MINGGU lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan peruntukan keseluruhan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kini telah mencecah sebanyak RM8 bilion, jumlah bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan peruntukan keseluruhan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kini telah mencecah sebanyak RM8 bilion, jumlah bantuan tunai langsung tertinggi dalam sejarah negara berbanding Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Bantuan Sara Hidup (BSH).

Tujuan kerajaan menambahkan bantuan tunai berkenaan kepada rakyat jelata, terutama sekali kepada golongan B40 adalah untuk menghadapi keadaan inflasi dan peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

Masalah krisis makanan dan inflasi terus memberikan tekanan kepada kerajaan dan rakyat memandangkan ia diramalkan sukar diselesaikan dalam masa terdekat ini.

Peperangan di Ukraine sesungguhnya telah mengganggu eksport jutaan tan bijirin, menyebabkan kekurangan bahan mentah, sekali gus melonjakkan harga ayam.

Sin Chew Daily melalui ruangan Lidah Pengarangnya menulis, apa yang lebih mendukacitakan kita adalah harga makanan utama seperti ayam, sayur, telur dan barangan keperluan lain umumnya akan sukar diturunkan semula setelah ia dinaikkan.

"Jadi, apakah langkah boleh diambil untuk mengatasi krisis makanan dan tekanan inflasi ini? Jawapannya ialah mengelakkan pembaziran makanan," katanya.

Di England contohnya, kebanyakan rakyatnya ketika ini seperti di negara kita menghadapi situasi sukar susulan kenaikan kos hidup, terutamanya melibatkan makanan dan bahan api.

Berdasarkan kaji selidik, rakyat England kini telah mengurangkan pembelian barangan runcit, malah ada yang mencatu makanan demi menjimatkan perbelanjaan selain mengelakkan pembelian secara berlebihan.

PEMBAZIRAN MAKANAN

Semuanya dilakukan adalah demi menjimatkan wang ringgit dan mengelakkan pembaziran makanan.

Menurut Food and Agriculture Organization (FAO), sejumlah AS$1.3 bilion ataupun satu pertiga daripada jumlah makanan dibazirkan oleh rakyat di seluruh dunia setiap tahun.

Oleh demikian, kita boleh membuat kesimpulan bahawa faktor manusia yang memungkinkan timbulnya krisis makanan kerana melakukan pembaziran yang melampau.

Sin Chew Daily menulis lagi, akibat pembaziran makanan, dalam masa yang sama, ia sekali gus mencetuskan pelbagai masalah seperti pencemaran alam sekitar dan kerugian wang ringgit.

Mengikut laporan, isi rumah di Malaysia secara purata kerugian RM210 setiap bulan atau RM2,600 setahun dari segi kos pembuangan sisa makanan.

Setiap hari rakyat Malaysia dikatakan menghasilkan sebanyak 38,000 tan sisa pepejal dan daripada jumlah itu, kira-kira 17,000 tan adalah sisa makanan dan dianggarkan 4,046 tan atau 24 peratus daripada komposisi sisa makanan itu adalah sisa makanan yang boleh dielakkan.

Daripada jumlah sisa makanan yang boleh dielakkan, iaitu 4,046 tan, jumlah itu dapat memberi makan kepada tiga juta orang sehari untuk tiga kali makan.

"Untuk mengatasi pembaziran makanan di negara kita, kita mencadangkan kepada kerajaan agar melancarkan kempen kesedaran kepada rakyat untuk lebih berjimat cermat dan mengurangkan pembaziran.

"Selain itu, satu kempen untuk mengajak rakyat mengamalkan pemakanan sihat juga boleh diusahakan. Semua langkah ini selain dapat mengatasi masalah inflasi, ia juga membawa manfaat kepada kesihatan diri sendiri,” tulis akhbar itu.

Menurut Sin Chew Daily lagi, pemakanan yang sihat boleh diamalkan oleh rakyat di negara ini sekiranya kita lebih memahami keadaan dan fleksibel dengan pilihan makanan.

"Kita boleh menjadi lebih fleksibel sedikit dengan tabiat pemakanan. Gesaan ini dibuat oleh Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong kepada rakyatnya tidak berapa lama dulu.

"Hsien Loon mengakui Singapura perlu menggiatkan usaha bagi mempelbagaikan sumber makanan kerana seluruh dunia mungkin akan terus mengutamakan bekalan tempatan ketika berlaku lonjakan harga,” kata akhbar itu.

* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca