SHAH ALAM - Orang ramai lebih memilih untuk menggunakan minyak masak peket satu kilogram sebagai alternatif menggantikan minyak masak botol yang mengalami kenaikan harga lebih 40 peratus selepas pemansuhan subsidi bermula Jumaat.
Bagaimanapun, rata-rata pengguna meluahkan rasa kecewa kerana bekalan barangan itu licin dan sukar didapati sama ada di kedai runcit atau pasar raya.
Perkara itu diakui oleh pesara, Nordin Abdullah, 59, yang mengesan kedai runcit di kawasan sekitar rumahnya mula mengalami masalah kekurangan minyak masak peket sejak awal tahun ini.
Menurutnya, ketiadaan stok menyebabkan dia terpaksa keluar ke bandar semata-mata untuk mendapatkannya.
"Rumah saya terletak di kawasan kampung, jadi tidak banyak kedai. Kalau sudah habis, memang kena keluar ke bandar hanya untuk cari minyak peket.
"Disebabkan sekarang memang ramai cari minyak ini, makin susah nak jumpa. Ada kedai mengehadkan bilangan yang boleh dibeli untuk disimpan buat stok,” katanya kepada Sinar Ahad.
Pekerja restoran makanan segera, Nor Azian Hassan, 30, berkata, dia terpaksa berkunjung ke lima kedai runcit untuk mendapatkan minyak masak bersubsidi itu.
"Hairan betul, mana perginya minyak masak peket di kedai? Sudahlah minyak botol naik harga melambung, nak dapatkan minyak peket pun susah. Lima kedai saya cari, baru jumpa.
"Minyak masak botol harganya sangat mahal. Kasihan kepada kami rakyat yang terbeban dengan kos sara hidup tinggi ketika ini,” ujarnya.
Turut berkongsi nasib sama, suri rumah, Putri Najlaa Wajihah Wahab, 31, mengakui dirinya kini lebih gemar menggunakan minyak masak peket yang harganya mampu milik berbanding minyak masak botol.
"Jika ada bekalan pun, kuantitinya sangat sedikit. Satu peket hanya dapat bertahan dalam dua minggu sahaja untuk kegunaan makanan harian kami empat beranak,” ujarnya.
Sementara itu, Ani Ahmad, 47, berkata, kekurangan minyak masak peket bukan masalah baharu, sebaliknya sudah berlarutan sejak tahun lalu.
Tambah ibu tunggal itu, disebabkan sukar untuk mendapatkan bekalan, dia terpaksa mengurangkan masakan menggunakan minyak masak sebagai langkah berjimat cermat.
"Sejak tahun lepas lagi, setiap kali nak beli selalu saja habis, jadi saya terpaksa kurangkan masakan yang menggunakan kuantiti minyak yang banyak,” luah pekerja restoran itu.
Akauntan di syarikat swasta, Noorsuhadah Nordin, 33, berkata, kerajaan perlu memandang serius masalah berkenaan.
"Pihak berkaitan diharapkan dapat turun padang, dapatkan pandangan peniaga dan membuat pemantauan kerap ke kilang dan kedai bagi mencari satu penyelesaian,” jelasnya.
GUNA AIR FRYER
Sementara itu, rata-rata warganet mencadangkan beberapa alternatif bagi mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan.
Ada yang mencadangkan penggunaan penggoreng kering atau air fryer sebagai pengganti kepada masakan bergoreng selain menggunakan kuali tahan lekat untuk masak menu kegemaran.
Antaranya, Siti Mariam Aziz dalam catatan Facebook berkata, penggunaan air fryer dikatakan lebih mudah dan ringkas berbanding menggoreng menggunakan minyak masak.
"Minyak masak semakin mahal. Pilihan yang ada masak guna air fryer,” tulisnya.
Seorang doktor, Kamarul Ariffin Nor Sadan turut mencadangkan menu gorengan ditukar kepada rebusan, singgang, renehan atau stim bagi mengurangkan penggunaan minyak masak.
"Harganya kini bermula sekitar RM150 dan perlukan sedikit modal,” katanya menerusi cacatan di laman Facebook.
Sementara itu, ada juga dalam kalangan warganet yang tidak bersetuju untuk menggunakan air fryer sebagai alternatif kerana tidak semua orang mampu untuk membeli peralatan elektrik tersebut.
Klik di sini untuk terus membaca