HARI ini semua orang bercakap mengenai inflasi yang membelon akibat kenaikan harga barangan, bahan api dan perkhidmatan. Ini bukan sekadar masalah dalam negara namun fenomena dunia. Statistik inflasi dunia menunjukkan Malaysia antara... Klik di sini untuk terus membaca

HARI ini semua orang bercakap mengenai inflasi yang membelon akibat kenaikan harga barangan, bahan api dan perkhidmatan. Ini bukan sekadar masalah dalam negara namun fenomena dunia.

Statistik inflasi dunia menunjukkan Malaysia antara sebahagian kecil negara dunia yang mengalami inflasi di bawah lima peratus.

Berdasarkan perbandingan dengan negara-negara terpilih di rantau Asia Pasifik, kadar inflasi di Malaysia adalah lebih rendah daripada inflasi di Filipina, Republik Korea, Thailand dan Indonesia.

Negara-negara Eropah berhadapan kadar inflasi antara lapan peratus sehingga mencecah belasan peratus. Di benua Amerika Selatan, ada negara yang mencatatkan kadar melebihi 50 peratus.

Sudah tentu tiada sesiapa pun gembira dengan kenaikan harga barang, apatah lagi kenaikan yang menggila dan berkali ganda. Ia akan menjejaskan rutin keselesaan hidup, memberi kesempitan hidup kepada kumpulan berpendapatan rendah dan menjadi bola tanggung politik untuk menghentam kerajaan.

Mungkin satu-satunya pihak yang gembira ialah parti pembangkang. Justeru tidak hairan sebuah parti politik mengambil kesempatan membuat demonstrasi membantah kenaikan harga barangan di negara ini.

Tahun ini kerajaan memperuntukkan subsidi sebanyak RM77.3 bilion bagi mengawal kos sara hidup akibat inflasi dunia. Ini merupakan peruntukan subsidi terbesar negara sejak merdeka.

Namun parti pembangkang tidak peduli semua data kerana mereka tidak berhasrat bersama-sama memulihkan negara ini yang terjejas akibat pandemik.

Mereka mendakwa subsidi yang diberikan adalah kecil berbanding sumber negara tanpa apa-apa data bagi membenarkan hujah tersebut.

Menangani inflasi memerlukan tindakan dan dukungan oleh kerajaan, rakyat sebagai pengguna dan rakyat sebagai peniaga. Malangnya di negara kita, usaha mengatasi inflasi hanya tertumpu kepada kerajaan.

Untuk mengurangkan tekanan inflasi kerajaan menambah peruntukan subsidi sehingga menghampiri angka 80 bilion ringgit. Ini merangkumi sekitar 24 peratus belanjawan negara tahun ini.

Terbaharu kerajaan juga menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Sejauh mana keberkesanan pasukan khas ini akan diukur oleh rakyat dalam masa beberapa bulan nanti. Namun penjenamaan kata jihad ini sebenarnya telah meletakkan beban awal kepada pasukan khas ini.

AUDIT MINYAK MASAK

Bagi masyarakat Islam perkataan jihad agak signifikan dengan tekad perjuangan yang luar biasa. Ini akan memberi harapan terlalu besar dan akan menjadi sinisan apabila pencapaian nanti tidak cukup besar dalam menangani inflasi.

Pemilihan perkataan jihad terkait dengan Islam juga boleh mengundang sinisan daripada masyarakat bukan Islam. Ia mungkin akan mengurangkan perasaan kebersamaan sedangkan inflasi adalah isu semua rakyat, bukan sekadar masyarakat Islam.

Justeru, pasukan khas ini perlu bermula dengan baik dan tampak berkesan bagi membina persepsi yang positif dalam kalangan rakyat.

Sebagai permulaan, pasukan khas ini mungkin perlu menumpukan kepada ketirisan subsidi minyak masak paket satu kilogram yang dikatakan tiada di pasaran.

Audit minyak masak subsidi harus melangkaui jumlah peket yang siap dibungkus di kilang tetapi ke mana mereka menghantarnya.

Ramai pengilang ini tidak menghantar ke pasar raya dan kedai runcit kerana memerlukan jangka masa dalam 30 hari untuk mendapat bayaran.

Mereka sebaliknya mahu mengaut modal dan untung segera dengan menjual kepada kedai makan, industri mikro dan juga menyeludup ke negara jiran.

Bagaimanapun perjuangan menentang inflasi menggila ini sukar berjaya tanpa kesedaran dan tanggungjawab bersama rakyat sebagai pengguna.

Dengan peruntukan subsidi yang besar, rakyat juga harus ada kesedaran untuk berbelanja secara berhemah terutama membabitkan barangan subsidi seperti ayam, petrol dan minyak masak.

Malahan satu-satunya ubat paling berkesan dalam menangani inflasi adalah kita berbelanja secara berhemat buat sementara waktu. Apabila kita mengurangkan pembelian, kita telah mengurangkan permintaan.

Kita semua, kerajaan dan rakyat ada peranan masing-masing dalam menangani inflasi ini.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca