SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menempelak inisiatif kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang didakwa sedang merancang untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) pada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menempelak inisiatif kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) yang didakwa sedang merancang untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas (bps) pada mesyuarat bulan ini, menjadikan kadarnya mencecah 2.50 peratus.

Ujar Isham, strategi menaikkan kadar OPR bukan satu langkah bijak bagi membantu mengawal masalah inflasi yang semakin memuncak di Malaysia, disebabkan inflasi yang berlaku bukan berpunca daripada faktor permintaan meningkat.

Sebaliknya, beliau bersetuju dengan pandangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini yang menjelaskan masalah kenaikan kos harga barang dan sara hidup yang melanda negara ketika ini, disebabkan senario ekonomi stagflasi.

"Fenomena ekonomi stagflasi berlaku adalah disebabkan kadar permintaan masih rendah, namun harga barang meningkat disebabkan harga kos pengeluaran komoditi meningkat di seluruh dunia.

"Justeru, apabila BNM mengambil langkah menaikkan kadar OPR sehingga 50 mata asas, ia sebenarnya akan mengheret masalah inflasi negara ke arah lebih meruncing.

"Hal ini kerana syarikat perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PKMS) kemudiannya terpaksa membayar nilai pinjaman bank lebih tinggi pada saat mereka tidak mendapat permintaan tinggi pada setiap produk dikeluarkan.

"Sekiranya perkara sebegini menjadi realiti, golongan berpendapatan rendah (B40) dan pendapatan sederhana (M40) yang akan menjadi mangsa dan bakal terkesan teruk," ujar beliau kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan beberapa penganalisis kewangan seperti AmBank Research yang menjangkakan BNM bakal meningkatkan OPR sebanyak 50 mata asas pada Julai ini.

Keputusan itu diunjurkan bakal direalisasikan BNM susulan jangkaan inflasi berada pada kadar antara 2.8 peratus hingga tiga peratus untuk 2022.

Langkah BNM itu, sekiranya menjadi realiti, juga dianggap sebagai tindak balas terhadap keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) bertindak mengenakan kenaikan kadar faedah lebih agresif sehingga 75 mata asas dalam mesyuarat Jun lalu.

JANGAN IKUT FED AS

Mengulas lanjut, Isham berpandangan BNM tidak wajar terikut-ikut dengan langkah Fed AS menaikkan kadar pinjaman lebih agresif kerana Malaysia berdepan keadaan inflasi yang berbeza berbanding dengan AS.

Jelasnya, apabila Fed AS menaikkan kadar pinjaman, mata wang Dolar AS kini semakin mengukuh susulan kerajaannya stabil dan pelabur berpeluang meningkatkan keuntungan dengan kembali melabur di negara itu.

"Keadaan di Malaysia pula berbeza apabila mata wang Ringgit Malaysia (RM) semakin lemah disebabkan faktor ketidakstabilan politik menakutkan pelabur asing untuk menambahkan nilai pelaburan di sini.

"Suka atau tidak suka, jalan terbaik untuk memulihkan ekonomi negara daripada dwi krisis yang timbul selepas Covid-19 dan krisis Rusia-Ukraine adalah dengan mengadakan pilihan raya umum segera.

"Ini bukan soal hendak lantik siapa jadi Perdana Menteri. Tetapi ini soal kelangsungan rakyat dengan kita lihat negara-negara jiran yang sudah mengadakan pilihan raya seperti Indonesia dan Singapura, sudah mendapat manfaat apabila reset politik dilaksanakan," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca