SELEPAS bertemu dengan manusia paling kaya di dunia, Elon Musk di Texas, Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan secara bersama pada bulan lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS bertemu dengan manusia paling kaya di dunia, Elon Musk di Texas, Amerika Syarikat (AS) bagi membincangkan kerjasama yang boleh dilakukan secara bersama pada bulan lalu, Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi melawat Ukraine dan Rusia pula baru-baru ini.

Jokowi menemui Presiden Volodymyr Zelenskyy pada pagi Rabu lalu di Kiev dan beliau merupakan Presiden dari Asia yang pertama melakukan kunjungan ke atas Zelenskyy selepas negara berkenaan diserang oleh tentera Rusia pada 24 Februari lalu.

Lawatan itu juga berlaku selepas tentera Rusia membedil Kiev dan dalam rakaman video yang disiarkan Sekretariat Presiden di saluran YouTube, Jokowi melakukan pertemuan dengan Zelenskyy di Istana Marynsky pada 29 Jun lalu.

Dalam rakaman tersebut, Jokowi menaiki kenderaan buatan Jerman iaitu Audi A8 L Security yang kalis peluru dan boleh melindunginya daripada serangan tentera Rusia serta mampu memecut pada kelajuan 210 kilometer sejam (km/j).

Zelenskyy kemudian menyambut Jokowi di pintu masuk istana tersebut.

Pada sidang akhbar selepas pertemuan dengan Zelenskyy, Jokowi menyatakan kunjungan tersebut adalah manifestasi daripada kepedulian negaranya terhadap situasi yang berlaku di Ukraine.

Sehubungan itu, Presiden Indonesia itu menawarkan diri membawa pesanan daripada rakan sejawatannya dari Ukraine untuk disampaikan kepada Presiden Vladimir Putin apabila melawat Rusia pada Khamis lalu.

Beliau turut menyampaikan undangan secara langsung kepada Zelenskyy untuk menyertai Sidang Kemuncak Kumpulan 20 atau (G20) yang dijadualkan akan diadakan pada bulan November depan di Bali.

Malah, Jokowi juga menyampaikan keprihatinannya terhadap kesan perang ke atas kemanusiaan, justeru pemerintah Indonesia akan berusaha memberikan bantuan termasuk ubat-ubatan dan komitmen membina semula hospital di sekitar Kiev.

Jokowi dan Zelenskyy juga sempat melawat ke Irpin serta mengunjungi sebuah hospital yang melakukan rawatan ke atas mangsa-mangsa perang.

Presiden Indonesia turut dilaporkan berbincang dengan rakan sejawatannya itu tentang kenaikan harga makanan dan tenaga global berikutan Perang Ukraine dengan Rusia.

Mesej kepada Putin

Selepas melawat Ukraine, Jokowi melawat Rusia dengan mengunjungi Putin di Moscow.

Dalam sidang akhbar bersama Presiden Rusia itu, beliau menyatakan telah menghantar mesej daripada Zelenskyy kepada Putin.

Jokowi (kanan) disambut Zelenskyy di Istana Marynsky, Kiev pada 29 Jun lalu.

Bagaimanapun, Jokowi tidak memberikan sebarang butiran lanjut dan kedua-dua pemimpin tersebut tidak menyatakan apa yang terkandung dalam nota Zelenskyy itu.

Namun, beliau menyatakan kesediaannya bagi membantu memulakan komunikasi antara kedua-dua pemimpin berkenaan.

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi menyatakan bahawa kunjungan Jokowi itu dilakukan untuk membawa Ukraine dan Rusia berdamai.

Hubungan baik

Persoalannya, adakah Jokowi mampu menjadi pendamai antara Rusia dan Ukraine?

Seorang penyelidik di Pusat Studi Internasional dan Strategis (CSIS) di Jakarta, Gilang Kembara menyatakan bahawa Jokowi mengambil semangat masa lalu iaitu ketika Rusia dikenali sebagai Kesatuan Soviet menjalin hubungan akrab dengan Indonesia.

Beliau berkata kepada CNN Indonesia bahawa dengan semangat pada masa lalu, Jokowi ingin membantu mendamaikan Rusia dan Ukraine.

Pada masa lalu itu bermaksud Kesatuan Soviet pernah menyambut dengan baik kemerdekaan Indonesia dari penjajah Belanda ketika negara tersebut cuba mendapatkan pengiktirafan dunia pada tahun 1945.

Kesatuan Soviet itu juga mengecam segala bentuk kolonialisme.

Malah, Rusia menjadi sumber bagi memperoleh senjata dan peralatan tentera bagi Indonesia.

Kesatuan Soviet juga dilaporkan mengikut permintaan bekas Presiden pertama Indonesia, Sukarno untuk mencari makam Imam Bukhari di Samarkand, Uzbekistan yang ketika itu menyertai blok komunis itu.

Permintaan tersebut dikemukakan oleh Sukarno sebagai syaratnya untuk menerima undangan melawat Kesatuan Soviet pada 1956 dan syarat itu dipenuhi Moscow. Beliau turut menziarahi makam berkenaan.

Semasa lawatan tersebut, Sukarno meminta pemimpin Kesatuan Soviet ketika itu, Nikita Khrushchev agar mengizinkan Masjid Biru di Saint Peterburg yang dijadikan gudang dikembalikan fungsinya sebagai tempat ibadah umat Islam dan permintaan tersebut ditunaikan.

Pemerhati politik Rusia dari Universitas Indonesia, Fahrurodji memuji langkah yang dilakukan oleh Jokowi kerana melakukan pendekatan personal dengan kedua-dua pihak.

Beliau dilaporkan berkata, sudah tiba masanya Indonesia memainkan peranan penting untuk perdamaian dunia.

Justeru, katanya, pendekatan yang dilakukan oleh Jokowi adalah langkah yang tepat.

Klik di sini untuk terus membaca