BARU-baru ini satu Latihan Kuasa Tembakan (LKT) melibatkan penyertaan 2,300 pegawai dan anggota serta disokong sebanyak 644 buah aset dan persenjataan telah diadakan di Lapang Sasar Asahan, Kem Syed Sirajuddin, Gemas.
Antara yang menarik perhatian media adalah aset baharu Tentera Darat Malaysia (TDM), helikopter MD530G yang dikendalikan oleh 883 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia (PUTD) mempamer keupayaannya menggunakan M134D Gattling Gun dan FN Herstal 12.7mm Heavy Machine Gun Pod.
LKT merupakan acara tahunan, mempunyai objektif mempamerkan kepada umum melalui laporan media sosial, cetak dan elektronik mengenai kemampuan sebahagian sistem kelengkapan dan persenjataan milik angkatan tentera negara, khususnya tentera darat dalam menghadapi ancaman konflik bersenjata.
Secara amnya kemampuan kuasa tembakan yang dipamerkan adalah amat membanggakan dari sudut keupayaan anak watan mengendalikan sistem persenjataan moden dan berprestasi tinggi.
Namun demikian dari sudut pemilikan aset yang bakal diguna sekiranya konflik bersenjata berlaku dalam tempoh jangka masa terdekat, ia memberi petanda yang amat menggusarkan.
Trend pemilikan aset kebelakangan ini dianggap banyak pihak sebagai kurang memberangsangkan, malah ada yang menyatakan ia seakan trend yang terkebelakang.
Ini boleh menimbulkan tanda tanya mengenai hala tuju dan arah pemodenan aset pertahanan negara dan tidak membantu dalam usaha mencapai objektif Pelan Tindakan 2022 (PT22).
Pelan Tindakan 2022 (PT22) merupakan rangka tindakan yang dibangunkan sebagai sokongan untuk memacu pencapaian dan matlamat Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2021-2025 sejajar dengan visi Kertas Putih Pertahanan (KPP) iaitu Malaysia Yang Selamat, Berdaulat dan Makmur.
PT22 menyelaraskan dasar-dasar di MINDEF dan ATM, bagi pelaksanaan program Berimpak Tinggi pada tahun 2022.
Dua daripada teras utamanya adalah Kesiagaan dan Keupayaan ATM serta Kompetensi Pertahanan.
MASIH BERFANTASI
Tidak keterlaluan jika diandaikan bahawa terma utama seperti ‘peningkatan kesiagaan’ dan ‘keupayaan pertahanan’ serta ‘pengukuhan kapasiti pertahanan’ yang disebutkan dalam PT22 mempunyai kaitan langsung dengan perolehan aset, platform dan kelengkapan yang berkemampuan tinggi.
Malang sekali trend yang dilihat banyak pihak yang mengikuti perkembangan perolehan aset dan kemampuan tempur konvensional negara ini kini mencapai tahap membimbangkan dan bakal memberi tamparan hebat kepada kemampuan negara untuk mempertahankan kedaulatannya.
Contohnya, aset terkini seperti helikopter MD530G sememangnya berkemampuan sebagai helikopter tempur ringan. Ia sesuai untuk kegunaan operasi anti-insurgensi namun tidak pernah dinobatkan sebagai sebuah helikopter tempur konvensional.
Adalah agak pelik kenapa kita masih berfantasi bahawa gerila Parti Komunis Malaya (PKM) dan Kesultanan Sulu masih berkeliaran di hutan belantara Semenanjung atau ladang sawit di Sabah dan kita amat memerlukan platform helikopter sedemikian, walhal TDM telah sekian lama mengubah doktrin utamanya dari anti-insurgensi kepada konflik-konvensional.
Indonesia umpamanya telah memperoleh sejumlah helikopter AH-64E Apache, selain helikopter pengangkut / tempur Mi-35P dan sejak 2016 telah pun memiliki helikopter tempur ringan jenis Fennec (sekelas dengan MB530G) yang boleh dipasangkan dengan pod roket dan mesingan berat.
Filipina yang dianggap pada suatu masa dahulu mempunyai inventori aset tentera paling ‘miskin’ di Asia Tenggara dilihat secara konsisten sejak beberapa tahun kebelakangan ini bakal mampu mencabar kekuatan aset negara.
Apa tidaknya, Filipina pada tahun 2021 telah memesan 32 buat pesawat Blackhawk S-70i yang merupakan pesawat helikopter pelbagai misi yang bakal diterima menjelang 2023 sehingga 2026.
Apa yang dijelaskan ini menunjukkan bagaimana jika negara-negara jiran sedang sibuk mempertingkatkan cabang udara tentera darat mereka berkonsepkan kuasa tempur bagi menghadapi ancaman konvensional, tetapi kita seakan memilih jalan sebaliknya.
Amat tidak bijak hanya melaungkan retorik bahawa kita bakal ‘memerlukan peningkatan kesiagaan, keupayaan pertahanan atau pengukuhan kapasiti pertahanan’ dan menghasilkan pelbagai pelan dan jawatankuasa untuk pertahanan setiap kali angin politik berubah, namun hasilnya sehingga kini adalah amat menyedihkan.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.
Klik di sini untuk terus membaca