SHAH ALAM - Pemilik kenderaan rata-ratanya tidak menyedari sama ada berlaku kenaikan dalam bayaran premium insurans kenderaan masing-masing. Eksekutif perkhidmatan pelanggan, Mohamad Faris Abu Bakar, 27, berkata, sekiranya ada kenaikan, ia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pemilik kenderaan rata-ratanya tidak menyedari sama ada berlaku kenaikan dalam bayaran premium insurans kenderaan masing-masing.

Eksekutif perkhidmatan pelanggan, Mohamad Faris Abu Bakar, 27, berkata, sekiranya ada kenaikan, ia tidak wajar dibuat ketika ini.

Mohamad Faris

"Sepatutnya kalau ada apa-apa kenaikan, perlu diuar-uarkan dengan lebih meluas agar lebih ramai yang akan bersedia terhadap perkara ini. Sekarang ini, ramai di antara kita yang sedang berdepan kenaikan kos sara hidup.

"Jika ada tindakan untuk meningkatkan premium insurans kenderaan ketika ini maka saya tak setuju. Sepatutnya boleh dilakukan apabila keadaan rakyat dan negara kembali stabil,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam masa sama, seorang pekerja swasta, Nur Nabila Mohd Salleh, 28, berkata, sebarang kenaikan tidak kira apa pun produknya, ia adalah tidak wajar dalam keadaan ekonomi negara yang sedang parah.

Nur Nabila

Jelasnya, ia akan mengakibatkan lebih ramai pengguna kenderaan terutama di kalangan B40 terbeban untuk membayar insurans kenderaan jika ia dilaksanakan.

"Ini terutama bagi mereka yang berada di Kuala Lumpur. Kos sara hidup tinggi, barangan naik kemudian harga insurans juga naik. Ia menyebabkan mereka terpaksa mengikat perut,” ujarnya.

Seorang eksekutif media sosial, Fazlan Kamaruzaman, 26, berkata, kenaikan premium insurans kenderaan tidak seharusnya berlaku pada masa ini.

Fazlan

"Perlu beritahu secara meluas tentang kenaikan harga insurans ini supaya orang ramai dapat membuat pertimbangan sewajarnya,” ujarnya.

Bagi seorang lagi eksekutif media sosial, Alia Nadhirah Hisham, 24, sebarang kenaikan premium insurans perlulah dirujuk kepada pihak bertanggungjawab seperti Bank Negara Malaysia supaya ia tidak membebankan pengguna.

Alia Nadhirah

"Bagi saya ketika ini tidak adil apabila ia naik. Katanya insurans ini sifatnya melindungi kewangan pengguna tapi apabila ada risiko, ia jadi mahal pula,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Citra Universiti, Dr Ahmad Firdhaus Arham, 37 berkata, pembeli polisi disarankan untuk membuat simpanan dengan lebih awal bagi mengatasi sebarang kemungkinan yang akan berlaku.

Ahmad Firdhaus

"Bagi yang mempunyai kenderaan, disaran untuk simpan duit untuk kenderaan. asingkan dengan wang kecemasan.

"Simpan sedikit setiap bulan juga untuk memadai. Kalau tiada simpanan, ia lebih mendatangkan masalah kalau ada terdapat apa-apa kenaikan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca