[WAWANCARA] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) merupakan antara agensi utama terlibat dalam kerja menyelamat semasa sebarang insiden kecemasan yang berlaku di dalam negara. Tugasan dipikul pasukan ini tidak terhad kepada operasi... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA] Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) merupakan antara agensi utama terlibat dalam kerja menyelamat semasa sebarang insiden kecemasan yang berlaku di dalam negara.

Tugasan dipikul pasukan ini tidak terhad kepada operasi memadam kebakaran sahaja tetapi juga meliputi usaha menyelamat mangsa sama ada dari kemalangan atau bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Untuk itu, Sinar Ahad telah mewawancara Penguasa Kanan Bomba I, Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Zulfahmi Sutaji bagi mengetahui lebih jelas operasi menyelamat yang dijalankan pasukan itu.

Selain itu, temu bual kali ini turut membincangkan mengenai perkembangan dan persediaan dilakukan JPBM bagi menghadapi kemungkinan berlakunya risiko bencana di dalam negara.

Ikuti wawancara eksklusif bersama Zulfahmi yang dikendalikan wartawan, Muhammad Amnan Hibrahim di Ibu Pejabat JPBM di Putrajaya baru-baru ini.

SINAR HARIAN: Boleh Tuan jelaskan mengenai peranan dimainkan Pusat Pengurusan Operasi (PPO) JPBM?

ZULFAHMI: Pusat Pengurusan Operasi ini berperanan sebagai satu cawangan yang memantau seluruh 16 negeri di Malaysia dan dalam masa sama kita memantau kesemua balai bomba di dalam negara.

Semua insiden semasa yang berlaku kita akan pantau dari masa ke masa bermula daripada terima panggilan sehingga insiden tersebut selesai.

JPBM terima 35,902 panggilan kebakaran sepanjang tahun lalu. - Foto Bomba

Jadi insiden tersebut kita akan laporkan dan rekodkan dalam sistem di mana laporan ini akan digunakan untuk tujuan penyediaan statistik dan laporan yang diperlukan.

Berapa banyak operasi yang dijalankan JPBM untuk tempoh setahun?

Di sini saya ingin menerangkan perangkaan bagi tahun 2021 di mana secara keseluruhan bilangan panggilan yang kami terima adalah sebanyak 167,989 panggilan di mana daripada jumlah tersebut, sebanyak 35,902 merupakan panggilan kebakaran manakala 84,449 melibatkan panggilan penyelamatan, 47,467 panggilan tugas-tugas khas dan selebihnya 171 adalah merupakan panggilan palsu.

Perangkaan 2021 turut merekodkan sebanyak melibatkan statistik kematian melibatkan 79 mangsa kebakaran, 1,539 yang dalam operasi menyelamat dan 306 mangsa lemas.

Manakala untuk kes yang cedera, untuk kategori kes kebakaran melibatkan sebanyak 361 mangsa manakala penyelamatan melibatkan 5,372 mangsa dan lemas tiga mangsa.

Sementara itu, jumlah mangsa yang kami berjaya selamatkan bagi kes kebakaran adalah sebanyak 1,428 mangsa manakala penyelamatan 8,005 mangsa dan lemas sebanyak 101 mangsa.

Kerugian akibat kebakaran pada tahun 2021 melibatkan sebanyak RM1.8 bilion manakala harta benda yang diselamatkan daripada kebakaran itu tadi adalah bernilai RM8.9 bilion.

Pencapaian ‘response time’ atau tempoh tindak balas JBPM pada tahun 2021 adalah sebanyak 65.13 peratus dengan purata tempoh tindak balas kebangsaanya yang kami catatkan pada 2021 adalah 8 minit 54 saat.

Adakah kapasiti anggota dan jentera dimiliki JBPM sekarang ini mencukupi untuk menampung kesemua kes yang diterima?

Data saya bentangkan tadi merupakan operasi pada tahun 2021 di mana kami telah dengan jayanya hadir di setiap insiden tersebut.

Berdasarkan rekod yang dimiliki dalam operasi dijalankan, kita mempunyai kecukupan dari segi pengetahuan, pengalaman, jumlah keanggotaan peralatan dan jentera. Ia termasuk melibatkan elemen kenderaan jentera di air seperti bot.

Jadi, Insya-ALLAH kita dapat memenuhi semua kes dan memberikan bantuan mengikut keperluan semasa sebagaimana diperlukan.

Apakah antara bentuk-bentuk operasi dijalankan oleh JPBM bagi tempoh sepanjang tahun?

Untuk kes berkenaan kebakaran ini, dia memiliki banyak punca sama ada kebakaran struktur, kenderaan atau terbuka. Bagi kes kebakaran ini, yang paling banyak adalah melibatkan kebakaran terbuka.

Kebakaran terbuka ini dia ada banyak punca. Ada yang di hutan, semak dan kebakaran sampah sehingga menyebabkan kebakaran. Ini yang kita sering hadapi.

Bagi skala kebakaran terbuka yang lebih besar, ia lazimnya melibatkan pembakaran api di kawasan tanah gambut. Untuk kes tersebut, ia biasanya akan melibatkan operasi lebih besar dan mengambil masa lebih lama.

