SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa) mencadangkan agar kerajaan mewujudkan subsektor baharu di bawah sektor perkhidmatan iaitu pekerja rumah sambilan.
Presiden Papa, Datuk Foo Yong Hooi berkata, cadangan itu dijangka dapat membantu mengurangkan kebergantungan majikan terhadap pengambilan amah.
"Secara langsung, ia juga akan membantu negara kita menjimatkan wang daripada pertukaran asing yang akan dibayar kepada yuran agensi pengambilan pekerja kepada ejen luar negara.
"Ini termasuk bayaran penghantaran gaji pembantu rumah yang masih berkhidmat.
"Kerajaan mesti mempunyai visi yang jauh tentang isu-isu yang mungkin akan timbul pada masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, Indonesia tidak lagi berminat untuk menghantar rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan layanan buruk dan gaji tidak dibayar.
Mengulas lanjut, Yong Hooi berkata, kenyataan yang dikeluarkan Hermono adalah berasas berikutan ekonomi Indonesia telah mengalami lonjakan positif sejak dipimpin Presiden Joko Widodo (Jokowi).
"Mereka telah berjaya menarik pelabur luar negara untuk melabur di Indonesia dengan mengenakan dasar liberal.
"Penduduk Indonesia di sana seronok bekerja untuk syarikat multinasional (MNC), jadi kami menghadapi kesukaran untuk merekrut warga negara ini bukan sahaja untuk pembantu rumah, malah dalam sektor pembinaan dan pembuatan.
"Untuk menarik pekerja Indonesia, majikan Malaysia perlu membayar semua bayaran laluan dan pengambilan kepada ejen perekrut Indonesia,” jelas beliau.
Ujarnya, tindakan itu pastinya akan memberi kesan kepada majikan di Malaysia yang memerlukan khidmat pembantu bagi meringankan beban kerja di rumah.
"Bagaimanapun, rakyat kita sudah hidup tanpa pembantu rumah Indonesia sejak beberapa tahun lalu.
"Saya percaya ramai antara kita akan dapat mengharungi kehidupan tanpa pembantu rumah Indonesia,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca