MALAYSIA berusaha untuk menjadi sebuah negara hijau dan sifar karbon. Malah, kerajaan Malaysia menyasarkan seawal tahun 2050, mampu mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’. Sasaran itu mampu dicapai sekiranya... Klik di sini untuk terus membaca

MALAYSIA berusaha untuk menjadi sebuah negara hijau dan sifar karbon. Malah, kerajaan Malaysia menyasarkan seawal tahun 2050, mampu mencapai pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’.

Sasaran itu mampu dicapai sekiranya Strategi Jangka Masa Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang sedang dimuktamadkan oleh kerajaan mempunyai hala tuju yang jelas dan mampu disambut dengan baik oleh pemain industri serta menjadi amalan kepada masyarakat.

Dalam usaha mengurangkan emisi karbon berdasarkan intensiti karbon, antara teras utama dalam hal ini adalah berkaitan Kecekapan Penggunaan Tenaga (Energy Efficiency) dan Tenaga Boleh Diperbaharui (Renewable Energy).

Masa kini, penggunaan dan aplikasi domestik berkaitan kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui ini masih berada pada tahap yang disasarkan.

Pembangunan kawasan kediaman seluruh negara masih bergantung kepada bekalan tenaga konvensional yang dibekalkan oleh pihak tenaga Nasional Berhad (TNB). Kini, sebahagian tenaga yang dijana oleh pihak TNB adalah bahan daripada sumber gas asli dan arang batu.

Tambahan kini, tekanan peningkatan kos bahan kesan daripada suhu geopolitik dunia dan harga bahan api meningkat pastinya memberi kesan kepada tarif tenaga kepada pengguna.

Anggaran kini, kos penjanaan tenaga dari bahan berkenaan sudah meningkat hampir lima ganda dan akan meningkat andai situasi semasa berterusan. Oleh itu, fokus kepada kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui perlu diberi perhatian.

Penggunaan bumbung tenaga di negara masih belum meluas. Teknologi itu digunakan secara meluas di Eropah dan Amerika Syarikat dilihat mampu impak positif kepada emisi karbon.

Bumbung cekap tenaga adalah satu teknologi mampu memantulkan sinar matahari yang memanaskan sesuatu bangunan. Semakin tinggi keupayaan bumbung itu memantulkan sinar matahari semakin baik kepada penggunaan tenaga di dalam bangunan.

Sistem bumbung cekap tenaga ini mampu menjadikan sesebuah bangunan mempunyai pengudaraan yang baik. Udara panas di dalam bangunan dapat dikeluarkan baik mampu mengurangkan penggunaan tenaga berlebihan terutama penggunaan sistem pengudaraan secara mekanikal.

Malah, suhu yang dalaman yang terlampau turut memberi kepada bangunan seperti kerosakan kepada bumbung dan juga peralatan di dalam rumah yang sensitif dengan suhu tinggi.

Selain itu, bahan ini yang digunakan untuk bumbung cekap tenaga kini boleh digunakan sebagai panel tenaga solar sekali gus menjadikan bangunan tersebut mampu menghasilkan tenaga elektrik sendiri.

Sekiranya penggunaan bahan bumbung cekap tenaga ini dalam projek pembangunan yang baharu, ia memberi pilihan kepada pemilik bangunan untuk menggunakan tenaga solar berbanding tenaga biasa. Hal ini menjimatkan kos pengguna yang hanya perlu memasang inverter tenaga dan bateri untuk digunakan.

Walaupun penggunaan teknologi ini dari sudut kos yang agak mahal berbanding bumbung biasa, namun ia perlu dilihat dari konteks jangka masa panjang iaitu memberi pulangan modal yang positif berbanding tenaga konvensional.

Tambahan lagi, kos yang tinggi hanyalah bersifat sementara disebabkan penawaran terhad pada masa kini. Di sini, pihak kerajaan boleh menggerakkan insentif untuk menggalakkan pelaburan dalam membangunkan teknologi ini dengan lebih baik.

Selain itu, kerajaan perlu memberi galakan kepada pemaju perumahan untuk mengaplikasikannya dalam projek-projek baharu seperti rebat cukai syarikat, serta diskaun caj pembangunan yang dikenakan kepada pemaju.

Matlamat negara dalam sifar karbon ini perlu didukung semua pihak dan tidak hanya bergantung kepada pihak kerajaan semata-mata. Andai memiliki keazaman tinggi, semua pihak mampu disinergikan dan jika tidak hanya memikirkan keuntungan, matlamat sebesar ini mampu dicapai dan boleh menjadi contoh kepada negara-negara lain.

* Sr Ts Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Fakulti Senibina Perancangan & Ukur UiTM Shah Alam. Beliau juga merupakan Teknologis Profesional

Klik di sini untuk terus membaca