Bagi setiap kes pembakaran itu puncanya berbeza. Untuk tanah gambut, ia biasanya berlaku pada musim kering ketika hujan lama tidak turun di mana struktur tanah itu terutamanya di pantai barat, apabila paras air tanah gambut itu terlalu rendah.

Jadi ia akan mewujudkan rongga-rongga dekat situ dan di bahagian atas tanah pula ada elemen pembakaran. Jadi dekat situ kebakaran api di tanah gambut itu bermula.

Ia bermula daripada operasi seperti nak buka tanah, penanaman semula atau pembakaran kayu dan dari situ ia merebak kepada seterusnya kebakaran skala lebih besar.

Manakala dari segi penyelamatan, kita ada beberapa kategori bermula daripada menyelamat kemalangan, menyelamatkan mangsa di air dan mencari serta menyelamat mangsa hilang di hutan.

Kita juga ada mengendalikan kes-kes menyelamat melibatkan haiwan. Untuk penyelamatan di air, macam saya sebut tadi kita biasanya respon berdasarkan kes kita terima antaranya melibatkan kes mencari dan menyelamat mangsa-mangsa lemas.

Antara negeri yang banyak berlaku adalah di Selangor, Pahang dan Johor yang ada kawasan tanah gambut.

Bagaimanakah persediaan JBPM untuk menghadapi perubahan musim yang mendedahkan negara kepada pelbagai risiko antaranya kemarau dan banjir?

Untuk makluman, kita sekarang ini berada di musim Monsun Barat Daya. Dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), monsun kali ini ini akan bermula dari Mei hingga September 2022.

Untuk itu kita telah merekodkan data daripada bulan Mei, walaupun Monsun Barat Daya ini diramalkan kita kurang menerima hujan, tapi kalau kita sedia maklum sekarang ini pun dalam masa sehari dua ada tempat menerima hujan yang lebat dan ada yang menghadapi banjir kilat.

Zulfahmi

Jadi walaupun begitu kita sentiasa bekerjasama dengan agensi lain. Kita sentiasa pantau dari segi maklumat terutamanya yang dikeluarkan MET Malaysia.

Dari situ kita dapat menjangkakan dekat mana dia punya corak cuaca. Mungkin seminggu dua ini dia dekat kawasan Selangor dan mungkin selepas itu d tempat lain.

Bagi yang mana kes sekarang ini saya melihat terutamanya di Lembah Klang, sekiranya kita menerima hujan lebih dua tiga jam kita akan bersedia bagi banjir kilat. Di situ kami sentiasa bersedia.

Biasanya kami terima panggilan menyelamat banjir kilat ini daripada talian 999 bila ada mangsa terperangkap atau nak pindah, mereka akan telefon 999 dan ia akan disambungkan dengan balai berhampiran.

Jadi kita akan respon. Kita tidak ada masalah dari segi respon nak membantu mangsa sama ada nak mengeluarkan mangsa menyelamat di rumah, atau kenderaan terperangkap dan lain-lain termasuk kes-kes yang hilang akibat lemas.

Apakah langkah diambil oleh JBPM untuk menghadapi banjir besar yang biasanya berlaku di beberapa negeri pada setiap hujung tahun?

Bagi persediaan banjir besar ini, kami setiap tahun biasanya pertama sekali sebelum berlakunya fasa banjir tersebut, kami biasanya dari peringkat jabatan atau agensi berkaitan telah berbincang dan bermesyuarat untuk buat persediaan lebih awal terutama dari segi latihan, kesediaan peralatan atau jentera.

Pada masa sama kita mengumpul juga maklumat dari agensi lain di mana kawasan dikenal pasti mudah terjejas. Dia ada kawasan yang mudah dinaiki air, kawasan jalan mudah terputus disebabkan air naik dan tebing yang mudah runtuh apabila terima hujan.

Kawasan-kawasan ini kita dapat maklumat daripada agensi ini, dan kita bersedia dari masa ke masa. Bila kita dapat hujan di kawasan itu, balai ini tadi dia dah automatik bersedia termasuk dengan melakukan kerja pemantauan.

Pemantauan ini dilakukan di banyak kawasan antaranya di tempat berhampiran dengan pantai seperti pesisir pantai dan di jalan yang kita telah kenal pasti tadi. Langkah ini penting supaya semasa pemantauan dilakukan, sekiranya berlaku insiden kita boleh respon lebih cepat.

Untuk Monsun Barat Daya ini, data kami bermula dari 4 Mei sehingga 28 Jun tempoh hari. Sepanjang tempoh tersebut, kami telah melakukan sebanyak 264 pemantauan kawasan.

Manakala sebanyak 33 operasi penyelamatan mangsa telah dilakukan dengan dua aktiviti pemindahan pesakit di mana jumlah mangsa berjaya diselamatkan dalam tempoh itu adalah 275 orang.

Dalam menjalankan operasi dan pengurusan, adakah JBPM telah menggunakan kaedah terbaharu yang menggunakan teknologi terkini atau automasi?

