TAWADUK berasal daripada perkataan Arab bermakna rendah hati; atau humility dalam bahasa Inggeris. Ia perlu dibezakan daripada rendah diri atau inferiority. Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP) penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur 2020, tawaduk bermakna "bukan sombong”.
Dalam al-Quran surah al-Isra’ (17), ayat ke-37 bermaksud: "Dan janganlah engkau berjalan di bumi ini dengan sombong, karena sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan sampai setinggi gunung.”
Surah al-Furqan (25), ayat ke-63 bermaksud: "Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang ialah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata salam.”
Surah al-Mu’minun (23), ayat kedua bermaksud: "Mereka yang khusyuk dalam solat mereka.” Dalam KDP, khusyuk bermakna: 1. dengan kerendahan hati atau diri, tunduk dan patuh terhadap Tuhan; 2. dalam keadaan sungguh-sungguh menumpukan perhatian ketika berbuat sesuatu.
Sebuah Hadis yang ditakhrijkan oleh Muslim nombor 2865 bermaksud: "Dan sesungguhnya Allah mewahyukan padaku sifat tawaduk. Janganlah seseorang menyombongkan diri terhadap orang lain dan janganlah seseorang melampaui batas pada orang lain.”
Dalam Bible (New King James Version) bab James 4, ayat ke-10 (Bible 4:10) dalam bahasa Inggeris berbunyi: "Humble yourselves in the sight of the Lord, and He will lift you up.” Maknanya: "Rendahkan diri kalian dalam pandangan Tuhan, dan Dia akan mengangkatmu (meninggikanmu).”
Kemuliaan tawaduk disebut dalam Bhagavad Gita (Lagu Tuhan) bab 16 ayat ketiga (Bhagavad Gita 16.3) sebagai kemangkiran kepentingan diri (absence of self-importance or vanity) atau na ati-manita dalam bahasa Sanskrit.
Ia boleh diakses dari https://www.hinduwebsite.com/gita/wisdom/gita-day20.asp Profesor Emeritus Chen Yu-Hsi dari Jabatan Pengajian Agama, Universiti Fo Guang, Taiwan, menulis sebuah makalah yang berjudul The Buddhist Perception of Humility yang boleh diakses dari http://www.meaning.ca/archives/archive/art_buddhist-humility_C_Yu_Hsi.htm.
Buddhisme melihat tawaduk sebagai satu fadilat atau kemuliaan (virtue). Dalam teks penganut agama Buddha tentang Maha-karuna atau belas kasih, tawaduk ialah satu daripada 10 kualiti suci yang diatribusi kepada Buddha Pembelas Kasihan (Buddha of Compassion).
Ia adalah hasil daripada pencapaian kerohanian yang melangkaui ego, seperti empat keadaan minda yang mulia, iaitu kasih (love), belas kasihan (compassion), kegembiraan bersimpati (sympathetic joy) dan ketenangan jiwa (equanimity). Buddhisme Mahayana juga memperjuangkan tawaduk sebagai satu ajaran moral dan seruan untuk menentang sifat takabbur (arrogance) dan bongkak (haughtiness).
Adalah jelas bahawa sifat tawaduk atau rendah hati ialah satu sifat yang dimuliakan serta diperjuangkan oleh keempat-empat agama yang disebut di atas. Tiada insan yang menyukai orang yang bongkak dan takabbur. Manusia sombong selalunya menunjukkan tanda pemusatan ego (ego-centeredness); dan ini membawa kepada kebanggaan diri yang boleh memusnahkan diri.
Dalam Islam wujud dua jenis kebanggaan (pride). Pertama ialah kebanggaan yang berpusat kepada ego (egocentricity) dan ini ditegah kerana ia memusnahkan diri dan masyarakat. Yang kedua pula ialah kebanggaan dengan sifat ‘izzah, iaitu rasa mulia dengan Islam yang dianuti kerana agama Islam diredai ALLAH SWT; tanpa mencaci maki agama atau anutan lain. Orang Islam yang tidak merasai ‘izzah dengan keislamannya tidak mempunyai kepercayaan diri untuk mengharapkan kerahmatan, pengampunan serta harapan daripada Tuhan Maha Esa.
Orang Islam yang tawaduk bukan sahaja dihormati dan disayangi golongan umat Islam yang menyayangi kebaikan, tetapi juga penganut lain menghormati sifat yang sangat menawan ini.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Penulis dan Aktivis Masyarakat
Klik di sini untuk terus membaca