MAKANAN merupakan salah satu keperluan asas bagi semua kehidupan. Di samping itu makanan turut menjadi isu keselamatan bagi sesebuah negara. Perlu ditegaskan bahawa konsep keselamatan kini bukan terhad pada aspek ketenteraan dan... Klik di sini untuk terus membaca

MAKANAN merupakan salah satu keperluan asas bagi semua kehidupan. Di samping itu makanan turut menjadi isu keselamatan bagi sesebuah negara.

Perlu ditegaskan bahawa konsep keselamatan kini bukan terhad pada aspek ketenteraan dan persenjataan sahaja tetapi diperluaskan kepada semua aspek kehidupan.

Ini sejajar dengan konsep keselamatan insan atau 'human security' yang mementingkan keselamatan dan perlindungan individu dan bukan terhad kepada negara.

Konsep keselamatan insan telah diperkenalkan melalui Laporan Pembangunan Kemanusiaan PBB 1994 yang bertajuk ‘Dimensi Baru Keselamatan Insan’.

Laporan ini telah memberi suatu interpretasi baru kepada konsep keselamatan dengan memberi penekanan terhadap manusia berbanding wilayah dan juga pembangunan berbanding senjata.

Antara pelopor keselamatan insan adalah Mahbub ul Haq seorang ahli ekonomi dan pembangunan dari Pakistan. Konsep ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan dan gesaan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan pada September 1999 terhadap keselamatan insan dan telah membuka perspektif baru berkaitan keselamatan.

Tujuh perkara diberi penekanan mereka termasuk keselamatan ekonomi, keselamatan makanan, keselamatan alam sekitar, keselamatan kesihatan, keselamatan komuniti, keselamatan perorangan dan keselamatan politikal.

Keselamatan makanan merangkumi ketersediaan makanan dan keupayaan individu untuk mengaksesnya.

KEBERGANTUNGAN PADA MAKANAN LUAR

Menurut Jawatankuasa Keselamatan Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, keselamatan makanan ditakrifkan akses kepada makanan yang mencukupi, selamat dan berkhasiat bagi semua orang pada setiap masa demi memenuhi keutamaan makanan dan keperluan diet mereka.

Selain itu keselamatan makanan juga bermaksud ketersediaan makanan tanpa mengira kelas, jantina atau wilayah.

Konsep keselamatan makanan bukanlah baru kerana ia dibincangkan ketika Persidangan Makanan Sedunia pada 1974 yang mendefinisikan keselamatan makanan sebagai ketersediaan pada setiap masa bekalan makanan dunia yang mencukupi, berkhasiat dan bagi memastikan bekalan makanan yang stabil.

Malaysia yang terkenal dengan pelbagai jenis masakan kini berhadapan dengan cabaran kekurangan makanan.

Pada 2021, Malaysia menduduki tempat ke-39 daripada 113 negara dalam indeks keselamatan makanan global (GFSI).

Kedudukan tersebut diukur berdasarkan kepada keterjangkauan harga makanan, ketersediaan, kualiti dan keselamatan, termasuk daya tahan sesebuah negara bagi menghadapi kesan perubahan iklim

Punca kepada masalah kekurangan makanan serta kenaikan harga makanan adalah pergantungan kepada sumber luar. Malaysia mengimport hampir 60 peratus daripada keperluan makanannya. Akibatnya, keselamatan makanan adalah isu utama.

Pada 2019, Malaysia hanya mengeluarkan 46 peratus daripada sayur-sayurannya, 70 peratus daripada berasnya, 61 peratus daripada buah-buahannya, 25 peratus daripada daging lembunya, 11 peratus daripada daging kambingnya, dan 5 peratus daripada keperluan tenusunya. Jumlah import makanan pada 2020 ialah RM 55.5 bilion.

Manakala dari segi penggunaan tanah bagi tujuan pertanian, lima juta hektar tanah diusahakan untuk penanaman kelapa sawit, dan 1 juta hektar penanaman getah, manakala hanya 1 juta hektar digunakan untuk pengeluaran makanan, kebanyakannya diusahakan oleh pekebun-pekebun kecil.

Selain itu, cabaran yang seterusnya adalah bencana alam, seperti kemarau dan banjir. Gangguan dalam rangkaian bekalan telah meningkatkan kos pengangkutan dan harga komoditi. Konflik di Ukraine hanya akan meningkatkan kebuluran global, kemiskinan dan memburukkan lagi inflasi.

Justeru itu, kerajaan Malaysia bersama sektor swasta harus membangunkan industri agro-makanan sejajar dengan perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat, 4IR, atau Industri 4.0.

Malaysia harus mencontohi negara-negara seperti Jepun, Belanda, Korea Selatan dan Jerman yang sudah lama menggunakan teknologi terkini dalam industri agro-makanan.

Malah sistem pendidikan negara harus menggalakkan pemuda-pemudi menceburi sektor pertanian untuk menjadi pengusaha dan pekebun moden.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca