umbi dengan kita jangan menjadi api kepada perpecahan dan jangan siram petrol terhadap isu-isu semasa.
"Apabila mereka membicarakan perbalahan atau perpecahan, kita harus menyuruh mereka menghentikan perbuatan sebegitu. Ia bermula daripada keazaman akar umbi UMNO di peringkat cawangan, bahagian dan kepimpinan lebih tinggi.
"Kedua, kita kena menyelami semula sejarah bagaimana UMNO ditubuhkan pada tahun 1946. Parti ini ditubuhkan apabila 43 badan bukan kerajaan (NGO) bersetuju membentuk sebuah parti bagi membela negara, agama dan bangsa Malaysia melalui meja rundingan.
"Ini masanya kita kembali kepada meja rundingan untuk menjadi pemangkin perdamaian antara pihak mahukan penyatuan dan perpecahan parti. Ayuh kita kembali ke meja rundingan untuk mencari titik penyelesaian," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas krisis dalaman politik yang tercetus susulan tindakan pemecatan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatan ahli MKT UMNO oleh pucuk pimpinan parti, dua minggu lalu.
Berikutan itu, Tajuddin bertindak balas dengan mengemukakan pendedahan beberapa dakwaan kecurangan politik Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui satu sidang media khas pada Isnin lalu.
Pendedahan sensasi itu termasuklah pembongkaran Ahmad Zahid mendalangi gerakan mengumpul tandatangan surat akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, tahun lalu.
KRISIS DIADA-ADAKAN
Sementara itu, seorang lagi ahli MKT UMNO baru dilantik, Isham Jalil pula mengemukakan pendirian berbeza dengan menyatakan krisis politik UMNO yang berlaku ketika ini hanyalah satu krisis yang diada-adakan bagi menunjukkan parti itu kononnya sedang bertelagah.
Menyifatkan keputusan dilucutkan jawatan parti adalah satu perkara biasa, Isham sebaliknya mempersoalkan 'timing' pendedahan Tajuddin yang disifatkannya sama seperti tindak balas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang turut melakukan pendedahan masalah dalaman UMNO setelah dipecat daripada jawatan Setiausaha Agung UMNO.
"Mereka mengungkit cerita tahun 2020, sedangkan tindakan 23 ahli Parlimen UMNO berdiri di atas pentas bagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada saat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 membuat ketetapan 'No Anwar, No PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan No DAP' adalah perkara lebih semasa yang berlaku tahun lalu.
"Itu juga adalah satu perkara besar yang bertentangan dengan kehendak akar umbi UMNO. Lagipun, kalau dibandingkan antara Pengerusi PN dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muyiddin Yassin dan Anwar, saya fikir Muhyiddin lebih teruk.
"Ini kerana beliau dan Bersatu mencuri ahli Parlimen UMNO untuk menyertai parti mereka," tegas Isham.
Mengulas lanjut, Isham turut menolak dakwaan pendedahan Tajuddin kononnya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kononnya turut mendalangi usaha menjatuhkan Ahmad Zahid sekitar Mei tahun 2020.
"Kalau betul pun ada, takkan lah Ahmad Zahid yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri tak tahu pasal perkara itu? Sudah pasti kelompok yang merancang gerakan sedemikian akan dipecat Presiden UMNO kerana tindakan itu melanggar perlembagaan parti.
"Kalau betul pun ada pihak hendak menjatuhkan Presiden UMNO, tunggulah saat pemilihan parti. Sekarang pemilihan parti ditangguhkan sebab kita tidak mahu parti berpecah sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca