SHAH ALAM - Sebahagian besar rakyat di negara ini tidak bersetuju sekiranya kadar dasar semalaman (OPR) dinaikkan lagi seperti jangkaan pakar ekonomi.
Menurut mereka, tindakan itu dikhuatiri memberi tekanan berganda terhadap peminjam terutama ketika kos sara hidup semakin meningkat.
Kakitangan swasta, Sofia Izzati Skymmar, 25, berkata, apabila OPR dinaikkan, ia akan menyebabkan kegiatan ekonomi negara tidak dapat dirancakkan kerana pendapatan orang ramai semakin mengecil apabila terpaksa membayar ansuran pinjaman dengan kadar lebih tinggi.
"Saya tidak setuju sekiranya OPR dinaikkan. Apabila kadar naik, lagi berat beban perlu ditanggung peminjam. Harga rumah sekarang juga sudah semakin meningkat, sudah tentu rakyat Malaysia kebanyakannya tidak mampu memiliki rumah sendiri dengan kadar OPR yang tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Seorang lagi kakitangan swasta, Raftah Hanim Hamzah, 51, berkata, kenaikan OPR pada masa kini dikhuatiri menyebabkan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah menjadi muflis.
"Ini bukan waktu sesuai untuk menaikkan OPR dalam keadaan rakyat sekarang mahu berjimat cermat. Sekarang ini pun tidak ramai yang nak berbelanja berlebihan. Kita pun tidak mahu lebih ramai rakyat muflis,” jelasnya.
Bagi Isran Ismail, 51, yang bekerja sendiri, langkah menaikkan OPR meskipun hanya 25 mata asas sudah cukup membebankan rakyat.
"Tidak bolehlah nak naikkan lagi. Bermacam-macam masalah rakyat hadapi sekarang. Sepatutnya ditangguhkan dahulu. Bank lebih faham berkenaan perkara ini dan bukannya tambah beban rakyat,” katanya.
Turut senada, Nabil Fikri Abu Hassan, 25, yang berpendapat Bank Negara Malaysia (BNM) perlu mengambil kira kesusahan rakyat.
"Kenaikan ini hanya akan membebankan rakyat, bukan mendatangkan faedah,” katanya.
Seorang lagi yang bekerja sendiri, Arman Rahman Abdul Jalil, 26, mencadangkan kepada BNM supaya menangguhkan kenaikan OPR sehingga rakyat dan negara benar-benar stabil selepas bergelut dengan pandemik Covid-19.
"Sekarang masih ramai yang menghadapi kesukaran dalam kehidupan seharian. Jika ditambah dengan kenaikan OPR, mana lagi mereka mahu cari pendapatan tambahan untuk bayar hutang yang meningkat.
"Kena ambil kira kebarangkalian apa akan terjadi sekiranya kadar OPR dinaikkan lagi. Ramai yang akan muflis, akhirnya kerajaan turut sama terbeban kerana terpaksa mengeluarkan bantuan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca