SHAH ALAM - Seorang ejen insurans, mendedahkan premium insurans kenderaan yang ditawarkan syarikatnya mengalami kenaikan kira-kira 30 peratus disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kenaikan kos alat ganti. Menurut Azmi Ismail, kenaikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang ejen insurans, mendedahkan premium insurans kenderaan yang ditawarkan syarikatnya mengalami kenaikan kira-kira 30 peratus disebabkan oleh beberapa faktor antaranya kenaikan kos alat ganti.

Menurut Azmi Ismail, kenaikan tersebut melibatkan perlindungan kemalangan dan cermin serta bencana alam.

"Sebagai ejen kami hanya memasukkan perincian maklumat kenderaan dalam sistem dan jumlah bayaran bagi perlindungan akan keluar secara automatik.

"Mungkin pada peringkat awal ramai tidak sedar tetapi apabila dikira memang ada peningkatan.

"Sebagai contoh sebuah kereta dengan nilai semasa RM40,000 dan jumlah perlindungan yang perlu dibayar oleh pemilik adalah RM1,200. Bagi tahun seterusnya kereta tersebut akan susut mungkin sekitar RM36,000 tetapi jumlah perlu dibayar oleh pelanggan masih sama iaitu RM1,200 atau hanya sedikit kurang daripada jumlah berkenaan.

"Itu belum lagi kita bercerita tentang perlindungan cermin. Jika sebelum ini ada kenderaan seperti Perodua Myvi nilai perlindungan cermin sekitar RM600 tetapi kini antara RM800 hingga RM1,000 jadi premium bagi perlindungan tersebut juga akan naik,” katanya.

Beliau berkata, ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat-syarikat insurans yang terlibat mengambil pendekatan merendahkan bayaran perlindungan kemalangan.

"Mungkin pada waktu itu mereka berlumba-lumba untuk mencari pelanggan dengan menawarkan potongan mahupun promosi.

"Kenderaan yang bergerak di atas jalan raya juga tidak banyak, jadi risiko kemalangan juga kurang.

"Jadi, apabila banyak sektor telah dibuka, rakyat juga telah dibenarkan untuk merentas negeri dan lebih banyak syarikat mula menarik semula arahan bekerja daripada rumah, maka banyak kenderaan kembali ke jalan raya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ejen insurans yang mahu dikenali sebagai Khairul Azwan berkata, antara faktor lain yang turut mempengaruhi premium insurans kenderaan ialah nilai Ringgit yang lemah ketika ini.

"Kenaikan premium ini berlaku selepas Aidilfitri lalu. Saya boleh katakan kenaikan sekitar 30 hingga 40 peratus termasuk untuk perlindungan bencana dan cermin.

"Saya ambil contoh perlindungan bencana bagi kereta jenis Honda City yang harganya sekitar RM130 hingga RM180 kini telah naik sehingga RM300,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ejen insurans, Khairul Haffiz Khairul Omar berkata, premium insurans mengalami peningkatan disumbangkan oleh kenaikan harga komponen kenderaan.

"Untuk tahun ini harga masih sama, namun untuk tahun depan mungkin ada peningkatan.

"Apabila melibatkan kenaikan harga barang, ia akan memberikan kesan kepada semua perkara.

"Ia seperti satu rantaian sekali gus menyebabkan alat ganti mengalami kenaikan harga dan syarikat insurans akan menilai perkara ini yang akan turut memberikan kesan kepada harga premium insurans kenderaan,” katanya.

Bagaimanapun, Khairul Haffiz berkata, kenaikan tidak akan dibuat secara drastik sebaliknya akan dikaji terlebih dahulu oleh Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Syarikat insurans juga sudah buat penilaian harga semasa PKP lalu dan pada kebiasaannya mereka tidak naikkan harga secara drastik,” katanya.

Bagaimanapun, satu sumber industri menjelaskan bahawa buat masa ini mereka masih menunggu keputusan Bank Negara Malaysia berhubung kenaikan premium insurans.

Klik di sini untuk terus membaca