Dari segi pemantauan, bagi saya sekarang, maklumat dan informasi itu paling penting terutamanya daripada ramalan cuaca dan paras air sungai. Perkara itu lebih mudah untuk gerak kerja dan pemantauan kami.

Untuk kaedah penyelamatan kita hadir secara fizikal ke lokasi tertentu. Kadang-kadang memindahkan manusia ini ikut pengalaman dia bukan semudah kita pindahkan mangsa dari A ke B.

Kadang-kadang ia membabitkan emosi apabila ada mangsa atau masyarakat yang tidak mahu pindah. Itu kita masih menggunakan pendekatan secara fizikal dengan mangsa ini. Ada yang tidak mahu berpindah takut rumah dimasuki pencuri. Jadi kita gunakan kaedah diplomasi kepada mangsa-mangsa tersebut.

Tapi perolehan dari segi informasi itu kita mengharapkan termasuk dari media massa agar maklumat tersebut termasuk data daripada agensi dapat kita gunakan untuk dianalisis bagi tindakan kita bakal lakukan.

Seperti kita tahu, banjir besar akhir tahun lepas terutamanya yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri lain merupakan suatu fenomena yang mengejutkan semua pihak. Jadi, adakah pihak JBPM ada membuat sebarang penambahbaikan untuk menghadapi situasi tidak dijangka seperti itu?

Bagi kes macam itu, kita di pihak jabatan sebenarnya tidak menghadapi isu sangat kerana daripada panggilan pertama sehingga selesai malah semasa pasca banjir pun kami masih berada di kawasan tersebut.

Cuma di sini kami melihat kepada persediaan masyarakat itu sendiri. Berdasarkan apa yang berlaku, reaksi ditunjukkan masyarakat adalah berbeza. Mungkin ada yang terkejut sebab perkara itu pertama kali berlaku di tempat tersebut tersebut dalam tempoh 50 tahun.

Ia berbeza dengan masyarakat di Pantai Timur yang banjir ini berlaku secara tahunan. Jadi dari segi pemahaman dan penerimaan mungkin berbeza.

Cuma dari segi mengikut pengalaman saya semasa banjir itu, yang kita hadapi masalah ialah bila perkhidmatan telekomunikasi ini tidak berfungsi dengan baik kerana apabila mangsa dan keluarga tidak dapat berhubung.

Apabila itu berlaku, ia akan menghubungi kita untuk mencari mangsa atau kenalan untuk menyampaikan apa-apa perkara sebab mereka tidak boleh masuk ke kawasan itu sebab komunikasi terputus.

Itu yang kami hadapi sebenarnya. Tapi dari segi jumlah anggota dan peralatan, apa yang kami ada ini mencukupi untuk kami respon sesuatu insiden itu. Ini termasuk dari segi fasiliti bot, dan jaket keselamatan.

Untuk anggota, jika tidak cukup, kita akan ambil daripada anggota negeri tidak terlibat banjir. Bagi kes di Shah Alam tempoh hari, kita panggil anggota dari Kedah dan Perak untuk kita panggil sama-sama untuk menyelamat.

Jadi, cabaran utama adalah sesama mangsa supaya maklumat yang datang kepada kita itu tepat. Kadang-kadang maklumat yang diberi itu bila kami pergi ke unit yg dinyatakan rupanya mangsa dah pindah lain tapi masih tidak dapat dihubungi.

Apakah nasihat yang Tuan ingin sampaikan kepada masyarakat berhubung aspek keselamatan yang perlu mereka tekankan?

Ada tiga perkara iaitu pertama dari segi keselamatan kebakaran, kedua keselamatan jalan raya dan ketiga keselamatan di kawasan air.

Bagi keselamatan kebakaran, orang ramai bukan sahaja perlu mengambil langkah keselamatan di rumah sahaja, tetapi juga di tempat kerja dan di asrama bagi ibu bapa yang memiliki anak tinggal di asrama. Selain itu jika pergi bercuti, sebelum tinggalkan rumah, pastikan kesemua suis telah ditutup.

Semasa cuti sekolah juga ramai keluarga yang ambil peluang untuk berkelah di tempat rekreasi terutamanya di tep laut atau sungai dan lazimnya ketika itu merupakan musim hujan. Jadi elemen ini perlu rancang dan perhatikan betul-betul.

Sekiranya membuat aktiviti di air pastikan mahir tengok cuaca sebab kalau dekat sungai takut terdedah kepada risiko kepala air. Kalau di laut pula melibatkan insiden pusaran air. Jadi pastikan biasakan terlebih dahulu dengan persekitaran pantai atau sungai.

Banyak kes yang berlaku bukan melibatkan penduduk setempat, tapi biasanya daripada pengunjung yang datang ke tempat rekreasi dan mereka tidak mahir keadaan sekeliling.

Selain itu, kena ada ilmu juga, walaupun tiba-tiba berada di tempat kejadian dan menyaksikan orang tengah lemas, jangan terus terjun terkam sahaja, nanti daripada satu mangsa melarat kepada dua dan lebih.

Klik di sini untuk terus membaca