SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar sebuat portal berita mendedahkan identiti sumber berita yang dipetik berhubung dakwaan berlaku penipuan besar-besaran dalam pemilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mencabar sebuat portal berita mendedahkan identiti sumber berita yang dipetik berhubung dakwaan berlaku penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu, Mei lalu.

Cabaran itu dibuat Ahli Parlimen Bukit Katil berkenaan susulan beliau menyifatkan laporan berita yang memetik maklumat sumber yang tidak didedahkan identiti, adalah bersifat 'meragukan' dan 'keterlaluan'.

Jelas beliau, satu pasukan petugas khas sudah ditubuhkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi membuat satu siasatan audit forensik berhubung dakwaan salah laku dalam pemilihan parti kali ini dan prosesnya masih lagi berjalan.

Berikutan itu, Shamsul Iskandar menegaskan setakat ini, tiada pihak yang mendapat akses untuk meneliti laporan yang sedang disiapkan pasukan petugas khas siasatan audit forensik berkenaan termasuk kepimpinan tertinggi PKR.

"Laporan itu yang memetik kata-kata sumber adalah meragukan.

"Dalam PKR, kita sudah mengumumkan kepada rakyat bahawa satu pasukan petugas khas bagi membuat siasatan audit forensik terhadap pemilihan parti yang terkini sudah ditubuhkan.

"Ini kerana kita memandang serius dakwaan salah laku dan penipuan oleh calon-calon bertanding.

"Proses audit forensik pun masih sedang berjalan dan tentunya hasil penuh laporan berkenaan hanya akan dibentangkan dalam mesyuarat MPP setelah siasatan pasukan petugas khas berkenaab selesai.

"Justeru, saya cabar mereka untuk dedahkan identiti sumber kerana tiada seorang pun ahli MPP yang menerima akses untuk melihat laporan siasatan yang masih belum selesai," ujarnya sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan MPP PKR kini berada di persimpangan dilema susulan sebuah syarikat pakar audit forensik dilaporkan mengenal pasti berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti berkenaan, Mei lalu.

Menurut kenyataan sumber portal berkenaan, terdapat empat isu utama dibentangkan pakar audit forensik kepada MPP dalam dua mesyuarat berasingan masing-masing pada 9 dan 20 Jun.

Penggunaan tab haram, mengundi selepas waktu pengundian tamat, mengundi berpuluh kali menggunakan Mykad sama dan mengundi secara besar-besaran merupakan antara empat perkara disimpulkan sebagai 'digital discrepancies' oleh syarikat berkenaan.

Pemilihan PKR penggal 2022-2025 diadakan secara hibrid iaitu gabungan pengundian atas talian dan pengundian fizikal.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) difahamkan menerima lebih 1,800 aduan ekoran pengumuman keputusan tidak rasmi pada 30 Mei lalu.

FAHMI ZAINOL MINTA SEMUA MOVE ON

Sementara itu, calon yang tewas dalam pemilihan jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pusat, Fahmi Zainol menegaskan semua pihak perlu 'move on' dan menfokuskan kepada persiapan mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa mengambil kira implikasi siasatan audit forensik pemilihan parti baru-baru ini.

Jelas beliau, PKR tidak boleh terus membuang masa dengan melayani sebarang persoalan dan keraguan sama ada proses pemilihan parti kali ini berdepan dengan tindakan penipuan secara besar-besaran oleh pihak tertentu.

"Meskipun saya antara calon yang kalah dan pernah melontarkan persoalan mengenai keraguan keputusan pemilihan PKR kali ini, namun saya fikir adalah lebih baik semua pihak kembali fokus kepada usaha mendepani PRU15.

"Pada saat ini, calon-calon dan akar umbi PKR pun sudah banyak menghabiskan wang ringgit, masa dan tenaga bagi mengharungi tempoh pemilihan parti yang lebih panjang daripada biasa.

"Rakyat pun sudah malas hendak dengar masalah-masalah dalaman mana-mana parti politik di negara ini memandangkan mereka kini berdepan krisis kenaikan kos sara hidup yang lebih meruncing.

"Lebih baik fokus sahajalah kepada PRU15 dan sekiranya dakwaan penipuan terbukti berlaku, selesaikan secara adik-beradik, dalaman," tegasnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca