SHAH ALAM - Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, menafikan dakwaan bahawa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kini berada di persimpangan dilema menjelang Kongres Kebangsaan, pada 15 Julai ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menegaskan setakat ini beliau sendiri belum menerima sebarang maklumat mengenai berlakunya penipuan besar-besaran dalam Pemilihan PKR 2022 pada Mei lalu.
"Tak betul ni, entah sumber mana dia petik (laporan audit menunjukkan berlaku penipuan besar-besaran dalam Pemilihan PKR)," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Sabtu.
Fahmi yang turut bertanding jawatan Naib Presiden berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal mendakwa MPP PKR kini berada di persimpangan dilema menjelang kongres kebangsaan parti itu yang dijadualkan pada 15 Julai ini.
Ini selepas sebuah syarikat pakar membuat audit forensik mendapati berlakunya penipuan besar-besaran dalam pemilihan parti itu yang diadakan pada Mei lalu.
Perkara itu disahkan oleh pelbagai sumber dalam parti kepada portal tersebut baru-baru ini.
Menurut sumber, terdapat empat isu utama dibentangkan pakar audit forensik kepada MPP dalam dua mesyuarat berasingan masing-masing pada 9 Jun dan 20 Jun.
Ditanya sama ada PKR akan membuat laporan polis atau tidak berhubung insiden berkenaan, Fahmi berkata pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengenai dakwaan terbabit.
"Kita perlu tunggu sebarang pengumuman rasmi oleh JPP (sebelum mengambil sebarang keputusan mengenai dakwaan terbabit," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca