KEBANYAKAN pasaran dunia termasuk indeks-indeks popular dunia seperti Dow Jones dan S&P500 sedang mengalami kejatuhan yang besar melebihi 20 peratus sejak ketinggian pada Januari 2022. Keadaan pasaran kini berada di dalam fasa ‘bear... Klik di sini untuk terus membaca

KEBANYAKAN pasaran dunia termasuk indeks-indeks popular dunia seperti Dow Jones dan S&P500 sedang mengalami kejatuhan yang besar melebihi 20 peratus sejak ketinggian pada Januari 2022. Keadaan pasaran kini berada di dalam fasa ‘bear market’, di mana carta-carta membuat lurah yang baru (lower low).

Ada banyak perkara yang menyumbang kepada kejatuhan ini antaranya kesan Covid-19, Perang Russia-Ukraine dan isu kadar faedah oleh Federal Open Market Committee (FOMC).

Pasti ada yang tertanya, apakah tindakan terbaik? Dah jatuh banyak, boleh beli dan simpan?

BERTENANG, JANGAN FOMO

Bertenang dan jangan FOMO. FOMO adalah akronim kepada Fear Of Missing Out. Jangan berasa takut tertinggal atau terlepas kapal. Cara yang terbaik adalah tunggu dan pastikan perubahan berlaku daripada aliran menurun (downtrend) menjadi aliran menaik (uptrend) dengan terbentuknya pergerakan harga higher high, higher low baru.

Selain daripada melihat carta, waktu inilah sesuai untuk anda mengkaji fundamental syarikat. Pilih syarikat yang berpotensi berkembang agar risiko pelaburan kita terkawal dan meraih untung yang optimum.

PELBAGAIKAN

Pepatah Bahasa Inggeris ada mengatakan "Don’t put all your eggs in one basket” bermaksud jangan meletakkan ke semua telur di dalam satu raga, sangatlah relevan. Andaikan anda meletakkan ke semua telur di dalam satu raga dan raga itu jatuh, tentunya kesemua telur yang ada di dalam raga itu akan pecah. Begitu juga dengan pelaburan, anda perlu mempelbagaikan instrument pelaburan dan elak untuk meletakkan kesemua wang di dalam satu instrument sahaja.

Jika anda mempelbagaikan portfolio pelaburan dengan baik, anda tidak terdedah sepenuhnya sekiranya penurunan mendadak berlaku dan mampu meminimumkan risiko.

SEDIA UNTUK BERTINDAK

Untuk mencapai kejayaan, kita perlu jaga dan berada dalam persekitaran individu-individu yang mempunyai minat yang sama dengan kita. Belajar daripada mereka yang lebih berjaya daripada kita. Sahabat yang baik akan bantu kita untuk sama-sama mencapai kejayaan yang kita impikan. Malah, lebih daripada yang kita impikan.

Matlamat pelaburan jangka pendek dan jangka panjang mestilah jelas kerana dengan matlamat inilah kita akan menyusun strategi untuk menjayakannya.

Buat ulang kaji ilmu dan kaji saham yang berpotensi memberikan pulangan agar anda boleh bertindak apabila peluang hadir. Bursa Malaysia antara laman sesawang yang boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat pasaran dan syarikat.

Urus risiko dan dana pelaburan dengan bijak. Berhati-hati bila hendak memasuki pasaran, terutama di kala pasaran tidak menentu. Selagi belum nampak peluang, rehat dahulu dan tunggu peluang yang sesuai untuk memasuki pasaran.

* Mohd Asri Ahmad ialah Mentor Pelaburan Saham Syariah

Klik di sini untuk terus membaca