SAYA kerap menyebut berkenaan banyak orang berkata mereka tidak faham ekonomi dan tidak mencuba mempelajarinya kerana menyangka ia sukar. Ini adalah pendirian yang merugikan yang tercetus daripada tanggapan yang salah. Pada asasnya ekonomi... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA kerap menyebut berkenaan banyak orang berkata mereka tidak faham ekonomi dan tidak mencuba mempelajarinya kerana menyangka ia sukar.

Ini adalah pendirian yang merugikan yang tercetus daripada tanggapan yang salah. Pada asasnya ekonomi sangat mudah. Dalam bahasa asalnya iaitu Greek, ia bermaksud menguruskan rumah tangga.

Seperti yang telah saya nyatakan juga, setiap saat kehidupan kita, kita berdepan dengan pelbagai hal berkaitan ekonomi. Apabila kita bangun pagi dan membuat keputusan di mana bersarapan, kita telah melakukan satu tindakan ekonomi.

Boleh jadi apabila kita ke kedai kopi kegemaran kita, terpampang notis atau dibisikkan ke telinga kita yang harga roti canai telah naik 10 sen. Alasannya mulai 1 Julai lalu harga minyak masak naik.

Memang betul. Ia akibat keputusan kerajaan 'Keluarga Malaysia' pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghapuskan subsidi ke atas minyak masak dalam botol 2kg, 3kg dan 5kg.

Mulai tarikh itu, keluarga Malaysia yang membeli minyak masak dalam saiz itu terpaksa membayar sehingga 40 peratus lebih tinggi. Kerajaan pun pada mulanya hapuskan juga harga kawalan ke atas ayam dan telur. Tetapi setelah dikutuk rakyat jelata, keputusan itu ditarik balik.

Tahniah dan terima kasih kepada pengguna media sosial dan kepada segmen media arus perdana yang mengambil bahagian dalam perbahasan mengenai kenaikan harga dan inflasi sekarang ini.

Terima kasih kepada kerajaan yang memberi perhatian kepada perbahasan ini. Kita tahu kerajaan kesuntukan wang. Dalam keadaan itu, adalah lebih baik kerajaan menjimatkan perbelanjaan lain daripada memotong bantuan kepada orang ramai secara tiba-tiba.

SUKAR DIDAPATI

Berbalik kepada subsidi minyak masak, walaupun subsidi bagi minyak masak dalam pek plastik 1kg diteruskan tetapi laporan media massa mengatakan ia sukar didapati.

Bagi peniaga makanan pula, mereka memerlukan bekalan yang banyak dan dalam ukuran yang lebih mudah digunakan.

Minyak masak hanyalah salah satu daripada banyak komoditi yang mengalami gangguan bekalan akibat perintah kawalan pergerakan Covid-19 di seluruh dunia pada tahun 2020 dan 2021.

Kawalan pergerakan dan penutupan ekonomi menyebabkan rantaian pembekalan terganggu atau putus terus. Misalnya, pekerja asing yang menjadi tulang belakang sektor perladangan di seluruh dunia dihantar balik. Kedatangan semula mereka mengambil masa.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), bilangan jawatan bergaji penuh ketika ini berkurangan sebanyak 112 juta berbanding sebelum pandemik Covid-19. Maksudnya, tempo ekonomi dan guna tenaga masih belum pulih sepenuhnya.

Gangguan rantaian pembekalan ini menyebabkan pengeluaran dan stok hasil pertanian, khususnya makanan, merosot. Apabila ini berlaku, harga naik.

Kenaikan harga yang mendadak dan meluas di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dikhuatiri akan menyebabkan pemulihan ekonomi terbantut dan inflasi melonjak naik. Inflasi hyper sudah pun mula merebak di Amerika Syarikat dan negara-negara maju lain.

Oleh sebab harga minyak makan dunia mula naik dan permintaan bertambah berikutan pembukaan semua kegiatan ekonomi, kerajaan Keluarga Malaysia tidak mampu lagi menampung semua subsidi minyak masak yang dianggarkan berjumlah RM4 bilion tahun ini.

Jelas daripada tindakan dan tindak-tanduk kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mereka tidak mempunyai kapasiti mentadbir negara dalam suasana sukar ini.

Jadi, kita janganlah terperanjat jika lebih banyak kemudahan, bantuan dan subsidi dimansuhkan dan cukai dinaikkan.

Kita semua tahu yang sejak sekian lama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, tidak putus-putus menghasut supaya GST dilaksanakan semula.

Kesimpulannya, eloklah kita cuba memahami sedikit sebanyak mengenai ekonomi dan dinamik pasaran supaya dengan itu bolehlah memainkan peranan yang lebih besar mengatur semula perbelanjaan dan penggunaan demi menjaga ekonomi dan kesihatan kita.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca