SHAH ALAM - Orang ramai menghadapi masalah untuk menjadikan minyak masak peket sebagai alternatif minyak masak botol yang naik harga sejak 1 Julai lalu. Tinjauan Sinar Ahad di 10 kedai runcit sekitar Shah Alam, kesemua kedai tersebut tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai menghadapi masalah untuk menjadikan minyak masak peket sebagai alternatif minyak masak botol yang naik harga sejak 1 Julai lalu.

Tinjauan Sinar Ahad di 10 kedai runcit sekitar Shah Alam, kesemua kedai tersebut tidak mempunyai stok minyak peket.

Peniaga juga mengakui mereka sudah lama tidak menerima stok minyak masak peket tersebut daripada pengeluar.

Muhammad Ismail Abu Bakar, 56, yang merupakan peniaga gerai runcit di Seksyen 9 berkata, meskipun barangan tersebut ditempah pada Jun lepas, namun masih tiada respons sehingga kini.

Muhammad Ismail

"Sudah sebulan tidak ada stok. Saya sudah buat tempahan, tetapi tiada bekalan. Jadi, saya tidak dapat menjualnya. Mereka hanya hantar minyak botol.

"Memang ramai yang mencari minyak peket sekarang. Tapi tidak dapat membelinya sebab tiada stok,” katanya kepada Sinar Ahad.

Turut menghadapi masalah sama, pekerja kedai runcit, Shukran Mattambri, 20, yang masih belum menerima minyak peket ditempahnya.

Shukran

"Bagaimana nak jual minyak masak peket kalau stok masih tidak sampai. Sejak Mei lagi barang ini tidak ada,” ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Muhammad Rabiul Shek, 43, berkata, bekalan tersebut tidak diperoleh sejak dua bulan lalu.

"Semua pengeluar kata minyak peket tiada. Mereka juga tidak beritahu bila barangan ini akan sampai. Sudah dua bulan saya tempah, tapi sampai sekarang tiada,” ujarnya.

Dalam masa sama, terdapat juga peniaga mengeluh kerana hanya memperoleh bekalan minyak peket dalam kuantiti yang sedikit.

Berikutan itu, mereka terpaksa mengehadkan pembelian kepada pelanggan dengan membenarkan hanya dua peket bagi seorang pembeli.

Menurut Peniaga, Arman Hossain, 31, bekalan minyak peket tersebut hanya diperoleh dua kali dalam tempoh sebulan.

"Dalam sebulan saya hanya dapat 20 karton minyak peket. Biasanya, saya akan mengehadkan dalam tiga peket untuk seorang pembeli. Tapi untuk peniaga, kita jual lebih sikit.

"Minyak peket hanya bertahan dalam masa empat hari sahaja. Apabila habis, terpaksa tunggu bekalan yang seterusnya,” ujarnya.

Sementara itu, di Sabak Bernam, rata-rata peniaga kedai runcit di daerah ini runsing dan meluahkan rasa kecewa berikutan sukar mendapatkan bekalan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram.

Seorang peniaga kedai runcit di Kampung Sungai Nibong, Mohamad Azywan Sapingai, 29, berkata, kedainya berdepan masalah bekalan minyak masak peket sejak tiga bulan lalu.

Mohamad Azywan menunjukkan ketiadaan minyak masak peket yang diletakkan di rak kedainya.

Menurutnya, rata-rata penduduk di kampung itu memerlukan minyak masak peket berikutan harganya jauh lebih murah berbanding minyak masak botol.

"Ramai pelanggan datang ke kedai untuk membeli minyak masak, malangnya kami sukar mendapatkan bekalan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Mohamad Azywan berkata, penduduk di kampung itu terpaksa mencari minyak masak peket di pasar raya atau pasar mini yang terletak jauh dari penempatan.

"Penduduk kampung tidak mempunyai pendapatan tetap, malah sebahagian besar berpendapatan rendah dan sememangnya memerlukan minyak masak peket,” ujarnya.

Seorang lagi peniaga, Masitah Misran, 33, berkata, stok minyak masak peket sudah lama tidak dijual di kedai runcitnya.

Menurutnya, minyak masak peket amat diperlukan terutama selepas kerajaan menghapuskan subsidi minyak masak botol bermula pada Jumaat.

"Kadang-kadang saya sebagai peniaga runcit juga sukar hendak mendapatkan minyak masak peket, selain terpaksa membeli di tempat lain untuk keperluan sendiri,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca