MAT TAICI tertarik dengan satu persoalan dilontarkan kepada kerajaan oleh Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, beliau menyifatkan rakyat masih keliru sama ada krisis ekonomi dihadapi negara ketika ini adalah disebabkan kenaikan kos sara hidup atau masalah inflasi.
Menurut Noor Azlan, inflasi merujuk kepada perubahan harga secara purata, meliputi pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan sekali gus mewakili raga perbelanjaan rakyat.
Maknanya, sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan kadar inflasi negara mencecah 2.8 peratus, maka ia merujuk raga perbelanjaan purata rakyat Malaysia meliputi 'semua' tahap pendapatan.
Begitu juga dengan definisi kos sara hidup yang ditafsirkan Noor Azlan merujuk kepada kuasa membeli iaitu pendapatan dan harga, tertakluk kepada raga individu atau kumpulan masyarakat lebih khusus.
Hakikatnya, dalam konteks krisis kenaikan kos sara hidup dihadapi 34 juta rakyat Malaysia ketika ini, kadar inflasi 2.8 peratus dilaporkan BNM dari sudut kira-kira matematik mungkin betul.
Tetapi dalam realiti sebenar ekonomi masa kini, ia tidak memberi tafsiran tepat terhadap kos sara hidup.
Perlu diingat, kenaikan kadar inflasi akan berlaku apabila permintaan sesuatu produk atau komoditi adalah melebihi penawaran.
Dalam bahasa mudah, pengguna atau rakyat sesebuah negara mempunyai kuasa membeli yang lebih disebabkan persekitaran ekonomi yang subur.
Realitinya, pada saat ini, berlakunya kenaikan inflasi dan harga barang di Malaysia dan serata dunia bukan disebabkan kadar permintaan pengguna berlebihan atau rakyat mempunyai lebihan pendapatan.
Namun, situasi sebenar ekonomi yang berlaku di seluruh dunia sehingga menjadi fenomena global adalah masalah stagflasi, di mana kadar permintaan barangan masih rendah, namun kos pengeluaran produk dan komoditi meningkat disebabkan faktor luaran.
Ditambah pula dengan kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) semakin melemah jika dibandingkan dengan nilai mata wang Dolar Amerika Syarikat (AS), hakikatnya negara terpaksa menanggung beban tambahan kos mengimport barangan makanan asas dan komoditi disebabkan nilai mata wang kita semakin mengecil.
Lebih malang, negara kita pula merupakan salah sebuah negara rantau Asia Tenggara yang mempunyai bil import produk makanan dan makanan haiwan yang terlalu tinggi, difahamkan mencecah 70 peratus.
Jadi, secara ringkas, berlakunya kenaikan kos harga barang sekali gus memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat, disebabkan masalah nilai mata wang negara melemah, ditambah pula dengan krisis ekonomi bertindih disebabkan pandemik Covid-19 dan konflik Rusia-Ukraine.
Justeru, fenomena stagflasi sebenarnya mengundang implikasi yang lebih buruk kepada rakyat Malaysia berbanding masalah inflasi.
Lebih-lebih lagi apabila BNM difahamkan sedang merancang untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sehingga 50 mata asas (bps) dalam satu mesyuarat bulan ini.
Sekiranya langkah itu menjadi realiti, sudah pasti negara kita akan terperosok ke lembah bencana sosioekonomi yang maha dahsyat, susulan implikasinya bakal menyebabkan rakyat yang tersepit akan semakin terhimpit.
Mat Taici memahami BNM mungkin terpaksa mengambil langkah menaikkan kadar OPR bagi mengelakkan lebih ramai pelabur membawa keluar pelaburan asing dari negara ini, sekali gus berisiko menyebabkan nilai mata wang RM semakin melemah.
Tetapi dalam konteks krisis stagflasi yang luar biasa ketika ini, satu langkah pemikiran di luar kotak perlu diusahakan BNM bagi memastikan golongan berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan sederhana (M40) tidak menerima tempias paling besar.
Begitu juga dengan kerajaan. Meskipun terdapat pelbagai inisiatif dan insentif diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk penubuhan pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, namun ia mesti disusuli dengan tindakan pragmatik yang menjamin hasil positif.
Pada saat getir kos kenaikan harga barang diunjurkan mencecah 40 peratus, mengapa tidak kerajaan mengambil langkah drastik dengan menangguhkan sementara pelaksanaan projek-projek mega seperti Digital Nasional Berhad (DNB) yang diketahui menelan kos puluhan bilion ringgit?
Bak kata seorang profesor, bila tiba negara berdepan krisis kemiskinan dan kelaparan, ketika itu sudah tidak berguna sesebuah negara itu memiliki infrastruktur komunikasi jalur lebar 5G yang bertaraf dunia, sekiranya perut anak kecil yang kelaparan pun tidak mampu diisi pemerintahnya.
Pandangan Mat Taici adalah mudah, tepuk dada, tanyalah iman.
P/S - Ku Li sebenarnya sudah ramal krisis stagflasi ini sejak tercetusnya krisis Rusia-Ukraine tahun lalu
Klik di sini untuk terus membaca